UKM Amalkan Pengurusan Risiko Menuju ke Autonomi Penuh

Sabtu, 25 Jun 2011 09:00
Cetak PDF

Oleh S Sivaselvam
Foto oleh Saliman Leman


BANGI, 24 Jun,2011- Naib Canselor, Profesor Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin,  menekankan peri pentingnya kakitangan UKM di semua peringkat mengamalkan pengurusan risiko. 

Semua Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dikehendaki mengamalkan empat prinsip tadbir urus baik untuk layak mendapatkan autonomi dan menegaskan pengurusan risiko harus tertanam di dalam semua empat prinsip itu. 

Berucap  merasmikan bengkel pertama UKM mengenai pengurusan risiko, di sini hari ini, beliau berkata ia bertujuan meningkatkan kesedaran pentadbir dan pengurusan akademik mengenai pentingnya mengambilkira pertimbangan risiko dalam membuat keputusan. 

“Langkah ini sangat penting bagi tadbir urus baik yang juga akan meyakinkan Kerajaan bahawa kita sudah bersedia untuk autonomi,” katanya.

Beliau menarik perhatian bahawa autonomi dikenalpasti sebagai satu agenda kritikal kerajaan untuk mentransformasi IPTA ke arah kecemerlangan.

Ini termaktub dalam strategi ketujuh Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) di mana Lembaga Pengarah Universiti atau LPU akan diperkasakan dengan autonomi supaya berprestasi tinggi dan efektif dalam menjalankan tanggungjawab  memastikan IPTA berdaya saing dan dinamik menuju ke arah kegemilangan. 

Prof Sharifah menerangkan Perdana Menteri  sewaktu membentang Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh telah mengaitkan autonomi dengan keupayaan IPTA bertindak dengan pantas dan berkesan  memenuhi harapan masyarakat serta kebebasan para akademik menyelidik, menjana ilmu, mencipta rekaan dan inovasi yang memberi nilai baru daripada segi sosial, ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar. 

Perdana Menteri berkata IPTA akan diberi autonomi dengan syarat universiti membuktikan mempunyai tadbir urus baik dari segi langkah kebertanggungjawaban yang ditetapkan. 

Justeru KPT telah menubuhkan sebuah jawatankuasa mengenai tadbir urus baik ke arah autonomi penuh untuk Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menjelang tahun 2015, yang dipengerusikan oleh Prof Sharifah Hapsah. 

Dengan bantuan penyelidik UKM dan kumpulan fokus yang terdiri daripada wakil beberapa IPTA, jawatankuasa itu telah membangunkan kod tadbir urus baik IPTA. Kod ini mengandungi prinsip tadbir urus baik, amalan baik dalam tadbir urus baik di universiti dan prosedur serta alat menilai kesediaan IPTA untuk autonomi. 

Kod ini memberi panduan bagi menjamin kebertanggungjawaban, ketelusan serta integriti setiap keputusan dan tindakan yang dibuat. 

Kod dan alat menilai kesediaan ini telah diuji oleh juruaudit yang bebas ke atas tiga buah IPTA, termasuklah UKM.  Secara am, ia menggariskan empat perkara utama dalam tadbir urus yang perlu dilakukan dengan baik sebelum diberi autonomi.

Pertama: Tadbir urus institusi.

Kedua: Tadbir urus baik dalam pengurusan, kewangan dan penjanaan kekayaan.

Ketiga: Tadbir urus baik dalam pengurusan sumber manusia.

Keempat: Tadbir urus baik dalam pengurusan akademik.

Prof Sharifah Hapsah berkata satu aspek penting yang disentuh dalam amalan tadbir urus yang baik bagi sesebuah universiti adalah mengenai Pengurusan Risiko dalam ke empat-empat perkara itu. 

“Dalam apa saja keputusan yang dibuat, tentulah ada risikonya, sama ada besar atau pun kecil. Ia akan memberi kesan kepada institusi jika tidak diurus dengan baik,” tegasnya.  

Justeru UKM mengadakan Bengkel Pengurusan Risiko ini untuk menerangkan proses yang diaplikasikan dalam organisasi untuk menentukan potensi berlakunya sesuatu perkara yang akan memberi kesan kepada organisasi tersebut. 

Beliau juga menekankan bahawa pengurusan risiko bukan aktiviti Lembaga Pengurusan Universiti (LPU), Canselori atau Kedekanan semata-mata.“Ia adalah tanggungjawab kita semua. Proses pengurusan risiko adalah aktiviti bersepadu di peringkat operasi dan strategik,” katanya. 

Beliau turut mengumumkan Konsep Pengurusan Risiko Enterpris digunakan untuk memperluaskan erti pengurusan risiko. Melalui konsep ini, proses pengurusan risiko adalah lebih bersepadu, meletakkan lebih penekanan kepada kerjasama antara jabatan atau entiti dalam organisasi untuk menguruskan pelbagai risiko organisasi secara keseluruhan. 

Di UKM, Lembaga Pengarah Universiti telah meluluskan polisi pengurusan risiko pada 10 Februari 2011. Antara lain, polisi ini memperincikan perlaksanaan kerangka pengurusan risiko di peringkat universiti dengan menjelaskan peranan, tanggungjawab entiti tertentu dalam UKM dan menentukan perkara yang perlu dilakukan untuk merealisasikan hasrat ini. 

Mesyuarat Pengurusan Universiti pada 7 April 2011 pula telah bersetuju dengan penubuhan Pejabat Pengurusan Risiko untuk menjadi pusat yang dapat mengintegrasikan proses dan memberi khidmat pengurusan kepada pusat tanggungjawab (PTJ) dalam hal pengurusan risiko Universiti secara menyeluruh. Prof Dr Norman Mohd Salleh adalah Ketua Pejabat itu. 

Pejabat itu juga akan membangunkan Inventori Risiko dan Respons, Senarai Semak serta Templat sebagai titik permulaan untuk PTJ menilai operasi mereka dan membantu mereka dalam pengurusan risiko. Ia juga akan membangunkan sistem pelaporan pengurusan risiko yang telus dari PTJ kepada pihak pengurusan sehingga kepada Lembaga Pengarah Universiti, kata Prof Sharifah Hapsah.

Diterjemahkan oleh Abdul Ghani Nasir


Berita Kampus

Arkib Berita