Bahasa Melayu Patut Digunakan Untuk Pengajaran Sains dan Teknologi

Selasa, 04 Oktober 2011 00:00
Cetak PDF

Oleh Shahfizal Musa


BANGI, 4 Okt. 2011- Sains dan teknologi patut diajar dalam bahasa Melayu di sekolah untuk menentukan warga masa depan akan mengikut acuan, budaya dan nilai negara, kata seorang Pakar fizik di UKM.


Prof Dato’ Dr Mohd Yusof Hj Othman Pengarah Institut Hadhari UKM berkata sebagai seorang saintis beliau amat yakin bidang-bidang itu perlu di ajar dalam bahasa kebangsaan.


Berucap membincangkan isu bahasa kebangsaan di wacana Bahasa Kebangsaan anjuran Institut Alam dan Tamadun (ATMA) UKM di Bangunan Canselori di sini semalam, Prof Yusof berkata bahasa Inggeris tidak mengandungi nilai spiritual dan akan gagal dalam menyampaikan makna sebenar sesuatu perkataan.


Beliau memberikan satu contoh ia itu perkataan sincerity dengan diterjemah sebagai ikhlas dalam bahasa Melayu. “Perkataan Ikhlas membawa makna membuat sesuatu untuk mendapakan keredaan Allah semata-mata,”


“Dan perkataan Honest tidak dapat memberi makna yang sama seperti Amanah yang membawa maksud yang melangkaui maksud jujur. Amanah turut meliputi perasaan kebertanggungjawapan kepada Allah”


Bahasa, katanya, bukan sahaja alat untuk berkomunikasi kerana ia turut membawa budaya dan kepercayaan sesuatu masyarakat.


Oleh itu menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa bagi bidang sains dan teknologi hanya akan membawa padah dan kita akan membuat kesilapan yang sama yang telah dibuat oleh Barat .


Sains di Barat tidak mempunyai ruang untuk agama atau kerohanian manakala Islam tidak mengekang perkembangan bidang sains malah telah membantu dalam banyak situasi


Beliau juga mengingatkan bahawa masyarakat sekarang terlalu taksub dengan bidang sains dan teknologi dan terlepas pandang kepada perkara yang lebih penting.


Dana mencurah dalam bidang sains tetapi bidang sains sosial tidak diberikan perhatian yang sama.


Perkara yang sama berlaku dengan perihal penerbitan di mana penerbitan dalam journal menjadi kayu ukur untuk kejayaan di bidang akademik.


Penyelidikan dalam bidang sains sosial adalah lebih bermatlamatkan penyelesaian masalah. Walaupun penyelidikan yang dilakukan tidak di terbitkan dalam jurnal impak tinggi, ia telah menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh masyarakat.


Beliau menekankan pengajaran sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris tidak memastikan keberkesanan pengajaran tersebut.  Negara seperti Korea dan Jepun menerajui dalam beberapa bidang teknologi dan mereka tidak memerlukan bahasa Inggeris untuk mencapai kejayaan.


Sementara itu seorang lagi anggota panel, Pengarah Urusan Bernama Radio 24, Mohamad Letfee Ahmad berkata industri perfileman memerlukan satu panduan istilah dalam bahasa Melayu.


Beliau menceritakan bagaimana apabila menceburi dunia pekerjaan, beliau berhasrat untuk memartabatkan bahasa Melayu tetapi menghadapi kesukaran.


Kebanyakan orang lebih gemar berbahasa Inggeris walaupun mereka menjalankan program berbahasa Melayu.


Masalah pada masa sekarang adalah penggunaan istilah dalam bahasa Melayu di kalangan Penyiar . Kesilapan kerap dilakukan oleh wartawan terutamanya mereka yang terlibat dalam bidang penyiaran. Kesilapan pengunaan istilah kerap berlaku walaupun ia sepatutnya telah dikenal pasti.


Beliau mengeluh mengenai ketandusan sumber tenaga di bidang penyiaran yang mempunyai penguasaan bahasa Melayu yang baik.


Timbalan Pengarah ATMA, Prof Dr Teo Kok Seong kesal dengan keadaan sekarang di mana terdapat pergolakan antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.


Ada kelompok yang memperjuangkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik dan pandangan mereka itu diberi ruang dalam akhbar tempatan yang tertentu hingga  ada pula suara yang berpendapat bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa penyatuan untuk negara ini.


Prof Teo berkata kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dilindungi oleh perlembagaan. Kumpulan yang ingin memperjuangkan bahasa Inggeris ini sebagai bahasa yang sesuai dan menjadi pilihan gagal membuktikan dakwaan mereka dengan kajian yang telah terbukti.


Beliau berkata bahasa Inggeris bukan lagi dianggap sebagai hanya satu bahasa sahaja tetapi kini ia adalah satu komoditi yang menguntungkan. Pulangan yang lumayan dapat diperoleh dalam industri pengajaran bahasa Inggeris.
Turut hadir di wacana tersebut adalah Pengarah ATMA, Prof Dr Abdul Latif Hj Samian, pensyarah, pecinta bahasa Melayu dan pelajar . 

Berita Kampus

Arkib Berita