Persembahan Orkestra IPTA Serlah Ketrampilan Pelajar

Isnin, 28 November 2011 00:00
Cetak PDF

Oleh Abdul Razak Hussin
Foto oleh Abd Raai Osman


BANGI, 28 Nov. 2011 – Pelajar-pelajar yang menyertai Bengkel Orkestra IPTA telah menunjukkan bakat mereka yang terserlah dalam Persembahan Orkestra IPTA 2011 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, UKM di sini hari ini.


Persembahan Orkestra IPTA itu dipimpin oleh Dato’ (Dr) Johari Salleh, Felo Kanan UKM dan Encik Mohd Adzan Mohd Fadzil, Pegawai Pusat Kebudayaan UKM. Persembahan pelajar itu telah digabungkan bersama beberapa orang pemuzik Kumpulan Orkestra RTM yang jelas telah mengkagumkan para hadirin.


Bengkel Orkestra IPTA itu bermula Khamis lalu dan berakhir Ahad lepas di bawah Program Rentak Kampus RTM – Majlis Kebudayaan Universiti Malaysia (MAKUM). Ia bertujuan mencungkil dan menggilap bakat dan kreativiti pelajar dalam kemahiran bermain alat muzik.


Peserta bengkel juga dibimbing mengenai teknik yang betul dalam bermain alat muzik untuk persembahan orkestra. Mereka terdiri daripada pelajar IPTA, yang mempunyai kemahiran bermain alat muzik orkestra. Bengkel itu telah dibimbing oleh Dato’ Johari dengan dibantu pemuzik berpengalaman dari RTM. 

Antara tetamu yang menyaksikan persembahan itu termasuk Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin; Pengerusi MAKUM, Prof Mohd Fadzil Abdul Rahman; Timbalan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dato’ Paduka Dr Junaidi Abu Bakar dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UKM, Prof Ir Dr Othman A Karim.

 
 

Berita Kampus

Arkib Berita