Penyelidik Temu Pokok Dianggap “Hilang” di Hutan Simpan Kekal UKM

Rabu, 06 April 2011 18:19
Cetak PDF

Oleh Kuah Guan Oo
Foto oleh Saliman Leman dan Abd Raai Osman (Penerbit UKM)


BANGI, 5 April 2011 – Dua jenis pokok hutan termasuk satu spesi yang tidak diketahui ujud di Semenanjung telah ditemui di kawasan Hutan Simpan Bangi yang berada dalam kawasan kampus UKM.


Pokok Botryophora geniculata (famili Euphorbiaceae atau pokok putat miang ) dan beberapa pohon Ternstroemia magnifica (famili Theaceae) telah ditemui oleh sepasukan penyelidik diketuai penyelaras Hutan Simpan Kekal (HSK), UKM Dr Wan Juliana Wan Ahmad.


Penemuan pohon
Ternstroemia magnifica itu di Hutan Simpan Kekal, UKM merupakan satu-satunya saja spesi itu yang dijumpai di semenanjung sehingga kini. Pohon jenis ini biasanya terdapat di Borneo. Manakala speci Botryophora geniculata pula adalah yang terbaru ditemui di situ.


Timbalan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UKM Prof Dr Mazlan Abdul Ghaffar yang mengumumkannya hari ini berkata walau pun hutan itu telah dikaji selama 40 tahun, masih terdapat penemuan baru yang mengejutkan.


Beliau membuat pengumuman itu di upacara perasmian Ekspedisi Saintifik  HSK dan HPA (Hutan Pedidikan Alam) UKM di sini mulai hari ini. Beliau adalah pengerusi ekspedisi tersebut.


Seramai 80 orang pensyarah dan pelajar termasuk dari dua buah universiti luar menyertai ekspedisi selama tiga hari itu bagi menyelidik dan merekodkan flora dan fauna dalam HSK-HPA seluas 881 hektar itu, yang juga meliputi kawasan hutan yang telah dibalak, hutan paya dan selebihnya ladang getah dan kelapa sawit.

Prof Mazlan berkata penemuan itu membuktikan bahawa walaupun hutan itu telah dikaji selama 40 tahun, masih terdapat penemuan baru yang mengejutkan dan menanti ditemui oleh ekspedisi itu, yang kedua dilakukan UKM.


Beliau berkata ekspedisi kedua itu adalah paling tepat bagi mereka meneroka khazanah UKM dan menyeru peserta agar dapat membantu mereka merekodkan penemuan-penemuan baru, sebelum semakin banyak kawasan hutan UKM terpaksa dikorbankan untuk pembangunan pada masa akan datang. Ekspedisi pertama telah dijalankan hampir 40 tahun lalu.


“Harapan saya, semoga hasil ekspedisi kali ini akan diabadikan. Dikongsi dan disebarkan dalam bentuk  seminar dan juga penerbitan buku seperti buku meja kopi ataupun monograf.


Beliau menerangkan bahawa pihaknya mengalu-alukan para penyelidik ekspedisi itu meneruskan kajian mereka walau pun setelah selesai ekspedisi kerana ianya terlalu singkat. UKM bersedia memberi bantuan kepada yang memerlukan.


Mengikut rekod lama, terdapat 164 spesies burung dalam HSK-HPA itu selain pokok-pokok berharga seperti meranti, jelutung, nyatuh, keruing dan kembang semangkuk.

 

Hutan tersebut yang terletak kira-kira 40 km ke arah selatan Kuala Lumpur telah digazetkan sebagai Hutan Simpan Bangi pada 1906. Pada tahun 1970an, hutan itu telah diserahkan kepada UKM untuk pembinaan kampusnya dan pada 1993, Hutan Simpan Bangi telah digazetkan sebagai “kawasan hijau” universiti dan ditukar nama kepada Hutan Simpan Kekal UKM.


HSK telah dibuka sebagai salah satu eko-pelancongan ilmu UKM atau K-Eco Tourism” dan segala maklumat boleh diperolehi dari laman webnya:
www.ukm.my/hutan.

Terdahulu dari itu, Naib Canselor UKM, Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, dalam ucapan perasmiannya berkata  ekspedisi tersebut diadakan sempena dengan “The International Year of Forests 2011” yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sambutan ulang tahun ke 40 UKM.


“Empat objektif utama telah disasarkan, ia itu; Hutan Untuk Insan Sejagat; Mempertingkatkan Nilai Hutan; Mempraktiskan Pengurusan Hutan secara Mampan dan Korelasi Hutan dengan Kehidupan Harian,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Dekan FST, Prof Dr Sahrim Hj Ahmad.


Beliau berkata HSK-HPA mengandungi sekitar 600 spesies flora termasuk paku pakis, lumut, kulat, alga dan liken manakala mamalia, reptilia, amfibia, serangga dan haiwan yang lain pula dianggarkan berjumlah 800 spesies.


Sejak 2008 hingga kini HSK-HPA menerima kunjungan seramai 3,000 orang termasuk yang mengadakan program di hutan itu.


“Dalam usia 40 tahun UKM, kita perlu mengukuhkan landasan yang dibina dengan mengutarakan konsep ekosistem ilmu UKM sebagai wahana membina momentum menatar keunggulan universiti,” kata Prof Sharifah Hapsah.

Berita Kampus

Arkib Berita