Kes Penjagaan Anak Antara Ibu Bapa Islam dan Bukan Islam Perlu Ditangani

Cetak PDF

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin

BANGI, 25 Mei 2012 – Kurang ikhtiar politik mengenai isu sensitif mungkin menghalang usaha untuk mengubah Undang-Undang Keluarga bersabit dengan penjagaan kanak-kanak.

Seorang pakar runding agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan mantan Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Malaysia(SUHAKAM), Professor Adjung Datin Dr Hajah Mehrun Siraj berkata walaupun beberapa konvensyen dan mesyuarat telah diadakan antara kerajaan, badan-badan kerajaan (NGO) dan pakar undang-undang, masalah tuntutan penjagaan kanak-kanak antara ibu-bapa atau penjaga mereka, khasnya antara Muslim dan bukan Muslim masih belum terleraikan.

Di antara syor yang dikemukakan ialah mahkamah Syariah Negeri tidak boleh mendengar kes penjagaan kanak-kanak yang mana satu pihak ialah bukan Muslim, kecuali jika yang bukan Islam itu murtad.

Dr Mehrun berkata cadangan menyeluruh kepada pindaan demikian telah lama dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara tetapi belum ada susulan dari jemaah menteri.

Profesor Adjung itu, yang memberi syarahan umum mengenai ‘Pertelingkahan Undang-undang Dalam Kes Penjagaan Kanak-kanak’ di UKM hari ini berkata beliau sering diberitahu kerajaan memandang tuntutan penjagaan sebagai pertelingkahan antara individu dan enggan campur tangan kerana tumpuan kepada isu-isu lain.

Beliau mengakui masalah itu amat sensitif dan mempunyai implikasi politik dan agama.

Undang-Undang Keluarga amat rumit di Malaysia dan wujud dengan adanya dua sistem perundangan, iaitu satu untuk penganut Islam dan satu lagi untuk bukan Islam. Sistem ini boleh berjalan lancar dalam kes kedua-dua pihak bersama agama dan tidak ada pertelingkahan undang-undang.

Bagaimanapun apabila satu pihak memeluk Islam dan yang lagi satu tidak akan berlaku percanggahan antara undang-undang Syariah dan Sivil.

Perkara ini telah banyak kali berlaku dan cadangan telah dibuat untuk Akta Keluarga baru yang mana Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Nazri Aziz telah berjanji untuk menubuh suatu suruhanjaya menelitinya.

Ia adalah untuk menangani masalah berikutan penguatkuasaan Fasal 121 (1A) dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengenepikan peranan mahkamah Sivil bagi kes yang didengar oleh mahkamah Syariah. Tujuan pindaan itu adalah supaya keputusan mahkamah Syariah tidak boleh diketepikan oleh mahkamah Sivil.

Bagaimanapun, beberapa kes cerai dan tuntutan penjagaan kanak-kanak telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dikalangan masyarakat baik Islam atau bukan Islam, khususnya apabila satu pihak memeluk Islam atau keluar dari Islam. Mereka mahukan penjagaan anak dan masing-masing mengenakan agama mereka sendiri terhadap zuriat mereka.

Punca pertelingkahan berlaku kerana di Malaysia perkahwinan dibahagikan kepada dua jenis; Islam dan bukan Islam. Walaupun ada negeri yang menguatkuasakan Enakmen Undang-Undang Keluarga yang mengizinkan seorang Muslim mengahwini orang yang disifatkan Al-Kitabiyah, atau Ahli Kitab, hakikatnya tidak pernah ada permohonan sedemikian yang diluluskan oleh mana-mana jabatan agama, baik persekutuan atau negeri walaupun banyak permohonan. Alasanya ialah tidak ada Ahli Kitab di negara ini.

Perkahwinan bukan Islam ditadbir oleh pindaan kepada Akta Kahwin dan Cerai 1976, atau Law and Reform (Marriage and Divorce) Act 1976, (LRA).  Ini membenarkan pasangan lelaki dan wanita bukan Islam berkahwin dan hanya boleh cerai jika satu pihak menuntutnya atau perkahwinan dibubarkan oleh arahan mahkamah.

Dr Mehrun memberi contoh kes yang menjadi topik hangat baru-baru ini iaitu antara Dr Sharmala a/p  Sathiyasseelam melawan Dr Jeyaganesh a/l C Mogarajah yang mana hakim berpendapat perkahwinan mereka kekal walaupun si suami memeluk Islam. Ini memberi si isteri beragama Hindu, yang tidak memeluk Islam, alasan kuat untuk mencerai suaminya, dibawah undang-undang LRA.

Akibatnya, seorang mualaf masih dianggap berkahwin dengan pasanganya yang bukan Islam sedangkan si Muslim boleh kahwin lain, walau pun di bawah undang-undang LRA ia tidak sah. Ini juga bermakna, si isteri yang Hindu boleh terus menjaga anak walaupun secara automatik kanak-kanak masuk Islam kerana bapa menjadi mualaf. Si isteri berhak buat demikian kerana ada pindaan kepada LRA yang dibuat pada tahun 1999, yang menjamin hak sama ke atas anak antara kedua-dua penjaga.

Bagaimanapun, undang-undang asal penjagaan kanak-kanak,   Guardianships of Infants Act 1961 (GIA)  jelas menunjukkan si bapa berhak menjadi penjaga utama si anak. Maka sudah tentu ada percanggahan.

Dr Mehrun berkata undang-undang sedemikian membawa mudharat kepada kanak-kanak terbabit; yang mana satu hendak diiikut, ibu atau bapa yang menganuti agama berlainan. Dari segi undang-undang, kanak-kanak itu hanya boleh dibesarkan sebagai Muslim.

Beliau mencadangkan undang-undang dipinda untuk mengenakan syarat ketat bagi seorang bukan Islam menjadi mualaf atau mahu mendaftarkan anak mereka yang asalnya bukan Islam menjadi Muslim.

Profesor Undang-Undang itu menyaran supaya Majlis Fatwa Kebangsaan mengambil berat kes-kes berkenaan bagi tujuan pembaharuan.

Beliau memetik Hadith yang menyebut mereka di bawah umur boleh memilih ibu atau bapa yang hendak dia ikut apabila terjadi penceraian antara mualaf dan bukan Islam. Namun demikian, pada tahun 1989, kerajaan negeri Selangor cuba mengemukakan rang undang-undang yang menjadikan kanak-kanak bukan Islam memeluk Islam secara automatik apabila seorang daripada ibu-bapanya meluk Islam dan bercerai.

Bagaimanapun, atas gesaan pihak pembangkang dan sebahagian dari wakil-wakil BN dalam dewan undangan negeri, rang undang-undang itu terpaksa diubah dan deraf akhirnya memasukan syarat yang mewajibkan kanak-kanak mendapat kebenaran bertulis terdahulu dari ibu atau bapa yang bukan Islam.

Dalam kes lain pula, iaitu Tan Sung Mooi lwn Too Miew Kim pada tahun 1994, Mahkamah Agong memutuskan bahawa apabila seorang mualaf bercerai, dia masih mempunyai tanggungjawab membayar nafkah hidup dan bayaran tanggungan kanak-kanak sama seperti undang-undang sivil. Ini menunjukkan mahkamah sivil ada bidang kuasa terhadap kes dimana hanya satu pihak yang Islam.

Namun demikian, Dr Mehrun menegaskan undang-undang mesti lebih jelas bagi memastikan si penjaga atau ibu-bapa yang tidak memeluk Islam harus ada hak mengenai cara kanak-kanak diperbesarkan.

Berita Penyelidikan

Arkib Berita