Pengajian Tasawuf Boleh Menangani Keruntuhan Akhlak

Isnin, 11 Jun 2012 12:20
Cetak PDF

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ismail Ibrahim, Penerbit UKM

BANGI, 8 Jun 2012 – Seorang ilmuan pengajian Islam mencadangkan ilmu Tasawuf dan Tarekat di jadikan sebagai satu komponen dalam Sukatan Pelajaran Pendidikan Islam sekolah menengah dan juga dalam pengajian tidak formal di masjid dan surau.

Penasihat Majlis Fatwa Kebangsaan, Profesor Zakaria Stapa berkata kaedah ini akan dapat menangani gejala buruk maksiat, rasuah, jenayah dan keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat Islam negara ini.

Berucap dalam Syarahan Perdana Profesornya pagi tadi beliau berkata cara itu akan membina kefahaman bahawa masyarakat Islam perlu mengamalkan tasawuf umum – dan bukannya tasawuf khusus yang pendekatan pengalaman menggunakan mekanisme Tazkiyat Al-Nafs sebagaimana terungkap dalam ajaran kerohanian Islam.

Beliau yakin jika ianya ditadbir dan dilaksanakan dengan baik kepada masyarakat, maka jati diri rakyat Islam negara ini akan terjamin dan dapat diserlahkan dengan jelas dan cemerlang.

Prof Zakaria memberikan syarahannya atas tajuk Pendekatan Tasawuf dan Tarekat: Wadah Pemerkasaan Jati Diri Ummah di kampus UKM  di sini.

Beliau berkata ilmu tasawuf dan tarekat mesti didedahkan kepada masyarakat dengan sepenuhnya untuk menangkis beberapa kekeliruan dan salah faham yang berlaku sejak sekian lama mengenainya.

Satu daripadanya ialah umat Islam di Malaysia kurang memahami ilmu tasawuf dan tarekat, malah mempunyai pandangan serong terhadap ilmu itu.

Hal ini timbul kerana ilmu tasawuf dan tarekat tidak dimasukkan ke dalam silibus Pendidikan Islam dalam sistem pendidikan negara dan tidak didedahkan kepada masyarakat awam dalam pengajian agama secara tidak formal di masjid dan surau, kata Prof Zakaria.

Dalam pada itu tasawuf dan tarekat dikaitkan pula dengan fenomena ajaran sesat atau dakwah songsang yang muncul dari masa ke semasa.

Namun, perihal ketidak fahaman merata ini tidak wajar dibiarkan terus menguasai ummah.

Prof Zakaria menganggap usaha mempelajari dan mengamalkan aspek tertentu daripada ilmu ini merupakan satu fardu ain ke atas setiap umat Islam.

Ia perlu untuk ummah kerana pendekatan pengalamannya amat sesuai menjadi alat dan wahana pembentukan jati diri ummah selain dapat pula menyelesaikan kemelut akhlak dan nilai negatif yang melanda ummah masa kini, tambah beliau.

 
Oleh itu, satu strategi penyelesaian mesti dirangka dengan komponen utama kandungan ilmu ini yang boleh menjamin terbinanya kefahaman yang tepat.

Selok-belok ilmu hendaklah didedahkan kepada masyarakat menerusi pendidikan formal dan tidak formal.

Bagi masyarakat Islam di Malaysia, tasawuf dan tarekat bukanlah sesuatu yang baru dan asing. Islam itu sendiri dibawa masuk dan disebarkan di rantau ini oleh golongan Sufi.

Walau bagaimanapun beliau berkata kajian selama lebih 30 tahun menunjukkan anggota masyarakat Islam Malaysia masa kini belum memahami dengan baik dan jelas tentang selok-belok isu kandungan ilmu tasawuf dan tarekat.

Dalam kajian lain yang dijalankannya beberapa tahun lalu, beliau mendapati penuntut-penuntut di institusi pengajian tinggi faham ajaran itu tetapi mereka tidak tahu dan berupaya menghayati atau amalkan apa yang diajar mengenainya.

Beliau menganggap pembelajaran ilmu tasawuf dan tarekat sebagai fardu ain dan memadai bagi seseorang itu mengetahui ilmunya pada peringkat sekolah.

Dalam konteks sesebuah institusi tarekat, guru atau Shaykh menjadi rujukan utama. Segala kegiatan pertubuhan berkenaan tertakluk dan berpusat secara mutlak berdasarkan kehadiran Shaykh, tambah beliau.

Profesor Zakaria dilahirkan di Tanah Merah, Kelantan pada 1951 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Agama-Arab Al-Ihsan, Tanah Merah dan Sekolah Maahad Muhammadi, Kota Baru, Kelantan dan Kolej Islam Klang. Beliau memperolehi ijazah pertamanya dari UKM dan ijazah doktor filsafah dari University of Durham, UK.

Berita Kampus

Arkib Berita