Bilik Pembedahan Tercanggih di Lancarkan di UKM.

Rabu, 20 April 2011 09:45
Cetak PDF

Oleh Shahfizal Musa
Foto oleh Saliman Leman


Kuala Lumpur, 19 April, 2011 – Pusat Perubatan UKM (PPUKM) telah melancarkan sebuah bilik bedah berdefinisi tinggi, OR1 untuk membolehkan pembedahan invasi minima atau pembedahan saiz lubang kunci.


Ia dilengkapi dengan sistem senarai-semak dan masa-henti sebagai ciri keselamatan sekali gus menjadikan bilik bedah tersebut sebagai antara bilik bedah tercanggih di dunia.


Bilik bedah itu dilancarkan dengan rasminya oleh Menteri Kesihatan Dato’ Sri Liow Tiong Lai kelmarin. Ia membolehkan PPUKM melakukan pembedahan endoskopi yang rumit dan kompleks. Pembedahan buah pinggang, pankreas, uterus dan juga kolon kini dapat di lakukan dengan mudah.


Pembedahan sebegini boleh dilakukan tanpa pesakit terpaksa menanggung proses pemulihan yang lama kerana perlu pulih dari luka bekas pembedahan yang besar.


Dato’ Sri Liow dalam ucapan perasmiannya berkata bahawa adalah menjadi tanggung jawabnya untuk memastikan Malaysia setara dengan perkembangan terkini dengan mempunyai peralatan yang canggih.


Beliau berkata “adalah tidak cukup untuk memastikan pakar bedah mampu membuat prosedur pembedahan terkini kerana tanpa alat-alat yang sesuai, ia adalah seumpama melatih juruterbang tanpa memberi mereka kapal terbang.”


Pembedahan terbuka biasa memerlukan badan pesakit di potong agak besar untuk membetulkan sebarang masalah di dalam badan. Sebaliknya pembedahan bersaiz lubang kunci dilakukan hanya dengan membuat potongan sekecil 5mm sahaja.


Ini akan mengurangkan trauma dan jangka masa pemulihan juga lebih cepat tanpa memerlukan masa pemulihan yang lama. Ini dapat mengurangkan kos kepada pesakit kerana tempoh mereka perlu berada di hospital juga dapat dikurangkan.


Pembedahan konvensional amat bergantung kepada kakitangan sokongan. Tetapi dengan ujudnya OR1 pakar bedah boleh melakukan banyak perkara pembedahan dan kerja-kerja sampingannya dengan sendiri tanpa ramai pembantu.


Dia boleh melakukan kerja-kerja yang diperlukan sendiri hanya dengan menyentuh skrin komputer. Ini akan mengurangkan ramai kakitangan berkerumun di keliling pesakit dan dengan itu boleh meningkatkan kecekapan operasi bilik bedah.


OR1 juga dilengkapi alat untuk persidangan video yang membolehkan ahli bedah berhubung dengan pakar lain dari seluruh dunia tanpa perlu mereka berada dalam bilik bedah.


Professor Ulung Tan Hock Lim, pakar bedah yang berperanan besar untuk mengujudkan OR1 di PPUKM turut membuat demonstrasi menggunakan alat endoskopi kepada Menteri Kesihatan dan para wartawan yang hadir.


Beliau berkata OR1 adalah seperti sebuah kapal terbang Jet Jumbo, di mana semua butang untuk mengawal pesawat berada di hujung jari juruterbang.


Begitu juga dengan OR1 segala-galanya dapat dikawal oleh pakar bedah. Ini termasuk mendapatkan nasihat dari pakar bedah yang berada di tempat lain di seluruh dunia.


Professor Tan berkata dengan OR1 Malaysia kini mampu membuat pembedahan yang masih belum dapat dilakukan oleh Singapura. Kita sekarang menerajui bidang pembedahan lubang kunci di rantau ini.


Naib Canselor UKM Prof Tan Sri Dato’ Wira Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin mengumumkan sebuah pusat latihan pembedahan Advanced Surgical Skills Centre (ASSC) yang sedang dalam pembinaan akan mula beroperasi di UKM pada Januari tahun depan.


“Saya amat gembira yang ASSC akan membuahkan hasil pada hujung tahun ini. Kita juga akan menyediakan sebuah makmal untuk doktor pelatih belajar mempraktikkan dan mengasah kemahiran mereka dengan mengunakan model sebelum menjalankan pembedahan ke atas manusia,” kata beliau


ASSC akan dilengkapi dengan bilik pembedahan berdefinisi tinggi sama seperti simulator penerbangan di mana para pakar bedah dapat berlatih secara ‘virtual’ sebelum membuat pembedahan ke atas pesakit.


Gunter Gruber Duta Republik German, Dr Sybill Stroz Ketua pegawai Eksekutif Strorz Group, pembekal OR1, Dekan-dekan Fakulti dan Ketua Jabatan telah hadir di pelancaran itu. 

 



Berita Kampus

Arkib Berita