Institut Genom Malaysia Telah Menghasilkan 30 Paten

Rabu, 24 Ogos 2011 21:26
Cetak PDF

Oleh Shahfizal Musa
Foto oleh Mohd Hairul Azmi Jahid


BANGI,  24 Ogos 2011- Institut Genom Malaysia (IGM) yang ditubuhkan pada tahun 2006 telah berjaya menghasilkan lebih daripada 30 paten yang akan digunakan membina pelantar teknologi untuk sektor industri tertentu.


Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili  berkata bilangan paten yang dihasilkannya akan berganda menjelang akhir tahun ini.


IGM yang bermula hanya sebagai sebuah makmal kini telah mempunyai kompleksnya sendiri di sini yang dilancarkannya hari ini. Kompleks itu menyediakan berbagai kemudahan untuk penyelidikan bioteknologi kebangsaan.


Ongkili berkata IGM kini sedang melaksanakan projek MyGenome  iaitu satu projek penjujukan genom 25 warga Malaysia daripada berbagai kumpulan etnik dari Semenanjung, Sabah dan Serawak.


Proses penjujukannya itu telah selesai dengan data yang dikumpul sedang dianalisa untuk membangunkan Malaysian Genome Repository  ia itu suatu pangkalan data bagi berbagai kajian bidang perubatan dan antropologi  untuk kepentingan rakyat.


IGM bertanggung-jawab dalam penyelidikan DNA untuk memahami impak genetik seseorang. Ini akan membolehkan langkah-langkah pencegahan di jalankan sebelum sesuatu penyakit terbentuk.


Ia akan merubah cara rawatan diberikan, menyebabkan kurangnya penyakit dan membawa penemuan baharu terutamanya penawar kepada penyakit-penyakit kronik.


Ongkili mengucapkan terima kasih kepada UKM sebagai rakan strategik IGM kerana kerjasama dan sumbangan berterusannya membantu dan menyokong pembangunan fasiliti itu.


Ketua Pengarah IGM Professor Emeritus Dr Nor Muhammad Mahadi juga mengucapkan penghargaan kepada UKM atas bantuan yang diberikan dalam membangunkan kemudahan itu termasuk menyediakan kakitangan teknikal dan sokongan.


Hadir di upacara itu adalah Naib Canselor UKM Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Ketua Setiausaha MOSTI, Dato’ Madinah binti Mohamad, Timbalan Naib Canselor (Hal –Ehwal Penyelidikan dan Inovasi ) UKM Prof Dr Rahmah Mohamed, Pengarah Institut Molekular Biologi UKM, Prof Dato’ Dr Abdul Rahman Jamal dan penyelidik dari beberapa Universiti lain.

 

Berita Kampus

Arkib Berita