Pasukan bola tampar lelaki UKM juara enam kali Sukan MASUM

Sabtu, 02 Julai 2011 07:47
Cetak PDF

Oleh Mejar Mohd Jasmy Abd Rahman,
Pengurus, Bola Tampar UKM


BANGI, 1 Julai  2011 – Pasukan bola tampar lelaki Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) muncul juara kali keenam berturut-turut dalam Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) mengalahkan pasukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 3-0 dalam perlawanan akhir di gelanggang Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, minggu lalu.


Sebagai ganjaran meraih pingat emas itu, enam pemain, jurulatih dan pengurus pasukan itu bersama-sama empat pemain lagi daripada IPT lain akan mewakili Malaysia di Kejohanan Sukan Malaysia-Indonesia (SUKMALINDO) pada 23 - 27 Julai 2011nanti.


Ganjaran ini diberikan pihak Kementerian Pengajian Tinggi dan MASUM bagi mengangkat martabat sukan negara di peringkat antarabangsa.


Kejohanan Bola Tampar Sukan MASUM yang berlangsung dari 20 Jun hingga 24 Jun itu disertai sebanyak 19 buah pasukan mewakili IPT seluruh negara.


Pasukan UKM selaku penyandang kejuaraan sebanyak lima kali berturut-turut dari 2006 hingga 2010 bertanggungjawab menggalas cabaran menyumbang pingat emas untuk UKM.


UKM diletakkan di dalam kumpulan A bersama-sama UPSI dan Universiti Malaysia Sarawak (UMS) dan memulakan rentak dengan baik menjuarai kumpulan A.


Pada peringkat suku akhir UKM bertemu Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan meraih kemenangan mudah 2 - 0. Bagaimanapun, pasukan UKM menghadapi saingan getir di peringkat separuh akhir apabila bertemu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang turut dibarisi dua pemain pasukan Sukan SEA 2009.


Pasukan UTM hampir berjaya mengalahkan UKM apabila hanya memerlukan satu mata terakhir sahaja lagi untuk menang tetapi pada saat-saat genting itu, pemain-pemain UKM dengan penuh semangat berjaya memintas UTM pada set terakhir dengan kemenangan 3 - 2.


Perlawanan akhir UKM bertemu UPSI dan tanpa memberi peluang langsung kepada UPSI lantas dengan mudah ditewaskan lawan kita itu 3-0.

Berita Kampus

Arkib Berita