Usaha perangi rasuah disuntik dengan sarjana pengajian rasuah

Selasa, 10 Ogos 2010 18:21
Cetak PDF

Oleh Abdul Ghani Nasir

BANGI, 10 Ogos, 2010 – Usaha memerangi rasuah dalam negara mendapat suntikan semangat lebih kental, kekuatan serta dorongan apabila lapan pegawai penguatkuasa lulus ijazah Sarjana Pengajian Rasuah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Setiap seorang daripada mereka menjalankan kajian khusus berkaitan satu aspek rasuah dalam tesis mereka di samping mendalami pelbagai sudut jenayah itu.

Ringkasnya kuliah, kajian, analisis dan hasil lawatan ke negara asing membuat lapan pegawai anti-rasuah ini lebih bijak, lebih analitikal, lebih peka dan hiharapkan lebih hebat dan semakin handal dalam bidang tugas masing-masing.

Mereka yang lulus peringkat sarjana itu adalah Jamil bin Mohd Dahalan, Zulkefle bin Abd Hamid,  Ab Muneim bin Ibrahim, Tahir bin Khalib, Rosdi bin Hassan, Abdul Halim bin Yacob, Nor Yatimah binti Yamin dan Liong Sau Lai. Mereka merupakan pelopor Sarjana Pengajian Rasuah dalam negara.

Kecuali Tahir, 59, yang menuntut hingga ke peringkat sarjana hanya kerana mahu meningkatkan ilmu, tujuh lagi rakan sekuliahnya itu masih bertugas.

Jamil bin Mohd Dahalan, 43, telah berkhidmat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama kira-kira 20 tahun sebelum kembali ke UKM untuk mengikuti pengajian rasuah. Ijazah sarjanamuda beliau adalah dalam bidang pentadbiran perniagaan.

Tugas penguatkuasaan undang-undang sememangnya menarik minatnya kerana bapanya yang mengutamakan disiplin dan tegas adalah seorang askar serta menjadi idolanya.

Bagi tesisnya, Jamil mengkaji program pencegahan rasuah dalam SPRM dan beliau amat berharap pendakwaan kes-kes rasuah dijalankan sendiri oleh suruhanjaya itu.

Itupun, mereka mengakui dalam setiap kes pendakwaan, unsur keraguan harus dihapuskan langsung bagi memastikan penjenayah dikenakan hukuman setimpal.

Nor Yatimah binti Yamin, 43, yang lulus diploma pentadbiran awam dari UITM yang kini sedang melanjutkan pengajian bagi mendapatkan ijazah sarjanamuda ilmu kajian jurispudence bertekad untuk sama-sama membendung jenayah rasuah di Malaysia.

Beliau menulis tesis: Peranan dan fungsi penggerak etika: Kajian kes khusus kepada memerangi rasuah.

Penggerak etika, katanya, adalah satu konsep berhubung pendedahan mengenai penyelewengan, salah laku, amalan-amalan dan atau ketinggalan yang salah daripada segi peraturan dan tidak sah daripada undang-undang yang berlaku di dalam sesebuah organisasi.

Dalam hal keikhlasan pemberi maklumat untuk mendedah pelakuan rasuah yang dilakukan oleh pihak lain adalah amat diperlukan bagi memudahkan penyiasatan.

Nor Yatimah berpendapat semua pihak perlu mempunyai sikap benci dan malu melakukan rasuah untuk memastikan negara kita bersih daripada rasuah.

Salah satu subjek dalam pengajian itu, iaitu penanda aras memerlukan mereka ke Singapura untuk mengkaji kaedah bagaimana Pasukan Polis, Capital Land (salah sebua syarikat GLC) dan agensi banteras rasuah (CPIB) membantu kerajaan di republik itu menangani rasuah. 

 

Zulkefle, 43, pula memberi contoh bagaimana mantan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew, dengan rela meminta CPIB menyiasat beliau dan anaknya jika berlaku atau tidak salahguna kuasa dalam pembelian rumah di kawasan Orchard Road beberapa tahun lalu.

Siasatan diteruskan walaupun Goh Chok Tong tidak begitu suka episod itu. Siasatan CPIB membersihkan nama Lee dan anaknya, Timbalan PM ketika itu.

Beliau yang berkelulusan Sarjanamuda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Ohio Amerika Syarikat menulis tesis sarjana bertajuk - Motif Informer Bekerjasama Dengan SPRM: Satu kajian kes.

Bagi Assisten Superintendan Liong Sau Lai, 34, beliau beranggapan rakyat akan lebih yakin dan menyokong usaha membanteras rasuah dengan sokongan kuat pemimpin dan tidak perlu ada tolak ansur dalam kes melibatkan rasuah.

Sebagai pegawai yang berkhidmat sejak tahun 2000, Liong menolak salah anggapan masyarakat kononnya anggota polis mudah dirasuah.

“Jika benar ramai sudah jadi kaya tetapi anggota polis tetap berpendapatan rendah dan tidak mewah hidupnya,” kata isteri kepada seorang peniaga yang membuat tesisnya bertajuk – PDRM dan jenayah rasuah dalam kalangan pegawai rendah polis.

Rosdi Hassan, 46, dan rakannya Abdul Muneim bin Ibrahim, 40 berpendapat rasuah masih dapat dikawal dan memerlukan kerjasama semua pihak bagi membanterasnya.

Rosdi yang lulus sarjanamuda pendidikan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 1998 membuat tesis –  Pencarian maklumat berkaitan rasuah: Kajian eksploratori di kalangan pegawai penyiasat bahagian siasatan ibupejabat SPRM Putrajaya.

Muneim pula yang telah berkhidmat dengan SPRM selama 13 tahun menulis tesis –Prosedur perlucutan harta mengikut Akta SPRM 2009.

Halim Yaacob, 46, kini lebih yakin dengan tugasnya di Maktab Polis Cheras. Beliau yang bertugas sebagai Ketua Bahagian Agama dan Kaunseling menulis tesis – Skim Kawalan Disiplin dan Dadah : Peranan Penyelia Terhadap Subordinat.

Berita Kampus

Arkib Berita