Oleh Shahfizal Musa
Foto oleh Ahmad Hasnan Mansor
Kuala Lumpur, 22 Mac 2011 - Para penyelidik UKM diseru menerokai bidang antibakteria berasaskan tumbuhan kerana ia mempunyai potensi besar untuk mengeluarkan ubat antibiotik yang lebih berkesan.
Profesor Pelawat Dr. Simmon Gibbons dari School of Pharmacy, Universiti London berkata sebatian yang terdapat dalam tumbuhan adalah jauh lebih baik jika di bandingkan dengan antibiotik yang sedia ada dalam pasaran.
Dalam ceramanya bertajuk ‘Anti Bacteria dari Tumbuhan: Peluang Untuk Ujudkan Antibiotik Baru’ di Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu di sini semalam, beliau berkata terdapat peluang yang amat luas dalam bidang mengujudkan ubat antibiotik berasaskan tumbuhan.
Beliau menerangkan bahawa bakteria mempunyai kemampuan untuk menguatkan ketahanannya dari dimusnahkan oleh antibiotik dalam tempoh tertentu.
"Bakteria mempunyai kemampuan untuk mencipta mekanisma pertahanannya sendiri yang dapat melindunginya dari serangan untuk memastikan ia akan terus ujud."
Sudah diketahui bahawa bakteria membina sistem pertahanannya sendiri. Kesan dan impak kerosakan amat ketara yang mampu dilakukannya ke atas pesakit ditunjukkan oleh Prof Gibbons dalam pembentangannya itu.
Beliau telah menunjukkan gambar seorang pesakit yang telah dijangkiti satu jenis bakteria diberi nama Methicillin-resistant Staphylococcus Aureus -(MRSA). Bakteria itu didapati kebal dari antibiotik. Hingga kini belum ada antibiotik yang boleh memerangi MRSA dengan berkesan.
Gambar itu menunjukkan seorang pesakit yang telah dihiris isinya dari peha hingga ke bahagian atas belakangnya oleh doktor untuk menyelamatkan nyawanya. Bakteria itu telah pun memakan dan menghancurkan sel-sel di dalam tubuh pesakit hinggakan doktor tidak mempunyai jalan lain kecuali membuang bahagian yang telah dijangkiti bakteria itu bagi menyelamatkan nyawa pesakit.
Keadaan ini yang dikenali sebagai nekrosis hanya salah satu kesan buruk dari bakteria yang telah berjaya mengujudkan ketahanannya dari serangan antibiotik.
Yang membolehkan bakteria itu mendatangkan kerosakan begitu ketara adalah kerana kemampuannya mencipta Efflux pump yang dapat mengepam keluar bahan antibiotik dan dengan itu dapat melindunginya dari serangan.
“Efflux pump yang di dibina oleh bakteria akan menolak keluar antibiotik hingga tidak lagi akan mengancamnya,” kata Prof Gibbons.
Beliau mengakui dari berbagai usaha penyelidikannya tidak terdapat antibiotik yang cukup canggih untuk menyerang semua bakteria atau mengubahsuai keadaannya untuk memerangi bakteria.
Antibiotik yang terdapat sekarang tidak mampu mengubah strukturnya untuk memerangi bakteria. Namun antibiotik yang berasaskan tumbuhan mempunyai potensi besar kerana mempunyai sifat tanaman itu sendiri. ||
"Tumbuhan mempunyai kemampuan untuk memerangi serangan luaran untuk melindungi dirinya supaya ia boleh terus ujud. Ia mengandungi anti-mikrob yang memberikan kemampuan untuk memerangi bakteria yang kebal antibiotik," kata Prof Gibbons.
Kebaikan lain adalah antibiotik berasaskan tumbuhan berbeza dari antibiotik tradisional. Ini akan menyebabkan bakteria tidak mengetahui bahawa antibiotik berasaskan tumbuhan akan mengancamanya.
Dalam penelitiannya Prof Gibbons mendapati bahawa beberapa antibiotik berasaskan tumbuhan mempunyai potensi untuk melenyapkan efflux pump pada bakteria. Ini akan melumpuhkan sistem pertahanan bakteria terhadap antibiotik.
Setelah menjalankan penyelidikan keatas beberapa jenis tumbuhan, Prof Gibbons mendapati antibiotik dari tumbuhan mampu bertindak bagi melumpuhkan sistem pertahanan bakteria.
Beliau dengan itu menyeru penyelidik UKM menceburi bidang mengujudkan antibiotik berasaskan tumbuhan kerana ia mampu bertindak sebagai ubat yang lebih berkesan.
Turut hadir di ceramah itu ialah Dekan Fakulti Farmasi Prof Dr Ibrahim Jantan, pegawai-pegawai kanan dan pelajar siswazah fakulti Farmasi.![]()
