UKM Kukuhkan Hubungan dengan Takushoku University

Selasa, 22 Mac 2011 15:49
Cetak PDF

Oleh Abdul Razak Hussin

KUALA LUMPUR, 17 Mac 2011 - UKM berharap untuk memperkukuhkan lagi hubungan persahabatannya dengan Takushoku University Jepun melalui pelbagai aktiviti akademik dan sosial.
Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UKM Prof Dato’ Ir Dr Hassan Basri menyatakan harapan demikian dalam majlis meraikan pelajar-pelajar Takushoku University yang menyertai kursus intensif Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris empat minggu yang berakhir hujung minggu lalu.
Turut hadir di majlis yang berlangsung di Saloma Bistro Kuala Lumpur Khamis lalu ialah Prof. Madya Akihito Sato, Penyelaras Program dari Takushoku University, Prof. Madya Dr. Imran Ho Abdullah, Pengarah Pejabat Hubungan Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Mohamad Abdul Hamid, Timbalan Pengarah Pusat Kembangan Pendidikan dan Dr. Zarina Othman, Timbalan Pengarah Pusat Pengajian Umum UKM.

Prof Hassan telah merakamkan ucapan takziah dan simpati mendalam warga UKM kepada warga Takushoku University dan rakyat Jepun keseluruhannya yang sedang menghadapi kesan besar akibat tragedi gempa bumi dan tsunami yang melanda wilayah Fukushima.


Selain menghadiri kuliah dan aktiviti berbahasa secara interaktif, para peserta turut menyertai program inap desa (homestay) di Melaka, melawat beberapa perusahaan Jepun di Selangor serta lokasi pelancongan, Pelabuhan Klang serta menghadiri Pertandingan Akhir Pidato Bahasa Melayu Antarabangsa untuk Piala Perdana Menteri.

Prof. Madya Akihito merakamkan penghargaan kepada UKM di atas layanan mesra, kemudahan pembelajaran dan kualiti pengajaran yang disediakan. Ini diasaskan kepada audit yang beliau lakukan semasa program itu berlangsung.

Beliau menyatakan bahawa UKM adalah antara universiti terbaik dunia dan berharap akan dapat menghantar kumpulan pelajar yang lain pula bagi mengikuti program yang serupa.


Selain memperlihatkan keupayaan peserta mempersembahkan tarian dan nyanyian Malaysia, pada malam penghargaan tersebut seorang peserta yang menamakan dirinya Farah telah menyampaikan ucapan dalam bahasa Melayu dan seorang lagi yang menamakan dirinya Azri menyampaikan ucapan dalam bahasa Inggeris dengan baik selain menghiburkan para hadirin. 


 

Berita Kampus

Arkib Berita