UKM Dipilih Menjalankan Kajian Sediakan Indeks Inovasi Negara

Jumaat, 18 Mei 2012 15:40
Cetak PDF

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi


KUALA LUMPUR, 15 Mei 2012 - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menjalankan kajian untuk mengukur tahap kemampuan inovasi semua syarikat tempatan untuk menyediakan suatu indeks inovasi negara.

Ini adalah suatu kajian pertama demikian bertujuan memberi gambar sebenar terhadap tahap persediaan inovasi syarikat-syarikat tempatan.

Indeks diharap dapat memberi gambaran yang paling jelas mengenai kemampuan bersaing dan berinovasi untuk semua syarikat tempatan yang terlibat dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Usaha paling besar sedemikian yang pernah dijalankan dalam negara, diberi nama MyTIC, akan dijalankan oleh Unit Pengukuran Kualiti dan Prestasi, Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UKM ke atas semua syarikat pembuatan dan perkhidmatan yang dimiliki sekurang-kurangnya 51% oleh rakyat tempatan.

UKM telah dipilih oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dari lima buah universiti tempatan yang menawar untuk membuat kajian demikian itu.

Memorandum Perjanjian (MoA) untuk kajian itu ditandatangani di sini sempena upacara pelancaran Laporan Kedua Produktiviti Negara 2011/2012, CreaNova atau Mencipta dan Berinovasi.

MPC juga memeterai dua memorandum persefahaman lain masing-masing dengan Universiti Tun Abdul Razak dan Monash University Sunway untuk dua tugas lain.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Sri Mustapa Mohamed telah melancarkan laporan Produktiviti Negara itu serta menyaksikan ketiga-ketiga acara menandatangani MoA itu.

Ketua Unit Pengukuran Kualiti dan Prestasi (FST), Prof Madya Dr Nur Riza Mohd Suradi memberitahu Portal Berita UKM bahawa tugas itu dijangka siap September ini.

Kajian MyTIC mengukur keupayaan sesuatu syarikat melaksanakan inovasi dan akan dijalankan melalui beberapa kaedah.

Satu daripadanya ialah menyelidik cara syarikat menguna tenaga kerja untuk menambah produktivitinya . Bagaimanapun maklumat penuh belum diperolehi. Program yang menelan belanja hampir RM500,000 itu memerlukan kerahan tenaga khas.

Dato’ Sri Mustapa berkata negara perlu mengurangkan sebanyak 20% dari bilangan pekerja asing dalam sektor pembuatan menjelang 2020 untuk mencapai taraf negara maju.

Kini terdapat kira-kira 700,000 pekerja asing kebanyakannya dalam sektor pembuatan. Pengurangan mereka itu akan dilakukan secara beransur-ansur.

Dato’ Seri Mustapha mengakui bukan semua pekerja asing dapat diganti oleh rakyat tempatan kerana negara masih memerlukan pakar khidmat asing dalam tugas-tugas yang penting.

Buat masa ini produktiviti negara masih ketinggalan berbanding negara-negara maju tetapi beliau yakin produktiviti boleh ditingkatkan dengan pengambilan lebih ramai pekerja tempatan.

Beliau memuji MPC dalam usaha meningkatkan produktiviti di mana angka-angka rasmi telah menunjukkan bahawa hampir RM1billion dapat dijimatkan oleh kerajaan sejak MPC dibentuk pada tahun 1993.

Berita Kampus

Arkib Berita