Pengantarabangsaan UKM Menguntungkan Masyarakat

Jumaat, 25 November 2011 00:00
Cetak PDF

Oleh S. Sivaselvam
Foto oleh Anthony Ulek Jeti

KUALA LUMPUR, 24 Nov. 2011 – UKM terus berusaha memberi faedah kepada masyarakat walaupun bergiat ke arah pengantarabangsaan, kata Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Langkah yang diambilnya untuk menyemai keusahawanan dan inovasi dalam keseluruhan kurikulumnya tidak bermakna UKM harus dianggap semata-mata sebagai pengeluar pekerja berpengetahuan, berinovasi, berteknologi dan berkemahiran.

“Satu sistem yang hanya digerakkan oleh pasaran mungkin secara tidak langsung meminggirkan perkara seperti etika dan nilai, kepercayaan, kerohanian, kebahagiaan, toleransi, saling hormat menghormati, perkongsian, prihatin dan saying menyayangi.

“Namun sejajar dengan aspirasi Model Ekonomi Baru, UKM memastikan sensitiviti sosial dan penglibatan kemasyarakatan bagi menangani masalah masyarakat kekal sebagai prioriti utamanya.

“Universiti mesti terus melangkaui sempadan pemahaman dengan melahirkan pengetahuan demi kesan pengajaran dan keperkasaan sambil melaksanakan peranan dalam budaya keusahawanan,” tegas beliau.

Prof Sharifah Hapsah telah berucap mengenai perspektif universiti dan pengantarabangsaan pelajaran tinggi di Malaysia di persidangan empat hari Kepemimpinan Antarabangsa dalam Pengurusan Universiti Global di sini hari ini. Ia dianjurkan oleh Universiti Nottingham Kampus Malaysia.

Ditanya oleh seorang peserta daripada 42 orang pengurus dan pemimpin kanan pendidikan tinggi dari Britain, Singapura, Belgium dan Amerika Syarikat yang menghadiri persidangan itu sama ada penglibatan kemasyarakatan bersaing dengan agenda keusahawanan dan inovasi UKM, beliau menerangkan bahawa hal itu tidak berlaku kerana rancangan UKM adalah berbentuk keusahawanan sosial di mana walaupun ia digerakkan oleh pasaran dan diurus secara komersial, produk dihasilkan bertujuan membaiki kehidupan masyarakat. Tambahan pula ia mewujudkan pekerjaan.

Sebagai contoh: Sebuah syarikat terbitan UKM menumpukan usaha mengkomersialkan hasil penyelidikan tenaga suria di mana penduduk kampung diambil bekerja untuk memasang panel solar sebagai sebuah industri kampung.

Prof Sharifah Hapsah berhujah bahawa di segi pengantarabangsaan di peringkat institusi, pendekatan seharusnya satu gabungan perspektif antarabangsa dengan dinamik dalaman misi universiti.


“Ini memerlukan adanya dimensi antarabangsa terhadap pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan, kaitan masyarakat dengan industri selain urus tadbir, kepemimpinan dan pengurusan bakat,” kata beliau.

Matlamat pengantarabangsaan seharusnya membolehkan institusi pendidikan tinggi terlibat memberi sumbangan, bertindak balas dan menyesuaikan diri kepada persekitaran yang pelbagai selain berfokus kepada arena global yang sentiasa berubah.

“Dalam proses itu, mereka seharusnya mencapai reputasi yang cemerlang dan baik,” tambahnya.

Beliau mengulangi bahawa pengantarabangsaan dan penswastaan adalah strategi penting untuk Malaysia mengembangkan sektor pendidikan dan menarik minat pelajar melalui hab pendidikan dalam konsep jaringan pendidikan global.

Daya alun itu boleh dikekalkan di bawah Rancangan Transformasi Ekonomi dengan menumpukan kepada peluang untuk pembaikan, katanya.

Sambil menarik perhatian betapa penglibatan kemasyarakatan dan perpindahan pengetahuan boleh diantarabangsakan, beliau memberi contoh kolaborasi UKM dengan Lembaga Pembangunan Langkawi dalam usaha memastikan Langkawi diiktiraf sebagai Geopark Dunia ke-52 dalam Rangkaian Geopark Jaringan Global UNESCO pada Jun 2007.

“Ia adalah hasil penyelidikan 25 tahun dan taraf geopark mewujudkan peluang-peluang eko-pelancongan yang mendatangkan kepada masyarakat,” katanya.

Prof Sharifah Hapsah juga menjelaskan bahawa pengantarabangsaan melibatkan banyak perkara dalam mengubah dinamik dalam misi utama mengajar dan belajar, menyelidik dan inovasi, penglibatan masyarakat dan industri di samping pengkomersialan.


Ia adalah sesuatu yang berterusan, berorientasikan masa depan, pelbagai dimensi, pelbagai disiplin dan mempunyai wawasan digerakkan daya kepemimpinan.

Sebelum Malaysia melaksanakan inisiatif pendidikan merentasi sempadan yang agresif, kira-kira enam peratus  pelajar Malaysia yang melanjutkan pendidikan tinggi telah keluar negara dengan kerajaan melaburkan lebih RM2 bilion setahun daripada dana swasta dan awam.

Bagaimanapun, dengan pembebasan dan pengglobalisasi pada tahun-tahun 80-an pendidikan rentas sempadan menjadi satu perkhidmatan boleh diperdagangkan dengan nilai pasaran global mencapai angka trilion dolar.

Dalam perdagangan ini, Malaysia adalah pengeksport bersih, tetapi walaupun ia membelanjakan lebih 3.5 peratus daripada Keluaran Negara Kasar dalam eksport pendidikan, ia meraih cuma 0.5 peratus hasil darinya.

Ketidakseimbangan ini menjadi penggerak kepada perubahan strategi dan pemikiran pada 1996 dengan pendidikan tinggi diswastakan dan pendidikan diberi kebebasan autonomi. Ini menjadikan pendidikan sebagai satu jentera daya pengeluaran ekonomi dan dengan itu pendidikan rentas sempadan telah berkembang maju, digerakkan terutamanya oleh sektor swasta.

Bagaimanapun, perubahan bukan hanya digerakkan oleh pertimbangan ekonomi bagi mengurangkan pengaliran modal dan merangsang hasil daripada pelajar asing; peruntukan swasta berkualiti dan rentas sempadan dilihat sebagai ciri penting dalam meningkatkan kemasukan dan meluaskan peluang untuk pemilihan pelajar, terutama dalam pasaran di mana persaingan bersandarkan inovasi.

Di antara strategi pengantarabangsaan yang dilaksanakan kerajaan adalah:

· Menubuhkan pusat strategik dalam negara untuk mempromosi dan melindungi reputasi pendidikan tinggi Malaysia.

· Menganjurkan pesta pendidikan dan lawatan promosi.

· Menyelaraskan dasar imigresen dan visa kerajaan dengan pendidikan.

· Menggalakkan mobiliti pelajar dan rancangan pengajian luar negara.

· Lebih banyak program akademik diakreditasikan oleh badan antarabangsa.

· Menambah kolaborasi bersama di antara kerajaan dengan institusi melalui perjanjian dua hala dan pelbagai hala.

· Mengundang lebih banyak universiti bertaraf tinggi menubuhkan kampus cawangan.


Prof Sharifah Hapsah berkata hasil segala usaha itu amat besar di segi pertumbuhan institusi pengajian tinggi swasta, termasuk kampus cawangan universiti asing.

“Lebih penting lagi, kami merintis banyak inovasi dalam pendidikan rentas sempadan seperti pengajian berkembar, francais, pengajian lanjutan, pendidikan jarak jauh dan bersama atau penganugerahan berganda kepada kelayakan akademik, vokasional dan profesional,” beliau menambah.

“Semua kegiatan ini menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan cemerlang yang menyediakan pendidikan berkualiti untuk pelajar tempatan dan antarabangsa.”

Malaysia dengan itu dapat mengurangkan pengaliran keluar hampir RM29.5 bilion setahun untuk rakyatnya yang belajar di luar negara pada satu ketika kepada hanya RM7.5 bilion.

Pada 2009, terdapat pengaliran masuk kira-kira RM1.3 bilion daripada pelajar asing dan ini meningkat kepada RM2.6 bilion pada 2010. Sektor ini memberi sumbangan RM27 bilion atau empat peratus Pendapatan Kasar Negara pada 2009, dan ini dijangka bertambah kepada RM61 bilion menjelang 2020.

Impak sosialnya adalah lebih hebat lagi, kata Naib Canselor itu: dimana perkongsian antarabangsa membantu membina keupayaan kolej swasta dengan sesetengah daripadanya dinaik taraf kepada kolej universiti dan universiti penuh.

Pada April 2011, ada 488 institusi pendidikan tinggi swasta meliputi 436 berstatus kolej bukan universiti, 22 kolej universiti, 25 universiti penuh dan lima kampus cawangan universiti asing.

Bersama dengan universiti awam, politeknik dan kolej komuniti, semuanya berjaya mengambil 17 kali ganda pelajar – pada 2007 kira-kira 942,200 pelajar, di mana sebanyak 40 peratus daripada mereka belajar di institusi swasta.

Pelajar antarabangsa meningkat dari hanya 0.7 peratus daripada keseluruhan jumlah pelajar pada 2007 kepada 3.4 peratus pada 2011, menjadikan Malaysia salah sebuah penyedia pendidikan tinggi antarabangsa yang berkembang maju. – Portal Berita UKM

Diterjemahkan oleh Abdul Ghani Nasir

Berita Kampus

Arkib Berita