Air Mata Gembira Ibu-bapa di Majlis Penutup Program Kem Perkasa Remaja Felda-UKM

Isnin, 14 Februari 2011 17:03
Cetak PDF

Oleh Kuah Guan Oo dan Siti Madihah bt Ahmad Mahir Pelajar Latihan Industeri UiTM
Foto oleh Saliman Leman

BANGI, 14 Feb. 2011 – “Alhamdulillah, Alhamdulillah…” demikian kata seorang ibu dengan berlinangan air mata melihat anak bongsunya menerima sijil daripada Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri, di majlis penutup Program Kem Perkasa Remaja yang dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Felda di sini hari ini.

Puan Hasnah Othman telah datang ke Panggung Seni UKM dari Felda Jengka Pahang bersama salah seorang anak dan cucunya untuk penyaksi anak bongsunya, Mohamad Sazli Kamaruddin, 21, yang pernah terlibat dalam gejala Mat Rempit, menerima sijil itu.

Mohamad Sazli, yang kehilangan bapanya ketika baru berusia 1½ tahun, adalah seorang anak yang bermasalah selepas tercicir awal dari sekolah.

Sebagai anak bongsu antara lapan adik-beradik, dia akan keluar dari rumah dan tidak balik-balik berbulan-bulan, sehingga ibu serta abang dan kakaknya telah buntu untuk berusaha menangani masalah mengenainya.

“Anak-anak lain semuanya baik; hanya Sazli yang bongsu ini saja yang banyak memberikan masalah kepada saya,” katanya bersyukur dengan adanya Program Kem Perkasa Remaja itu dan amat gembira dapat memujuk Sazli menyertai kem selama dua bulan setengah itu.

“Alhamdulillah dia telah berubah dan telah balik ke pangkuan rumah…,” kata Puan Hasnah yang begitu gembira ketika ditemui selepas majlis penutup program itu.

Bagi peneroka Mostapha Mat Yusof, 56 dan isteri, Che Onah Hanafiah, mereka telah datang dari Kuala Ketil, Kedah, untuk menyaksikan anak ke-enam mereka, Fauzi, 23, menerima sijil tamat kursus itu.

“Saya menyokong program ini dan Felda mesti menyambung program yang baik ini,” tegasnya sambil merenung dengan bangga ke arah anak yang berdiri di sisinya.

Mostapha berkata Fauzi, anak ke-enam dari lapan orang adik-beradik, tidak terlibat dengan gejala Mat Rempit tetapi beliau menghantarnya untuk program itu demi menguatkan semangat dan jatidirinya, selain menimba kemahiran.

Beliau dan isterinya bersama ibu bapa dan sanak saudara peserta program itu yang lain telah menyaksikan persembahan oleh Fauzi dan 28 orang rakannya sebelum menerima sijil dari Rosmah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Dasar Permata Negara.

“Fauzi sekarang melanjutkan pelajarannya dan kami sedia menyokongnya,” kata Mostapha.

Program Kem Perkasa Remaja UKM-Felda kedua itu menyaksikan 29 orang remaja bermasalah termasuk mereka yang terlibat dalam gejala sosial menjalani berbagai modul untuk memperkasakan diri yang dilakukan pensyarah UKM  selain Sekolah Outward Bound di Lumut dan Jabatan Bomba dan Penyelamat antara yang lain.

Kesemuanya adalah anak-anak peneroka Felda dari berbagai-bagai rancangannya termasuk dari Kedah, Johor dan Kelantan.

Pengurus Besar Felda Datuk Dzulkifli Abdul Wahab berkata Program Kem Perkasa Remaja itu telah membawa kesan positif bukan hanya kepada remaja dan keluarga mereka tetapi juga kepada negara.

Felda, katanya, sedar bahawa gejala sosial remaja adalah suatu masalah sejagat dan berhasrat untuk terus bekerjasama dengan pertubuhan seperti UKM untuk membantu remaja bermasalah bagi memperkasakan diri mereka untuk menjadi insan yang berguna.

Antara remaja itu termasuklah mereka yang terlibat dengan dadah, Mat Rempit, ponteng sekolah, menghisap rokok dan ajaran sesat.

“Masalah ini adalah seperti duri dalam daging dan Felda memberi perhatian serius untuk  membendungnya, “ kata Dzulkifli.

Felda, katanya, telah berusaha mendirikan asrama untuk anak-anak peneroka dan gelanggang futsal di setiap skim Felda dalam tempoh dua tahun ini .

Felda juga mengadakan berbagai program latihan seperti kursus perniagaan di mana 60 orang anak peneroka telah berkecimpung dalam kegiatan perniagaan.

Hasil daripada Program Kem Perkasa Remaja Felda-UKM yang pertama tahun lepas, enam dari remaja itu telah mendapat pekerjaan sebagai Polis Bantuan manakala yang lainnya telah menerima tawaran pekerjaan atau memulakan perniagaan sendiri.  

“Kami harap Program Kem Perkasa Remaja ini dapat mengubah sikap remaja ini menjadi insan yang berguna kepada keluarga, Felda dan negara,” tambah beliau.

  
 
Hasnah Othman, dari FELDA Jengka, Pahang               Mostapa Mat Yusuf dan Che Onah Nanafiah,
                                                                               dari FELDA Wilayah Alor Setar

Berita Kampus

Arkib Berita