Oleh S Sivaselvam
Gambar oleh Pkk dan Unit Foto, Penerbit UKM
BANGI, 24 Sept, 2011 - Profesor Dr. Freda Andrea Meah @ Myint Myint Mu, 67, yang dikenali sebagai antara pakar bedah endokrin yang terkemuka di dunia, di anugerahkan gelaran Profesor Emerita di Majlis Konvokesyen ke-39 UKM oleh Canselor dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, di sini hari.
Prof Meah berkelulusan ijazah sarjana muda perubatan dan pembedahan dari University of Rangoon pada tahun 1964. Walaupun mendapat pendidikan awal di Yangon, Myanmar, hampir keseluruhan masa dan tenaga beliau sebagai pakar perubatan telah dicurahkan di Malaysia.
Kerjaya Prof Meah sebagai pendidik di Malaysia bermula seawal tahun 1969 apabila dilantik sebagai pensyarah di Jabatan Anatomi di Universiti Malaya. Disebabkan ingin menimba ilmu dan meluaskan pengalaman, beliau telah diterima masuk ke University of Washington, Seattle, Amerika Syarikat, selama setahun.
Pada 1976 beliau juga telah dianugerahkan Felo Kolej diRaja Pakar Bedah Australasia. Anugerah ini melayakkan beliau digelar pakar bedah dan ketika itu beliau adalah antara pakar bedah wanita pertama di Malaysia.
Prof Meah mula menjadi ahli keluarga UKM pada tahun 1973. Beliau merupakan salah seorang pelopor yang menubuhkan jabatan pembedahan di Fakulti Perubatan. Berkat usaha beliau dan rakan- rakan sejawat, Fakulti Perubatan UKM telah menjadi pusat yang terulung dalam bidang pembedahan dan pusat kecemerlangan untuk melatih pakar bedah di Malaysia.
Beliau juga telah berjaya menjadikan Pusat Perubatan UKM sebagai pusat rujukan utama kes endocrine surgery dan kes pembedahan yang rumit. Sehingga kini ramai anak didiknya menjadi pakar bedah yang berjaya bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara.
Sebagai tokoh akademik, beliau juga aktif dalam penyelidikan dan telah menghasilkan lebih 100 penerbitan. Beliau sering diundang untuk menyampaikan ceramah di persidangan kebangsaan dan antarabangsa.
Pada 1996 Prof. Meah telah dilantik sebagai Presiden Persatuan Pakar Bedah Endokrin Asia dan menganjurkan persidangan persatuan tersebut yang pertama di Malaysia.
Semasa di UKM, Prof Meah terkenal dengan sifat lemah lembutnya. Namun di sebalik kelembutan tersebut beliau mempunyai sifat ketegasan dan disiplin yang kuat. Ini jelas ditunjukkan kepada calon sarjana Surgeri am di UKM di mana setiap hari semasa bertugas, tepat jam 7 pagi beliau telah bersedia memberi kelas atau membuat rondaan wad. Ini secara langsung telah memupuk sifat disiplin kepada anak didik beliau yang diamalkan sehingga kini.
Dalam ucapan balasnya, Prof Meah menyifatkan anugerah Profesor Emerita sebagai yang terbesar yang diberikan kepadanya kerana ia mengiktiraf perkhidmatannya kepada UKM selama lebih 35 tahun.
“Sejak muda lagi, saya hanya menjadi doktor, dan di kolej perubatan, para pensyarah menggalakkan saya menjadi seorang pakar bedah,” katanya.
“Pada tahun 1973, UKM memberi saya peluang untuk dilatih sebagai pakar bedah dan saya terhutang budi untuk peluang itu.
“UKM adalah rumah kedua saya, dan rakan-rakan sejawat dan pelatih-pelatih menjadi keluarga saya juga. Saya akan menyumbang perkhidmatan saya kepada UKM pada bila-bila masa dikehendaki.” ![]()