UKM Hargai Warga Cemerlangnya di Majlis Anugerah Inovasi

Jumaat, 15 April 2011 00:00
Cetak PDF

Oleh Abd Ghani Nasir
Foto oleh Saliman Leman


BANGI, 15 April, 2011- Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dato’ Wira Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin mengajak semua warga UKM sentiasa berusaha melakukan inovasi besar-besaran bila melaksanakan tanggungjawab mereka.


Beliau mengingatkan semua warganya baik dari kalangan akademik atau pun pentadbiran untuk menjadikan usaha melaksanakan tugas demikian dengan tekun dan berterusan sebagai suatu amalan budaya.


Berucap di Majlis Anugerah Inovasi UKM Ke-6, di Puri Pujangga, di sini malam ini, Prof Sharifah Hapsah mengharapkan akan wujud suasana di mana warga UKM berani mengambil risiko untuk berkarya, mencuba dan mencetus idea baru dengan bersandarkan kepada amalan terbaik dunia.


“Kita Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan untuk terus meredah realiti, merintis perubahan dan mencipta kejayaan. Apa yang diperlukan adalah keazaman yang tinggi,”  tegasnya.


Beliau menjelaskan inovasi dalam bentuk cetusan idea, rekabentuk, ciptaan atau pembangunan produk, proses, sistem, struktur organisasi atau model perniagaan yang memberi nilai baru serta pulangan kewangan dan sosial amat penting bagi transformasi yang diidamkan di peringkat UKM, negara dan dunia.


“Jadi amat tepatlah anugerah yang kita sampaikan bertemakan inovasi kerana kita menzahirkan pengiktirafan kepada warganya yang telah menghasilkan inovasi dari segi pendidikan, penyelidikan dan memberikan perkhidmatan berkualiti serta penambahbaikan dalam pelbagai aktiviti utama universiti,” katanya.


Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UKM,  Tan Sri Dato' Paduka Dr. Mazlan Ahmad, Timbalan-Timbalan Naib Canselor, Pegawai Pengurusan Utama, Pegawai-pegawai Kanan, Penerima Anugerah dan juga warga UKM turut hadir di majlis itu.

 

Berita Kampus

Arkib Berita