Kerjasama UKM Dengan Aceh Harus Dipertingkat

Selasa, 29 Mac 2011 12:14
Cetak PDF

Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto oleh Saliman Leman


Bangi, 28 Mac, 2011 – Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berharap hubungan rapat dalam bidang pendidikan di antara Indonesia terutama provinsi Aceh dengan UKM dapat dikembangkan demi mencapai matlamat memajukan bidang keilmuan dan pengetahuan.

Berucap di majlis perasmian Persidangn Antarabangsa Pembangunan Aceh anjuran Persatuan Gabungan Anak Aceh UKM di Panggung Seni di sini Sabtu kelmarin (26 Mac), Prof. Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, juga mahu para penyelidik UKM dan Aceh terus bekerjasama meneroka kegemilangan ilmu terutamanys di slsi Melayu supaya alam ini tetap bergemerlapan di pentas dunia.

“Saya yakin dengan semangat kerjasama Nusantara kita mampu membawa perubahan dan menjadi bangsa yang disanjung seluruh masyarakat dunia,” katanya.

Hubungan rapat di antara Indonesia dengan UKM telah terjalin sejak peringkat awal perkembangan UKM pada tahun-tahun 1970an lagi. Kerjasama dan sokongan pensyarah Indonesia pada waktu itu telah membantu UKM menerajui pendidikan tinggi di Malaysia, tambah beliau.

Hubungan ini, kata Prof Sharifah Hapsah, berterusan hingga kini dalam konteks jaringan akademik, pertukaran pensyarah dan pelajar, perkongsian kepakaran, seminar bersama dan termasuklah kerjasama dengan beberapa universiti di Aceh seperti Universitas Syiah Kuala Banda Aceh dan Universitas Malikusaleh Lhokseumawe Aceh.

Pada masa ini lebih kurang 200 pelajaar Aceh sedang melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang di peringkat prasiswazah, sarjana dan PhD di UKM.

Prof Sharifah Hapsah berkata UKM amat berbangga ramai daripada Alumni UKM yang berasal dari Aceh telah berjaya menjawat jawatan penting dalam membangunkan ekonomi dan sosio masyarakat wilayah itu.

“UKM sentiasa meletakkan agenda Alumni sebagai salah satu agenda penting universiti yang perlu dikembangkan dalam usaha memacu UKM kea rah kejayaan.
“Alumni ini adalah duta-duta kecil kepada UKM yang turut menyumbang usaha meluaskan jaringan universiti,” tambah beliau.

Duta Besar Indonesia di Malaysia, Tan Sri Dr Da’i Bachtiar yang turut berucap berkata negaranya sentiasa mengalu-alukan pelaburan dari sini tetap sedar wujudnya beberapa masalah pentadbiran dalaman di Indonesia yang perlu diatasi.

Beliau memberi contoh beberapa projek pembukaan tanah untuk penanaman kelapa sawit oleh pelabur Malaysia yang diluluskan pihak Gabenor Wilayah dan daerah terhalang berikutan larangan penebangan hutan simpan setelah Indonesia memeterai Perjanjian Copenhagen.

Pihak wilayah dan daerah tidak sedar akan larangan dan kawasan terlibat adalah hutan simpan, kata Dr Bachtiar.

Gabenor Aceh Drh. Irwandi Yusuf yang merasmikan persidangan dua hari itu telah menggariskan rancangan pembangunan 2012-2020 dan usaha provinsi itu memajukan ekonomi Aceh yang teruk dilanda krisis sejak bencana tsunami pada 2004 yang memusnahkan banyak prasarana di sana.


Sebanyak 148 kertaskerja dibentangkan oleh pengkaji antaranya dari UKM, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaya, Universitas Syiah Kuala di Banda Aceh dan Universitas Nasional Indonesia.

Berita Kampus

Arkib Berita