Oleh Siti Madihah Ahmad Mahir Pelajar Latihan Industri, UiTM dan Nurul Haziqah Abdul Halim Pelajar Latihan Industri, Lim Kok Wing Universiti
Foto oleh Saliman Leman
BANGI, 10 Jan, 2010 – Dua pelajar Fakulti Sains dan Teknologi merangkul hadiah pada Malam Anugerah Seni UKM 2010 – seorang memenangi Anugerah Naib Canselor dan seorang lagi Anugerah Seni Mahasiswi manakala Anugerah Seni Mahasiswa dimenangi pelajar dari Fakulti Kejuruteraan.
Noor Azrina Sidek, 21, pelajar tahun dua dari Fakulti Sains dan Teknologi, jurusan Sains Biologi (Haiwan) yang memenangi Anugerah Naib Canselor turut menerima Anugerah Pengurusan Teknikal.
Anugerah Seni Mahasiswi dimenangi oleh Norshida Mohmad Yasin, 22, pelajar tahun akhir di Fakulti Sains dan Teknologi jurusan Sains Sekitaran (Biologi) manakala Anugerah Seni Mahasiswa dirangkul oleh Zulkifli Ibrahim, 23, pelajar tahun empat bidang kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan.
Hadiah-hadiah berupa piala, sijil penghargaan dan wang tunai bagi anugerah utama itu disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Hal-Ehwal Antarbangsa), Prof. Dato’ Dr Ir Hasan Basri, di majlis Malam Anugerah Seni UKM 2010, di Dectar malam minggu lalu (8 Jan).
Selain penyampaian anugerah, hadirin turut dihiburkan dengan persembahan tarian dan nyanyian oleh pelbagai kumpulan pelajar dan tidak ketinggalan dendangan lagu oleh Al-Amril Othman, pensyarah dari Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan yang turut memukau seluruh dewan.
Malam Anugerah anjuran Pusat Kebudayaan, Jabatan Perkhidmatan Pelajar itu adalah acara tahunan dianjurkan untuk menghargai jasa dan sumbangan pelajar dan
kakitangan yang mencurahkan bakti dalam program kesenian selain memberi peluang mengasah bakat di kalangan mereka lantas menaikkan imej dan mengharumkan nama UKM.
Ia juga sebagai usaha memberi dorongan dan galakan agar warga kampus bergiat lebih aktif dalam setiap program kesenian di dalam dan di luar kampus selain memupuk perpaduan bangsa di kalangan masyarakat kampus.
Di segi pencapaian, pelajar UKM muncul johan dalam Pesta Pantun Bestari 2010 (Peringkat IPTA/IPTS); Naib Johan Festival Dondang Sayang MAKUM 2010; Johan Keseluruhan Pertandingan Festival Nasyid Kemerdekaan IPT Peringkat Kebangsaan 2010/1431H; Tempat Ketiga Festival Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia 2010, ia itu Nyanyian Antarabangsa – Emas; Nyanyian Irama Malaysia – Emas; Tarian Rampaian Melayu – Emas dan Tarian Klasik India – Gangsa.
Pemenang Anugerah Naib Canselor, Noor Azrina ketika ditemui memberitahu penglibatannya dalam ARTISUKMA secara amnya tidak mengganggu waktu belajarnya kerana kebanyakan acara yang mana beliau perlu bertugas diadakan pada waktu malam (contohnya, majlis makan malam kolej). Beliau menyiapkan tugasan kuliah tepat pada waktu dan memanfaatkan minggu ulangkaji sepenuhnya.
Noor Azrina juga melibatkan diri dalam ARTISUKMA sebagai salah satu cara meluaskan networking.
Walaupun terlibat dalam bidang ini, beliau tidak menyimpan hasrat untuk meneruskan karier dalam bidang seni kerana penglibatannya hanyalah untuk meluangkan masa lapang dengan berpersatuan. Beliau ingin meneruskan karier dalam bidang sains.
Pemenang Anugerah Seni Mahasiswa, Zulkifli Ibrahim, dari Kolej Pendeta Zaaba bergiat dalam seni tari sejak tahun satu dalam bidang tarian Melayu dan kontemporari dan berminat menjadi guru.
Beliau sentiasa memberi tumpuan kepada pelajarannya dan bergiat dalam seni bagi mengisi masa lapang. Selain bijak membahagikan masa beliau juga sentiasa bekerjasama rapat dengan rakan-rakan sepengajian dalam mengulangkaji. Beliau juga adalah ahli Jaksa Kebudayaan Kolej Pendeta Zaaba.
Pemenang Anugerah Seni Mahasiswi, Norshida Mohmad Yasin, pula memberitahu antara tanggungjawab ahli pengurusan seni ARTISUKMA ialah berurusan dengan pegawai kebudayaan serta menguruskan persembahan untuk acara-acara.
Penglibatannya dalam ARTISUKMA juga tidak mengganggu waktu belajarnya kerana biasanya kesemua ahli akan bergilir-gilir melakukan tugasan. Sesiapa yang mempunyai masa senggang akan ditugaskan ketika itu.
Selain itu, mereka turut merancang tugasan lebih awal. Contohnya, untuk acara yang bakal berlangsung pada bulan Mac, mereka akan memulakan tugasan sejak Januari lagi. Dengan ini mereka tidak terlalu sibuk atau kelam-kabut di pertengahan semester.
Bagi beliau, jika tidak dapat meneruskan karier dalam bidang seni sekalipun, sekurang-kurangnya kemahiran dan pengalaman yang beliau perolehi dalam ARTISUKMA ini, iaitu pengurusan acara, adalah amat berguna dalam kariernya kelak.
Pengetua Kolej Pendeta Zaaba, Prof. Madya Ahmad Sunawari Long berpendapat perancangan dan Jaksa yang gigih mengatur kegiatan membolehkan mereka meraih kemenangan buat kali ketiga berturut-turut tahun ini.
Selain ahli Jaksa yang aktif, mereka juga mempunyai jurulatih yang komited dan kemudahan bilik kesenian yang memberi perangsang kepada penggiat seni di kalangan pelajar.
Beliau berharap untuk terus mengatur pelbagai kegiatan hujung minggu bagi membantu pelajar mengisi masa terluang seperti acara membaca sajak.
Pemenang Penerbitan Foto, Ra’ai Osman, 53, pula menceburi bidang fotografi sejak 32 tahun lalu dan bertugas di UKM setelah tamat kursus Institut Latihan Belia Pertak.
Pada 1997, beliau menjadi pengajar untuk Kokorikulum UKM dan juga Penceramah Luar UKM Holdings.
Beliau gembira mememangi anugerah itu, namun amat terharu kerana UKM turut menghargai khidmat dan kemahiran fotografinya.
Berikut adalah senarai penuh penerima Anugerah pada Malam Anugerah Seni UKM 2010:
Anugerah Penerbitan Seni (Grafik/Cetak) - Festival Gamelan Malaysia UKM 2010 – Siti Norazilah Saharom
Anugerah Penerbitan Foto – Manifestasi Seni Tari Antarabangsa UKM 2010 -Ra’ai Osman
Anugerah Pengurusan Teknikal – Noorazrina Sidek – Teknikal Artisukma
Anugerah Seni Tradisi Lisan – Nor Adlyzan Theis – Artisukma
Anugerah Seni Muzik – Ahmad Busuki
Anugerah Seni Tari – Zulkifli Ibrahim – Tarian Aadyamaatra
Anugerah Seni Vokal – Mohd Taufik Shamsudin – Dikir Barat Tunas Warisan
Anugerah Seni Teater – Zuliati Jaidi – Teater Rimba
Anugerah Pengurusan Seni – Norshida Mohamed Yasin – Pengurusan Seni Artisukma
Anugerah Seni Beladiri – Mohamed Nasa’ei Abdullah – Seni Silat Gayung Malaysia
Anugerah Penggiat Seni Kampus – Dr Zubir Idris – Penasihat Kumpulan Tradisi Lisan
Anugerah Kumpulan/Kelab Teraktif
Arti’Z Kolej Pendeta Zaaba; Kumpulan Tarian Aadyamaatra Artisukma; Kumpulan Nasyid Artisukma
Anugerah Kreativiti Seni Projek
Persembahan Gitar Teramai (1000 Gitar) Malaysia Book of Records Sempena Festival Malaysia Inovatif 2010
Anugerah Kolej Teraktif
Kolej Pendeta Zaaba![]()

Nurul Hani Mardi menerima Anugerah Khas Juri Norshida Mohmas Yasin menerima Anugerah Kreativiti Seni Projek

Noor Azrina Sidek menerima Anugerah Naib Wakil kumpulan Trian Aadyanamaatra ARTISUKMA
Canselor menerima Anugerah kumpulan/kelab teraktif

Penerima Anugerah Citra Kencana Dr. Zubir Idris menerima Anugerah Penggiat Seni Kampus

Moheamed Nasa'ei Abdullah menerima Anugerah Zulkifli Ibrahim menerima Anugerah Seni Mahasiswa
Seni Beladiri

Zuliati Jaidi menerima Anugerah Seni Teater Pensyarah Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan,
Al-Amril Othman menyampaikan lagu 'Kerana Kau'

Norshida Mohmad Yasin menerima Anugerah Abdul Ra'ai Osman menerima Anugerah Penerbitan Foto
Seni Mahasiswi