Unit Inovasi Khas JPM Tinjau Potensi Memasarkan Teknologi Hijau UKM

Jumaat, 14 Januari 2011 11:22
Cetak PDF

Oleh Kuah Guan Oo
Foto oleh Saliman Leman


BANGI, 14 Jan. 2011 – Satu delegasi tiga-anggota dari Unit Inovasi Khas Jabatan Perdana Menteri (UNIK-JPM) melawat Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) dan Taman Inovasi Teknologi Tenaga Hijau Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk meninjau bagaimana mereka boleh mempercepatkan pengkomersilan rekaan UKM.


Mereka diberi taklimat mengenai hasil dan ciptaan para saintis dan penyelidik SERI oleh pengarahnya, Prof Dr Kamaruzzaman Sopian diikuti dengan melihat contoh-contoh sebenar rekaan itu yang didirikian di Taman Innovasi Teknologi Tenaga Hijau di depan kampus universiti.


Antara delegasi UNIK-JPM yang hadir  ialah Naib Presiden Eksekutif,  Encik Bas Mellson dan Naib Presiden Kanan, Encik Raguraman Gurusamy.


Lawatan mereka adalah untuk mendekati potensi penyelidikan UKM dan meninjau teknologi hijau yang telah dibangunkan oleh UKM serta peluang kerjasama dan kemungkinan menjadikan UKM sebagai rakan strategi pengkomersilan hasil dan rekaan teknologi hijau oleh para saintis dan penyelidik SERI di bawah program “accelerator” UNIK-JPM.


Antara hasil teknologi tenaga hijau SERI yang ditekankan oleh Prof Dr Kamaruzzaman ialah Sel Suria Termaju dan Sistem Fotovoltan, Sistem Terma Suria, Senibina Tenaga Rendah, Bahan Lestari Bangunan, Pengering Suria, Bahan Dana Pembuatan Plat Sel Fuel, Sistem Air Panas Suria dan Teknologi Tenaga Angin.


Delegasi itu ingin tahu sejauh mana SERI dan UKM dapat memasarkan ciptaan mereka kepada pihak swasta serta tahap perjumpaan yang pernah SERI adakan dengan sewasta.


Seorang ahli delegasi itu berkata tujuan mereka ialah untuk mengetahui bagaimana mereka boleh menambah nilai dan mewujudkan satu suasana yang baik untuk UKM dan pihak swasta menjadi rakan kongsi. UNIK-JPM juga akan menjemput pihak universiti asing atau rakan asing untuk mempercepatkan perkongsian universiti dan swasta dalam negara.


Antara inisiatif yang telah diambil UNIK-JPM ialah menjemput sebuah syarikat herba India yang berpengalaman selama 60 tahun dalam industri itu ke Malaysia untuk menubuhkan 12 pusat herba bagi memasarkan produk herba sebelum akhir tahun ini.

  

Berita Kampus

Arkib Berita