Memperkasa belia menjadi usahawan bertanggungjawab

Khamis, 27 Januari 2011 18:21
Cetak PDF

Oleh Siti Madihah Ahmad Mahir Pelajar Latihan Industri UiTM 


BANGI, 27 Jan. 2011 – Kesedaran bahawa kebanyakan belia kini berminat menjadi usahawan tetapi tidak berpengetahuan untuk melakukannya telah mengilhamkan AIESEC  UKM untuk menganjurkan suatu projek bagi memperkasakan belia dengan kemahiran keusahawanan.


Projek yang dinamakan Belia dan Keusahawanan – Rangkaian Pembelajaran (EYLN) 2011 bakal melengkapkan golongan belia dengan kemahiran keusahawanan menerusi kaedah praktikal dan teori dengan kerjasama beberapa tokoh korporat.


EYLN ialah suatu projek berkaitan keusahawanan. Peserta dari luar negara yang berada di bawah naungan AIESEC turut terlibat sebagai ahli jawatankuasa bagi menjayakan projek itu.


Timbalan Presiden Pengurusan Projek EYLN 2011, Choo Wei Lin, berkata EYLN tahun ini berkonsepkan Bisnes dan Tanggungjawab Sosial “bagi mencapai keseimbangan dalam perkembangan dunia bisnes dengan tanggungjawab terhadap masyarakat.”


Antara aktiviti yang akan dianjurkan sepanjang program EYLN 2011 ialah bengkel, persidangan dan pertandingan bisnes. Penyertaan terbuka kepada semua belia berumur antara 16 hingga 25 tahun.


Bengkel EYLN yang berkisar  kepada topik keusahawanan akan bermula selepas perayaan Tahun Baru Cina dan berlangsung selama sebulan.


Ini akan diikuti oleh persidangan dan pertandingan EYLN yang akan diadakan antara 11 hingga 13 Mac depan. Pertandingan itu adalah suatu pertandingan bisnes di mana peserta perlu mencipta suatu pelan perniagaan yang mematuhi tema EYLN 2011 iaitu tanggungjawab sosial.


Kesemua aktiviti itu akan diadakan di sekitar UKM.


Borang penyertaan serta maklumat lanjut mengenai aktiviti EYLN 2011 boleh didapati di laman web EYLN yang baru dilancarkan iaitu
www.eyln.com.my.


Pertanyaan juga boleh diajukan di laman Facebook EYLN di alamat
www.facebook.com/eylnfanpage.com.


Antara objektif projek itu termasuk menyediakan pelajar dengan pengetahuan praktikal dan teori dalam bisnes dan keusahawanan, memperkasa belia dengan kemahiran yang akan menggalakkan semangat keusahawanan, selain memberi kesedaran mengenai tanggungjawab syarikat terhadap pelbagai golongan masyarakat.


Turut menjadi matlamat EYLN adalah untuk menyediakan suatu platform bagi ahli-ahli AIESEC dalam dan luar negara untuk menambah pengalaman menguruskan sebuah projek.


Bagi mencapai tujuan itu, projek ini digerakkan bersama oleh 27 ahli jawatankuasa tempatan dan enam orang ahli AIESEC antarabangsa dari Rusia, Pakistan, Mauritius dan Kazakhstan untuk membantu mendapatkan tajaan, menganjurkan bengkel selain melakukan tugas-tugas publisiti.


EYLN, dianjurkan sejak tujuh tahun lalu, telah memberi kesan kepada 10,000 orang menerusi bengkel, persidangan dan pameran-pameran anjurannya.


 

Tahun lalu, projek ini berjaya mengumpul seramai 139 peserta dari pelbagai negara termasuk Belanda, Nigeria, Indonesia, China, Filipina dan Malaysia untuk hadir ke EYLN pada bulan Mei.


Projek EYLN telah berjaya memenangi anugerah seperti Best Initiative Award 2007 dan Best Initiative Award 2009.


EYLN adalah sebuah projek anjuran AIESEC UKM yang merupakan sebahagian daripada pertubuhan AIESEC, sebuah pertubuhan antarabangsa bertujuan memperkasa golongan belia dengan kemahiran pengurusan dan kepimpinan.


Laman web EYLN itu telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Abdullah di UKM awal minggu ini.

Berita Kampus

Arkib Berita