UKM kaji khazanah alam dan potensi eko pelancongan di Raub

Rabu, 09 Mac 2011 20:25
Cetak PDF

Oleh Siti Madihah Ahmad Mahir  Pelajar Latihan Industri UiTM
Foto Oleh Abdul Raai Osman

BANGI, 9 Mac 2011 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menjalankan penyelidikan serta mengadakan seminar dalam suatu usaha menerokai khazanah alam semulajadi, memelihara ekosistem dan mengkaji potensi ekopelancongan di daerah Raub, Pahang.

Seminar dua hari Bio-Kejuruteraan, Penilaian Ekosistem dan Spesies 2011: Siri Ke-3 Lata Jarum (SBESA 2011: S3LJ) yang berakhir di sini hari ini berperanan sebagai platform untuk membentang hasil-hasil penyelidikan yang telah dijalankan di Hutan Lipur Lata Jarum pada 16 hingga 21 November 2009 lalu.

Hutan Lipur Lata Jarum yang terletak kira-kira 35 km dari bandar Raub, meliputi kawasan seluas 50 ekar dan dilitupi Hutan Dipterokarp dengan ketinggian sehingga 500 meter dari permukaan laut.

Hutan lipur tersebut kaya dengan khazanah alam semulajadi termasuk flora dan fauna yang unik, tambahan pula dengan penemuan dua jenis bunga pakma (Rafflesia) baru di sana oleh Ketua Penyelidik dari Pusat Penyelidikan Bukit Fraser, UKM, Prof Dr Jumaat Adam.

Seminar itu menyaksikan kehadiran penyelidik dari universiti tempatan dan Indonesia selain pegawai, kakitangan jabatan dan penduduk negeri Pahang yang secara langsung terlibat dalam pemeliharaan, pemuliharaan dan aktiviti mempromosi ekopelancongan di Raub.

Lebih 20 kertas kerja yang meliputi bidang bio-ekologi, kimia dan fizikal serta persekitaran sosial di Hutan Lipur Lata Jarum telah dibentangkan. Turut diadakan, suatu sesi khas bagi membentangkan hasil-hasil penyelidikan di Bukit Fraser dan Pekan Baru, Riau, Indonesia.

Selain seminar, lain-lain aktiviti yang diadakan ketika SBESA 2011: S3LJ termasuk pameran hasil penyelidikan dan majlis pelancaran buku “Biokejuruteraan, Penilaian Ekosistem dan Spesies 2010 Bukit Fraser” oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Dato’ Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin, yang turut merasmikan seminar tersebut bagi pihak Menteri Besar Pahang.

Di majlis penutup seminar Pengerusi Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (PKBF), Dato’ Haji Shafik Fauzan Haji Sharif merakamkan penghargaan kepada UKM kerana usaha itu yang diharap dapat memajukan kawasan sekitar Raub yang mundur sejak puluhan tahun yang lalu.

Beliau berterima kasih kepada UKM dan Fakulti Sains dan Teknologi kerana mengambil inisiatif mengadakan kerjasama dengan kerajaan negeri melalui PKBF. Usaha itu bermula di Bukit Fraser dan dilanjutkan ke Lata Jarum hingga menghasilkan penemuan tertentu secara saintifik.

SBESA 2011: S3LJ dianjurkan bersama oleh Kumpulan Penyelidik Kesihatan Persekitaran, UKM; Pusat Penyelidikan Bukit Fraser, FST, UKM; Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM; Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser; dan Pejabat Daerah dan Tanah, Raub.

Hasil penyelidikan itu diharap dapat membantu kerajaan Pahang dalam proses membangunkan kawasan itu sebagai kawasan ekopelancongan demi meningkatkan ekonomi masyarakat setempat, selain memupuk kesedaran masyarakat untuk menghargai kepentingan ekosistem dan alam sekitar.


Berita Kampus

Arkib Berita