Pekerja Asing: Malaysia Perlukan Dasar Jangka Panjang Menyeluruh

Jumaat, 20 April 2012 00:00
Cetak PDF

Oleh Rejal Arbee
Foto Ahmad Shiddan Saidi

BANGI, 20 April 2012 – Negara perlu mengubah sikapnya terhadap kebanjiran pekerja asing ke mari dengan mengadakan suatu dasar jangka panjang yang menyeluruh yang boleh mengatasi masalah itu dengan berkesan.

Demikian rumusan Prof Dr Azizah Kassim dari Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas) UKM dalam syarahan umumnya di Canselori di sini hari ini atas tajuk “Dasar Pekerja Asing di Malaysia – Perlunya Anjakan Paradigma”.

Beliau berpendapat negara tidak boleh lagi bergantung kepada dasar jangka pendek yang berubah-ubah dan tidak menentu hingga membawa kepada pelbagai masaalah sosio-budaya, ekonomi, keselamatan dan politik yang tidak berkesudahan.

Beliau telah menghuraikan dengan panjang lebar usaha ad hoc yang tidak berkesan yang dilakukan untuk menangganinya sejak begitu lama kebelakangan ini.

Hujahnya itu dilengkapi berbagai angka yang menggambarkan betapa serius dan terdesaknya masaalah itu kini yang akan bertambah rumit lagi kiranya kerajaan masih tidak mahu melihatnya secara menyeluruh dan cuba menangganinya dengan menjalankan tindakan reaktif saja seperti apa yang dilakukan sekarang.

Maka itu Malaysia, katanya, perlu mengambil tindakan segera secara menyeluruh untuk mengelakkan kesan negatif dari kehadiran mereka itu menjadi lebih buruk dan lebih serius.

Dasar pekerja asing yang ada sekarang sering berubah-ubah dan mempunyai banyak kelemahan yang telah membawa hasil bertentangan dengan objektifnya, bahkan ada diantaranya telah meramaikan lagi PATI (pendatang asing tanpa izin) bukannya mengurangkan seperti dirancang.

Beliau juga berkata bahawa strategi pembasmian PATI tidak cukup dengan regularisasi, pengampunan, rondaan sempadan, penahanan dan pengusiran.

Semua punca peningkatan jumlah mereka itu perlu diberi pertimbangan termasuk kos pengambilan mereka yang tinggi kerana dikomersilkan padahal kiranya usaha pengambilan dilakukan secara jalinan sosial terutama jalinan kekeluargaan akan mengurangkan kos itu selain dapat menjamin kebajikan pekerja dan kepentingan majikan.

Prof Azizah berkata usaha mengadakan suatu dasar komprehentif ini amat mendesak kerana penggantungan negara kepada pekerja asing akan bertambah dan berterusan bukannya berkurangan.

Sekali pun terdapat sektor yang telah meningkatkan mekanisasi dan automasi dalam pengeluaran bagi menambah produktiviti dan mengurangkan tenaga buruh masih wujud sektor yang tidak mudah diautomasi seperti pekerjaan dalam rumah menjaga bayi dan kanak-kanak atau pun orang tua.

Malaysia kini berhasrat menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi dan dalam keadaan demikian ia akan terus memerlukan tenaga kerja asing.

Oleh kerana dasar sekarang bermasalah kerajaan perlu mencari jalan mengurangkan penggunaan pekerja asing. Beliau bagaimana pun tidak yakin dengan cadangan dua rampang melalui Model Ekonomi Baru ia itu menguatkuasakan standard buruh yang sama bagi pekerja tempatan dan pekerja asing serta menggunakan sistem levi untuk meningkatkan kemahiran tenaga asing.

Beliau dapat terima cadangan pertama tetapi tidak yakin penambahan levi akan menjamin majikan akan mengurangkan jumlah pekerja asing mereka.

Majikan telah pun diwajibkan membayar levi pekerja mereka sejak April 2010 malangnya masih terdapat majikan yang tidak mamatuhi peraturan malah ada yang memaksa pekerja mereka membayar kos itu melalui potongan gaji.

Prof Azizah juga mempersoalkan tindakan penguatkuasaan terhadap berbagai peraturan yang terpilih-pilih dan dengan itu telah tidak berkesan.

Beliau juga telah menghuraikan soal hak asasi pekerja asing di mana Malaysia mempunyai tanggung jawab untuk menunjukkan komitmen kepadanya.

Malaysia, katanya, tidak boleh menyelesaikan masaalah pekerja asingnya itu secara sendirian kerana ia memerlukan kerjasama negara sumber.

Memandangkan majoriti pekerja asing datang dari negara jiran forum terbaik untuk membincangkan perkara itu adalah di peringkat ASEAN, tambah Prof Azizah. 

Berita Penyelidikan

Arkib Berita