Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman
BANGI, 1 Jun 2012 – Pendidihan air ialah cara yang menjimatkan dan terbaik bagi orang ramai untuk memastikan air dari paip selamat di minum, kata seorang penyelidik kimia analisis terkemuka negara.
Prof Dr Md Pauzi Abdullah, yang sudah lama menyelidik kualiti bekalan air awam, berkata pendidihan boleh menghilangkan bau klorin dan menghapuskan kuman-kuman dalam air.
Selagi gas klorin atau sebatian-sebatian berasaskan klorin diguna untuk merawatkan air, pendidihan air adalah cara yang lebih baik daripada kaedah rawatan alternatif yang masih terlalu mahal.
Prof Pauzi berkata demikian dalam Syarahan Perdananya bertajuk ‘Air Dalam Kehidupan Manusia: Kualiti Air Minum’ di kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.
Walaupun beberapa cara alternatif telah dicuba untuk merawat air awam, belum ada kaedah yang menjamin sepenuhnya ketulenan air paip untuk diminum.
Beliau berkata penggunaan klorin sebagai bahan disinfektan atau perawat, ialah cara yang biasa bagi kebanyakan negara kerana kosnya yang munasabah.
Rawatan air menggunakan klorin menghasilkan sebatian kimia menyahjangkit (disinfection by-products - DBP) sampingan hingga menjadi isu kualiti air minuman untuk orang ramai dan digunakan sesetengah produk penapisan air untuk menakutkan pengguna.
Prof Md. Pauzi bagaimana pun menolak kegelisan dibuat-buat itu kerana tahap DBP itu sangat rendah dan beberapa jenis DBP yang dikesan tidak termasuk dalam Piawaian Air Minuman Kebangsaan sebagai menjejas kualiti air.
Walau bagaimanapun, beliau memberi contoh alternatif untuk dipertimbangkan jika isu ini mahu ditangani untuk masyarakat yang berbeza.
Di antaranya;
Prof Pauzi berkata anggaran kos bagi penggunaan pelbagai teknologi disinfeksi yang disebut adalah berbeza bergantung pada kuantiti air yang dirawat.

Beliau berkata kajian di Amerika Syarikat pada tahun 1998 menunjukkan penggunaan klorin sebagai disinfeksi utama dan kloramina sebagai disinfeksi kedua (untuk menghasilkan baki klorin) mempunyai kos terendah berbanding kaedah lain.
Teknologi membran didapati berkesan untuk sistem rawatan air pada skala kecil sahaja. Namun, ia merupakan yang paling mahal untuk jumlah pengguna yang banyak.
Sehingga kini, kelebihan klorin sebagai disinfektan utama bekalan air minum sukar ditandingi oleh mana-mana disinfektan yang lain, kecuali jika kombinasi disinfektan digunakan.
Hanya disinfektan yang berasaskan klorin boleh menghasilkan atau meninggalkan baki. Baki klorin adalah penting bagi mengelakkan pertumbuhan semula organisma, bagi mengawal pembentukan lapisan hidupan seni atas air. Kehilangan baki klorin di dalam sistem agihan adalah tidak baik dan mesti disiasat.
Pada keseluruhannya, Prof Pauzi mencadangkan supaya pengurusan bekalan air di negara ini diperbaiki pada peringkat awal. Seperti menjamin kebersihan air di kawasan tadahan air atau reservoir. Juga elakkan mengambil air dari sungai yang tercemar dengan minyak diesel, bahan kumbahan industri, najis dan sampah dari kawasan perumahan.
Ini termasuklah penyingkiran DBP dan perubahan dalam teknologi perawatan, terutama penggunaan disinfektan alternatif bagi menggantikan klorin.
Beliau juga berharap penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebagai penguat kuasa Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 akan menjamin penghasilan bekalan air minuman yang lebih selamat.
Prof Pauzi bergiat dalam penyelidikan terutama bidang analisis dan persekitaran. Beliau adalah anggota pengasas Pusat Penyelidikan Air dan Analisis (ALIR), iaitu pusat kecemerlangan di bawah Fakulti Sains dan Teknologi UKM yang mana beliau dilantik sebagai ketua pertamanya dari 2007 – 2010. ![]()