Skim Zamalah Perdana UKM pikat siswazah PhD cemerlang bertaraf dunia

Jumaat, 13 Mei 2011 17:21
Cetak PDF

Oleh Abdul Ghani Nasir


BANGI, 13 Mei, 2011 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melancarkan suatu Skim  Zamalah dengan peruntukan berjumlah RM500,000 setahun untuk menarik pelajar siswazah cemerlang bertaraf dunia meneruskan pengajian untuk ijazah PhD di universiti itu.


Skim Zamalah Perdana itu juga bertujuan melonjakkan prestasi penyelidikan UKM dengan meningkatkan bilangan pelajar penyelidikan yang cemerlang. Peruntukan itu adalah sebahagian daripada dana RM5 juta yang disediakan kepada pelajar siswazah sebagai Zamalah Universiti Penyelidikan (ZUP) bagi tahun 2011.


Dikendalikan oleh Pusat Pengurusan Siswazah (PPS) UKM, dana Skim Zamalah Perdana itu ditanda aras dengan National University of Singapore, National Taiwan University dan Hong Kong dengan mengambil kira faktor kuasa membeli setara.


Pengarah PPS, Prof Dr Aini Hussain berkata beberapa syarat telah digariskan bagi pelajar yang ingin memohon meliputi syarat bagi keperluan akademik pemohon dan juga keperluan universiti sendiri.


Tempoh pembiayaan bermula daripada semester pertama pendaftaran untuk tempoh maksimum tiga tahun.


Beliau berkata pelajar yang berjaya menerima Zamalah Perdana akan diberi elaun bulanan sebanyak RM4,000 berserta pembiayaan yuran pengajian, yuran pemeriksaan tesis sekali sahaja dan elaun penyediaan tesis. Bagaimanapun, mereka perlu menanggung yuran lain.


Iklan bagi permohonan Skim Zamalah Perdana itu telah pun dikeluarkan bulan April lalu dan dibuka sepanjang tahun dengan sesi pemilihan diadakan pada Julai dan Disember setiap tahun.


Prof Aini juga menerangkan bahawa PPS telah menerima 215 permohonan daripada seluruh fakulti dan institut UKM untuk mendapatkan pembiayaan Zamalah Universiti Penyelidikan 2011. Selepas saringan pertama mengikut klasifikasi CGPA, sebanyak 188 calon layak dipertimbangkan.


Selepas saringan kedua, seramai 116 calon, 51 untuk pengajian PhD dan 65 untuk pengajian sarjana, telah dipilih dan ditawarkan Skim Zamalah Universiti Penyelidikan 2011 itu dengan pelajar PhD menerima elaun bulanan RM2,300 seorang manakala pelajar peringkat sarjana diberi elaun RM1,800 sebulan berserta pembiayaan yuran pengajian, tambah beliau.

Berita Kampus

Arkib Berita