Program Perkhemahan PERMATApintar

Khamis, 27 Mei 2010 14:59 By Radzuan Ghazali
Cetak PDF

Program Perkhemahan Sekolah Permata Pintar disertai pelajar luar negera

Program Perkhemahan Sekolah Permata Pintar pada musim cuti sekolah November-Disember tahun ini nanti akan melibatkan seramai 610 pelajar termasuk dari negara luar seperti Arab Saudi, Indonesia, India dan Brunei.

Inilah Perkhemahan Cuti Sekolah yang kedua diadakan sejak ia bermula tahun lalu dan yang pertama disertai pelajar luar negeri. Ia akan berlangsung dari 28 Nov hingga 18 Dis dan dikendalikan oleh Pusat PERMATApintar negara di UKM. Tahun lalu seramai 405 orang pelajar telah mengambil bahagian.

Pengarah Pusat PERMATApintar, UKM, Prof. Madya Dr Noriah Mohd Ishak berkata permohonan dari pelajar yang ingin mengikuti program tahun ini amat memberangsangkan dengan seramai 200,000 pelajar telah memohon baik dari sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah menengah kebangsaan mahu pun sekolah menengah jenis kebangsaan.

Empat modul akan diperkenalkan dalam tahun ini, tiga dari John Hopkins University (JHU), Amerika Syarikat dan satu lagi dari Institut Penyelidikan Tenaga Solar (Seri) UKM yang akan memperkenalkan tenaga keterbaharuan kepada pelajar.

Bagi memantapkan perkhemahan ini Pusat PERMATApintar Negara akan menghantar lima orang tenaga akademik UKM ke JHU untuk mengikuti latihan tambahan dari 26 Jun hingga 17 Julai nanti.

Selain itu pusat juga akan menghantar lima orang alumni dari perkhemahan pintar pertama bagi mengikuti kursus sains dan matematik di JHU. Mereka ini terdiri dari pelajar berusia 13 hingga 15 tahun, seorang masisng-masing dari Pahang, Negeri Sembilan dan Sarawak dan dua orang pelajar dari Pulau Pinang.

Dr Noriah berharap kesemua yang dihantar ke JHU dapat memperoleh pengalaman, baik sebagai tenaga pengajar mahu pun pelajar. Mereka ini juga diharap boleh memberikan sumbang bakti kepada Pusat dan juga UKM malah untuk negara.

UKM kini sedang menyiapkan infrustruktur bangunan Pusat berharga RM20juta yang dijadualkan dapat beroperasi awal tahun depan nanti dengan disertai 160 orang pelajar dari kumpulan pertama berumur antara 16 dan 17 tahun untuk pengajian akademik mereka.

Mereka yang terpilih ini bukan saja akan mengikuti modul yang dikendalikan Pusat malah akan juga mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selain dari peperiksaan antarabangsa termasuk A dan O Level, Advanced Placement Test dan Standard Attitude Test, ia itu ujian kelayakan untuk memasuki universiti di Amerika Syarikat.

Pelajar-pelajar itu juga akan mempelajari dua bahasa komunikasi antarabangsa disamping modul berkaitan jatidiri dan ko-kurikulum yang ditetapkan bersesuaian dengan keadaan semasa dan tempatan.

Walau pun asrama untuk mereka ini akan hanya dibina dalam fasa kedua pembangunan Pusat itu, pelajar-pelajar itu akan ditempatkan di Kolej Kris Mas bagi menentukan pelajaran mereka tidak terhalang.

Pusat juga akan mengambil 15 orang guru untuk mengajar mereka. Seramai sekitar 2,000 orang telah memohon menjadi guru di Pusat itu termasuk guru terlatih dan berpengalaman serta mereka yang mempunyai kemahiran tertentu yang ingin berbakti kepada Pusat PERMATApintar.

Satu lagi program yang akan bermula tahun ini ialah program ASASIpintar dengan pengambilan pelajar pertamanya mulai bulan Julai. Pelajar-pelajar ini dipilih dari pelajar yang memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM baru-baru ini dengan pencapaian minima 7A+.

Mereka ini ditaja oleh Jabatan Perkhidmatan Awam selama setahun dengan ditindikkan kepada enam fakulti di UKM. Program bagi mereka ini merangkumi kursus-kursus pengajian umum dan ko-korukulum, kursus-kursus tahun satu yang dipilih dari Fakulti Sains, Teknologi dan Ekonomi serta juga kursus berbentuk modular berkaitan pembinaan jati diri dan penyelidikan.

Selesai program itu pelajar ini akan mendaftar diri di fakulti-fakulti berkenaan seperti Fakulti Perubatan, Fakulti Pergigian, Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Fakulti Ekonomi dadn Perniagaan dan Fakulti Sains dan Teknologi.

Pusat itu kini sedang menunggu nama pelajar-pelajar itu dari  JPA dengan urusan pengambilan mereka diuruskan oleh Bahagian Pengurusan Akademik UKM.

Dr Noriah berharap berbagai program itu bukan saja dapat melonjakkan nama baik UKM di Malaysia tetapi juga di dunia sebagai pakar rujuk dalam pendidikan pelajar pintar dan cerdas.

Katanya UKM adalah satu-satunya institusi pendidikan di dunia yang mempunyai program lengkap untuk pendidikan pelajar pintar. Beliau juga berharap pusat akan berupaya mengeluarkan pelajar pintar yang bukan saja dapat memberi sumbangan kepada masyarakat tetapi juga negara serta melonjakkan pula nama baik UKM sebagai pengeluar pemikir dalam bidang Sains dan Teknologi.

Harapannya ialah satu hari nanti akan muncul saintis terkenal yang boleh memenangi Hadiah Nobel dari kalangan mereka itu.

Dr Noriah berkata bahawa pelajar pintar itu agak unik serta mempunyai kredibiliti dalam bidang akademik, berfikiran positif, mempunyai kemahiran berfikir ditahap yang tinggi dan berkebolehan memahami sesuatu yang tidak jelas.

Berita Kampus

Arkib Berita