UKM Menangi Tempat Kedua Anugerah Inovasi KPT 2011

Jumaat, 04 November 2011 00:00
Cetak PDF

Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto oleh Hj. Ismail Ibrahim

BANGI, 4 Nov, 2011 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memenangi  tempat kedua Anugerah Inovasi Kementerian Pengajian Tinggi 2011 (AIKPT 2011) dengan projeknya Jurnal Elektronik Teks Penuh (JETP) : Pusat Sehenti Carian e-Jurnal Berimpak Tinggi.

Hadiah berupa trofi, sijil dan wang tunai RM3,000, disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohd Khaled Nordin kepada Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabuddin dalam satu majlis di Putrajaya, semalam.

JETP sebelum ini pernah memenangi Anugerah Inovasi ICT UKM (April 2011) dan adalah Naib Johan Konvensyen ICC Perpustakaan SeMalaysia pada Jun lepas.

Jabatan Pengajian Kolej Komuniti Kementerian telah memenangi tempat pertama dengan projek Pengurusan Maklumat Menggunakan ePSH Berasaskan Teknologi Atas Talian untuk Pemantauan Pelaksanaan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH). Tempat ketiga jatuh kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim.

Projek inovasi UPSI adalah Sistem Maklumat Bersepadu Universiti. Anugerah Inovasi KPT telah berlangsung setiap tahun sejak 2009 dengan tema “Inovasi Peneraju Transformasi KPT” pada tahun ini.

Sejumlah 50 projek inovasi telah diterima oleh pihak urus setia untuk dipertandingkan dengan 35 daripadanya didapati layak dan memenuhi syarat wajib pertandingan.

Daripada 35 projek terpilih itu, hanya 13 telah disenarai pendek untuk ke peringkat penilaian pembentangan dengan sejumlah tujuh projek berjaya dipilih untuk peringkat akhir untuk dinilai secara lawatan ke lokasi projek.

Tiga projek inovasi terbaik kemudiannya dipilih sebagai penerima Anugerah Inovasi KPT 2011. Pustakawan Kanan Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL) UKM, Shamsudin Ibrahim menjelaskan JETP dicipta oleh Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK KLIK) daripada PTSL. Kumpulan terdiri daripada 14 orang ahli pelbagai gred jawatan. Ia mula dicipta pada Mei 2010 dan digunakan pada Julai 2010.

JETP boleh diakses di seluruh dunia melalui URL
http://www.eklik.ukm.my/jetp

Ia mengandungi 27,000 e-jurnal iaitu 25,000 e-jurnal yang dilanggan oleh Perpustakaan UKM dan 5,000 diakses secara percuma di Internet. JETP dibangunkan menggunakan perisian sumber terbuka tanpa kos pembangunan dan dengan itu telah menjimatkan belanja RM100,000 jika dibangunkan oleh syarikat luar. Ia memudahkan UKM kerana pengguna tidak perlu melanggan produk daripada luar negara. Penjimatan kos adalah RM30,000 setahun kepada UKM.

 

Shamsudin berkata sehingga kini lebih150,000 akses berjaya direkodkan dengan mencatatkan peningkatan akses melebihi 200% berbanding 2010. JETP didapati telah diakses oleh pengguna dari 25 buah negara. Selain internet ia juga boleh digunakan melalui aplikasi telefon pintar, tablet dan sudah beberapa kali dibentangkan kepada perpustakaan IPT di Malaysia hingga mendapat minat yang amat menggalakkan. Sambutan terhadapnya juga telah bertambah, kata Shamsudin.

Beliau menjelaskan bahawa ia boleh digunakan untuk menyemak permohonan artikel jurnal oleh pelanggan dalam UKM dan pelanggan dari luar UKM melalui Perkhidmatan Pembekalan Penerbitan.

Ia juga mengandungi modul pengajaran dalam Kursus Kemahiran Maklumat untuk pelanggan perpustakaan, bagi menyemak jurnal untuk tujuan langganan selain menyelesaikan pertanyaan dan rujukan di Meja Penasihat Pembaca.

Di samping Anugerah KIPT, JETP juga, adalah Finalis Anugerah Inovasi Negara. Pameran dan penilaian akhir akan diadakan di PWTC pada 15-16 November 2011 ini.

Beliau berkata JETP akan dikomersialkan dengan kerjasama Syarikat Terbitan UKM, UKM Technology Sdn Bhd apabila JETP 2.0 yang sedang dalam fasa akhir pembangunan telah siap. Ia dijangka memasuki pasaran pada Disember depan.

JETP menerima Dana Inovasi UKM sebanyak RM100,000 pada Jun 2011 untuk membangunkan JETP 2.0.

Shamsudin berkata JEPT juga telah menjimatkan masa carian e-jurnal berimpak tinggi daripada 25 minit sebelum ini kepada dua minit sahaja. “Perkongsian sumber maklumat peringkat kebangsaan telah berlaku dalam JETP melalui Pinjaman Antara Perpustakaan dan PTSL telah merekodkan jumlah muat turun teks penuh tertinggi iaitu 2.1 juta artikel teks penuh telah dimuat turun pada tahun 2010.

“Hasil pulangan daripada pelaburan pula adalah RM2.40 per artikel teks penuh disebabkan perpustakaan melanggan e-jurnal. Jika tidak penyelidik, ahli akademik dan pelajar UKM yang membeli sendiri artikel teks penuh perlu membayar kos antara RM80-RM120 per artikel
untuk memuat turun teks penuh,” kata Shamsudin. 

Berita Kampus

Arkib Berita