UKM Mencapai Peningkatan Dalam Kedudukan Universiti Dunia

Rabu, 12 September 2012 08:38
Cetak PDF

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin

BANGI, 11 Sept 2012 - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menaiki 18 anak tangga daripada tempat 279 ke 261 dalam Kedudukan Universiti Dunia tahun 2012/3, yang disusun oleh Quacquarelli Symonds Ltd (QS) World University Rankings.

Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato' Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabuddin dalam reaksi awalnya terhadap kedudukan itu berkata ini adalah prestasi terbaik UKM sejak tahun 2008.

UKM, katanya, telah melakukan pelarasan metodologi untuk memperbaiki kedudukannya dan gembira kedudukan dalam dua bidang ‘sebutan terhadap fakulti’ dan ‘penilaian prestasi oleh majikan’ di mana ia telah menduduki tempat rendah sebelum ini telah meningkat.

Namun beliau mahu warga UKM terus berusaha mengamalkan budaya penyelidikan dengan menunjukan kecemerlangan, umpamanya memperolehi peningkatan penerbitan dalam jurnal terkemuka.

Memandangkan kedudukan terakhir itu, usaha yang lebih giat diperlukan bagi bidang-bidang Sains Sosial dan Sains Semulajadi di mana kedudukan telah menurun tahun ini berbanding dengan peningkatan dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi serta Sains Hayat dan Perubatan.

Prof Sharifah Hapsah berkata UKM harus dipuji kerana mencapai prestasi sedemikian walaupun ia adalah satu-satunya universiti penyelidikan yang mengalami kekurangan bajet secara meluas pada tahun lalu.

Tidak seperti UM dan USM, UKM tidak menerima peruntukan tambahan dari apa yang diberikan kepada semua universiti penyelidikan. Beliau berharap belanjawan negara tahun ini akan memberi peruntukan lebih kepada UKM kerana pencapaian yang membanggakan ini.

Prof Sharifah Hapsah yakin dengan dana yang lebih, UKM akan memperbaiki lagi kedudukannya.

Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) juga telah mencapai peningkatan kedudukan mereka manakala Universiti Putra Malaysia (UPM) kekal pada kedudukan seperti tahun lalu.


Kedudukan Universiti-Universiti Malaysia dalam QS World Ranking

Universiti

Kedudukan 2012

Kedudukan 2011

UM

156

167

UKM

261

279

USM

326

335

UTM

358

401

IIU

401

500

UPM

601

601


Universiti Malaya (UM) adalah satu-satunya Institusi Pelajaran Tinggi Malaysia yang mencapai kedudukan 200 teratas bagi tahun kedua berturut-turut. Ia meningkat 11 anak tangga kepada 156 tahun ini berbanding 167 pada 2011 dan 207 pada tahun 2010.

Ketua Unit Maklumat bagi Quacquarelli Symonds Ltd (QS), Ben Sowter yang menyusun kedudukan tahunan itu berkata sejumlah 2,586 institusi telah dipertimbangkan.

Pertimbangan masih berdasarkan kepada enam penunjuk yang diguna tahun sebelumnya - penilaian prestasi akademik oleh rakan, penilaian prestasi oleh majikan, nisbah fakulti antarabangsa, nisbah pelajar antarabangsa, nisbah pelajar fakulti dan sebutan bagi setiap fakulti dan wajaran keseluruhan.

Massachusetts Institute of Technology (MIT) di Amerika Syarikat menduduki tangga teratas QS World University Rankings tahun ini, diikuti oleh Cambridge University, Britain dan Harvard University, juga dari Amerika Syarikat.

Berita Kampus

Arkib Berita