Kepentingan Sains Sosial dan Kemanusiaan Dalam Usaha Mentransformasi Malaysia

Isnin, 07 Januari 2013 08:50
Cetak PDF

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim

BANGI, 12 Dis 2012 - Usaha mentransformasi Malaysia memerlukan rakyatnya memahami secara lebih mendalam masyarakat sendiri di mana sains sosial dan kemanusiaan mempunyai peranan penting.

Sains sosial juga berperanan untuk membolehkan rakyat memahani dengan lebih mendalam perbedaan antara mereka, demikian kata Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Tan Sri Dato'Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Berucap ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Sains Sosialdan Kemanusiaan (ICOSH - UKM 2012) di sini baru-baru ini, beliau berkata rakyat perlu mencari perimbangan terhadap perbedaan yang wujud dikalangan pelbagai kumpulan antara mereka.

Kefahaman terhadap masyarakat majmuk negara serta impak pelbagai pembangunan sosial, ekonomi, alam sekitar dan teknologi juga datang dari perbincangan mengenai sains sosial dan kemanusiaan.

Persidangan itu dianjurkan oleh Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) dan dihadiri oleh Felo Utama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Prof Emeritus Dr Abd Rahman Embung; Pengarah K-Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri Azizah Hamzah;Dekan FSSK, Prof Dr Hazita Azman dan Prof Dr Ibrahim Ngah dari Fakulti Bina Alam Sekitar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Ia juga dihadiri tokoh sains sosial beberapa buah negara luar serta penyelidik, NGO dan pelajar sarjana.

Prof Sharifah Hapsah berkata penyelidikan dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan sentiasa diberi penekanan di UKM dan beberapa kajiannya telah membantu negara mengadakan program pemahaman dan analisis mengenai isu-isu etnik dalam pembangunan negara.

Beliau juga melahairkan hasratnya kerjasama dan kolaborasi antara pelbagai disiplin dipertingkatkan di UKM termasuk juga dengan universiti lain.


Antara topik penyelidikan yang boleh dilakukan termasuk warisan penjajahan dan kesannya terhadap politik etnik dan pembangunan negara, penghalangan terhadap keharmonian pelbagai kaum, hak warganegara dalam masyarakat berbilang kaum dan pemikiran semula negara dalam era kontemporari serta dasar-dasar awam yang meliputi ekonomi, pendidikan, bahasa, budaya dan undang-undang.

Beliau berbangga dengan penyelidikan yang telah dilakukan oleh anggota akademiknya sebagai penyelidik, perunding dasar, pencipta teknologi dan juga sebagai pendidik serta kesediaan mereka dari pelbagai disiplin untuk bekerjasama.

Prof Sharifah Hapsah berkata minat terhadap sains sosial dan kemanusiaan telah berkembang dengan peningkatan pengambilan pelajar jurusan itu.Minat pelajar antarabangsa terhadapnyajuga telah meningkat dan ia membuktikan bahawa program itu juga diterima di luar negara.

Beliau berharap pertukaran pengalaman, perspektif dan idea dalam persidangan itu dapat dimajukan kepada agensi bersangkutan untuk pertimbangan dan pelaksanaan.


Berita Kampus

Arkib Berita