Pelajar Perubatan UKM Temui Kaedah Menghalang Darah Tinggi Ibu Mengandung

Sabtu, 28 April 2012 11:53
Cetak PDF

Oleh Shahfizal Musa
Foto Ikhsan Fakulti Perubatan


KUALA LUMPUR, 27 April - Sekumpulan pelajar perubatan UKM telah menempa sejarah dengan penemuan suatu kaedah baru untuk menghalang kejadian darah tinggi di kalangan ibu mengandung.

Penemuan pertama demikian dalam dunia dilakukan oleh Dr Noorfaizahtul Hanim binti Md. Nawawi, Dr Lim Jing Fen, Dr Melissha binti Luqman dan Dr Faizuddin bin Zoklkeplai. Mereka telah tamat pengajian kedoktoran mereka awal bulan ini.

Penemuan itu telah diterima untuk dimuatkan dalam sebuah jurnal antarabangsa yang berwasit tinggi, suatu kenyataan oleh Penyelia mereka, Timbalan Dekan Siswazah, Fakulti Perubatan, Prof Dr Zainul Rashid bin Mohamad Razi menyebut hari ini.

Prof Zainul Rashid berkata darah tinggi semasa mengandung masih menjadi antara penyebab utama kematian ibu semasa mengandung di seluruh dunia.

“Ibu-ibu yang mengandung anak pertama lebih kerap menghidapi penyakit ini dengan kejadian antara 10 hingga 15 peratus. Bermacam cara telah diterokai oleh dunia perubatan untuk mengurangkan kejadian penyakit ini semasa mengandung seperti menggunakan aspirin, zinc, vitamin E dan anti-oksiden. Bagaimana pun semuanya setakat ini tidak berjaya.

“Cara untuk mengatasi masalah ini sekarang adalah dengan mengawal darah tinggi setelah ia terjadi sementara menunggu bayi lebih matang untuk dilahirkan.

“Ini bermakna ibu yang mengalami darah tinggi semasa mengandung masih dalam bahaya untuk mengalami komplikasi seperti sawan, pendarahan akibat lekang uri, kelahiran premature atau awal dan kematian ibu atau bayi”, kata Prof Zainul Rashid.

“Pelajar-pelajar itu membuat penemuan mereka ketika melakukan penyelidikan terhadap ibu-ibu yang mengandung untuk pertama kalinya melalui kaedah tabung uji (IVF). Mereka mendapati bahawa peratus ibu-ibu itu yang mengalami penyakit darah tinggi semasa mengandung sangat rendah jika dibanding dengan ibu yang mengandung anak pertama secara kaedadh biasa.

“Perbezaan yang dapat dikesan antara kedua kumpulan ibu itu adalah ibu-ibu yang mengandung untuk pertama kalinya melalui tabung uji semuanya diberikan hormon progestogen, dydrogesterone, sepanjang 16 minggu pertama kandungan mereka.

“Daripada 116 orang ibu yang mengandung melalui IVF, cuma dua orang sahaja (1.7%) mengalami darah tinggi berbanding dengan 15 orang ibu(12.9%) daripada 116 orang ibu lain yang mengandung untuk pertama kalinya secara biasa didapati mengalami darah tinggi.”

Dari segi statistiknya perbezaan ini amat ketara dan signifikan, kata Prof Zainul Rashid.

“Dengan penemuan itu, kematian akibat darah tinggi semasa mengandung dapat dikurangkan khususnya untuk ibu-ibu yang mengandung untuk pertama kalinya dengan mengambil ubat dydrogesterone pada awal kandungan mereka.

“Kajian lanjutan akan diteruskan oleh Fakulti Perubatan UKM untuk ibu-ibu lain yang menghadapi risiko tinggi mengalami darah tinggi semasa mengandung seperti kandungan kembar, ibu yang gemuk dan ibu yang berumur lebih dari 35 tahun”, kata Prof Zainul Rashid.

Kajian itu telah dilakukan semasa pelajar-pelajar tersebut berada di tahun ke empat dan mereka telah mengambil masa setahun 10 bulan untuk menyiapkannya.

Kajian demikian itu adalah salah satu daripada keperluan bagi semua pelajar perubatan UKM untuk lulus kursus perubatan mereka. Mereka akan menerima hadiah RM1000.00 seorang diatas penemuan mereka itu yang akan disampaikan oleh Timbalan Dekan Prasiswazah, Prof Dr Zaleha Mahdy, Fakulti Perubatan dalam satu Majlis Khas di Fakulti nanti.


Berita Penyelidikan

Arkib Berita