Kesum Mungkin Boleh Cegah Barah

Khamis, 07 Jun 2012 16:00
Cetak PDF

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 7 Jun 2012 – Kesum sejenis tumbuhan herba yang digemari orang Melayu sebagai ulam mungkin mempunyai ciri-ciri yang boleh mencegah penyakit barah.

Suatu kajian sepasukan ahli sains dari Institut Biologi Sistem (INBIOSIS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai Dr Syarul Nataqain binti Baharum berkata penyelidikan anti-barah itu kini diperingkat di mana sebatian yang dipercayai memiliki sifat-sifat itu sudah dapat diasingkan.

Sebatian itu diberi nama Polygonum minus C3 (PMC-3) oleh INBIOSIS. Polygonum minus ialah nama saintifik Kesum.

Tumbuhan yang didapati di seluruh pelosok negara ini memang diketahui mempunyai sifat pengawet sel atau anti-oksida.

Sebatian PMC-3 itu dapat diasingkan melalui proses fraksi dan kromatografi dan kemudiannya telah melalui suatu proses Resonan Magnetik Nuklear (NMR) untuk mengenal pasti struktur dan ciri-cirinya.

NMR membenarkan pemerhatian beberapa ciri nukleus atom sama ada atom-atom itu mempunyai kesan magnetik.

Ada banyak teknik saintifik yang menguna fenomena NMR untuk mengkaji fizik molekular, hablur dan bahan bukan hablur melalui spektroskopy NMR.

Dr Syarul Nataqain berkata data NMR menunjukkan PMC-3 mempunyai cirri-ciri hampir sama dengan perantara anti-barah vanicoside D. Ia berbeda sedikit kerana mempunyai kelebihan satu unit asetil (COCH3) daripada vanicoside D.

Spektroskopi perlu dilakukan untuk mengesahkan penemuan itu.

Dr Syarul Nataqain berkata data menunjukkan strukturnya juga tidak banyak beda daripada vanicosides A,B dan C yang giat menentang sel barah dan virus.

Maka, penyelidik INBIOSIS meramalkan sebatian ini juga akan bertindak mencegah sel-sel barah.

Mengenai bagaimana teknik kromatografi dan NMR dapat mengenal pasti dan menulenkan PMC-3, beliau berkata usaha itu masih dalam peringkat pengesahan konsep dan hanya akan diumumkan kemudian apabila penyelidikan lebih lengkap diselesaikan. Kajian kini masih diteruskan.

Pakar-pakar sains tempatan percaya berbagai jenis tumbuhan yang boleh dimakan sudah kian lama melindungi kesihatan manusia saperti kesum yang digunakan secara tradisi sejak sekian lama sebagai ubat sakit perut, demam dan anti kelumumur.
 

Kesum dipercayai berasal dari Asia Tenggara dan terdapat di Indonesia, Negeri Thai dan Vietnam selain Malaysia.

Daun kesum merupakan bahagian yang paling banyak digunakan dalam masakan seperti Asam Pedas dan juga Laksa Penang kerana bau dan rasa masam lemaknya serta juga sebagai ulam. Ia juga diguna sebagai syampu untuk merawat kelemumur.

Pohon keksum tumbuh liar di kawasan tanah lembab dan berair seperti di tepi kolam, tepi parit dan juga di kawasan kebun keliling rumah kampung selalunya di tepi bilik air.

Beberapa penyelidik mendapati ia mengandungi tahap anti-oksida yang tinggi, serta sebatian flavonoid and fenolik yang ada ciri-ciri bertindak memelihara atau mengawet.

Anti-oksida adalah bahan yang menentang radikal bebas berlebihan dan memulihkan kerosakkan oksidatif biomolekul. Ia menghalang proses permulaan tindakan berangkai pengoksidan.

Pakar penyelidik cuba mengenalpasti kandungan kimia tumbuhan bagi menentukan bagaimana proses anti-oksida berlaku.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sifat-sifat bioaktif dalam tumbuhan tradisional telah menarik perhatian saintis-saintis tempatan.

Mengenai kemungkinan tumbuhan tempatan lain turut memiliki bahan-bahan mujarab, Dr Syarul Nataqain berkata penyelidikan terhadapnya masih baru dilakukan.

Bagaimana pun terdapat hasil menggalakkan daripada penyelidikan mengenai Kacip Fatimah (labisa pumila) dan Tongkat Ali (eurycoma longifolia).

Kacip Fatimah ialah pokok kecil yang berdaun dan boleh didapati berselindung bawah pokok-pokok besar dalam hutan.

Daunnya lebih-kurang 20 centimetres panjang dan pada masa lampau diguna untuk menguatkan tenaga batin wanita.

Walaupun Kacip Fatimah sudah kian lama diguna, hanya dalam beberapa tahun ini sahaja penyelidikkan dilakukan. Hasil kajian ini baru sahaja diterbitkan tetapi pengkomersilan masih terbantut kerana kurang publisiti.