Usahawan Hebat Perlu Berani Hadapi Kegagalan

Jumaat, 31 Mei 2013 15:16
Cetak PDF

By Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 29 Mei 2013 – Uahawan tidak harus takut dengan kegagalan apabila mereka cuba memasarkan produk inovatif, tetapi mereka mesti mencuba kembali setelah menghadapi kegagalan.

Seorang pakar pemasaran dan inovasi dari Stevens Institute of Technology Amerika Syarikat, Profesor Dr Gary Lynn berkata di Amerika Syarikat (AS) kegagalan diterima secara positif tidak seperti negara lain yang mempunyai tanggapan negatif terhadapnya.

Berucap kepada lebih 2000 pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dektar) di sini hari ini, beliau berkata kebanyakan idea yang hebat dan memberi manfaat kepada manusia sehingga hari ini datang daripada mereka yang telah menemui banyak kali kegagalan.

Syarahannya mengenai keusahawanan inovatif dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Usahawan dan EKS (CESMED), UKM.

Prof Lynn telah menghasilkan lima buah buku yang di karang sendiri serta bersama penulis lain selain menghasilkan 60 buah makalah yang dimuat dalam penerbitan yang dirujuk mengenai pemasaran, teknologi, keusahawanan dan penghasilan produk baru.

Beliau menyorot kepada apa yang dilalui Abraham Lincoln yang bertegas menghapuskan gejala hamba, suatu idea yang amat radikal waktu itu, sekarang dianggap sebagai Presiden Amerika yang terhebat.

Presiden Lincoln, katanya, telah menghadapi sebanyak 26 kali kegagalan dalam pilihan raya sebelum berjaya di pilih menjadi presiden.

Begitu juga dengan Henry Ford yang telah menjadi muflis sebanyak 5 kali sebelum mengasaskan syarikat motor Ford.


Selain itu Steve Jobs yang telah memberi kita iPhone dan iPad juga pernah dipecat dari syarikat yang di tubuhnya sendiri.

Prof Lyn menerangkan bahawa terdapat banyak lagi contoh yang baik seperti Thomas Edison yang mencipta mentol lampu hanya selepas mencuba sebanyak 10,000 kali. Hari ini hasil pencapaiannya itu telah menerangi dunia.

Beliau mengingatkan pelajar bahawa kegagalan menunjukkan seseorang itu telah melangkah ke hadapan mendekati kejayaan.

Kegagalan, katanya, adalah suatu proses dan perjalanan dalam menuju kejayaan. Setiap pengusaha hebat yang mampu membawa perubahan kepada dunia terpaksa melalui kegagalan sebelum mencapai kejayaan.


Apa yang amat penting adalah untuk mencuba. Mencuba dan kegagalan adalah lebih baik daripada tidak mencuba langsung. Beliau berkata semangat untuk mencuba perlu ada dan dibantu oleh sokongan yang betul.

Beliau berkata kegagalan adalah suatu yang normal tetapi apa yang membezakan mereka yang hebat dengan orang biasa adalah mereka itu tidak berhenti dari mencuba. Percobaan yang tidak henti hingga mencapai kejayaan hanya boleh dilakukan oleh mereka yang berminat dan benar-benar yakin dengan idea mereka.

Timbalan Naib Canselor, (Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dato’ Ir Dr Othman A Karim; Pengarah CESMED, Prof Dr Mohd Fauzi Mohd Jani dan timbalannya, Prof Dr Salmijah Surif hadir di majlis syarahan itu.


Berita Kampus

Arkib Berita