Pelajar Melakukan Penemuan Sebelum Menjadi Siswazah

Jumaat, 29 Jun 2012 00:00
Cetak PDF

Oleh Shahfizal Musa
Foto Rosli Nasir

KUALA LUMPUR, 28 JUN 2012 – “Apakah kesan budaya makan snek pada waktu lewat malam” dan “betulkan krim penahan cahaya dapat melindungi bahaya cahaya suria?” Ini adalah antara tajuk penemuan penyelidikan yang dibentangkan di Mesyuarat Pra Siswazah Tahunan ke 4 (MUASRM) di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia di Cheras di sini hari ini.

Sejumlah 57 kumpulan pelajar perubatan dari seluruh negara dan Bandung, Indonesia membentangkan projek penyelidikan mereka meliputi bidang klinikal, makmal dan komuniti di sesi pembentangan itu.

MUASRM adalah acara tahunan di mana palajar prasiswazah memperlihatkan penemuan yang mereka lakukan. Para pelajar diasah untuk melakukan kerja-kerja penyelidikan dan membuat penemuan baru yang boleh memberi manfaat kepada dunia perubatan.

Semua pelajar mengakui kerja penyelidikan sukar dan memenatkan, hinggakan seorang di antara mereka menyifatkannya sebagai “sakit untuk bersalin selama setahun lebih”.

Bagaimana pun mereka bersetuju hasil penemuan yang mereka perolehi memberi kepuasan yang tidak ternilai.

Penyelidikan dilakukan mereka semasa berada dalam tahun keempat pengajian. Penyelidikan membolehkan mereka mempraktikkan teori yang telah dipelajari untuk membuat penemuan dalam bidang perubatan walaupun belum bergelar siswazah.

Pada MUASRM 2011 tahun lepas sebanyak 20 penyelidikan yang dilakukan pelajar telah diterbitkan dalam jurnal terindeks.

Salah satu dari penyelidikan MUASRM 2011 telah mengubah cara rawatan diberikan kepada ibu mengandung. Penemuan yang dibuat dapat mengurangkan kematian di kalangan ibu yang mengandung buat kali pertama yang menghadapi tekanan darah tinggi.

Untuk MUASRM 2012  ini masih terlalu awal untuk menentukan samaada penemuan yang dipamerkan akan memberi impak yang sama atau lebih hebat dari penemuan tahun lalu kepada dunia perubatan.

Dekan Fakulti Perubatan, Prof Dato’ Dr Raymond Azman Ali ketika berucap mewakili Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata penyelidikan dan innovasi akan membolehkan UKM membuat nicnya yang tersendiri dan secara langsung mencipta kaedah ‘Blue Ocean’ untuk sesuatu bidang.

Beliau berkata adalah tidak realistik untuk universiti yang masih muda seperti UKM dibandingkan dengan pencapaian universiti ternama seperti Oxford dan Cambridge yang telah wujud sejak beratus tahun. 

Persaingan demikian itu hanya akan mencipta red ocean, yang tidak akan memberi manfaat tetapi sebaliknya menimbulkan memudaratkan kepadanya. Blue Ocean pula adalah suatu konsep di mana tumpuan diberi kepada sesuatu nic tersendiri dan seterusnya mencipta pasaran baru yang tidak mempunyai persaingan.

Penyelidikan yang benar-benar bermakna adalah penyelidikan yang boleh melangkaui penerbitan dalam jurnal. Penyelidikan yang hebat adalah penyelidakan yang dapat mengubah dan membaiki kaedah perubatan yang diguna pakai.

Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Dr Shahnaz Murad yang memberi ucaptama berkata, tanpa penyelidikan perubatan kebanyakan daripada rawatan yang sudah menjadi biasa sekarang mungkin tidak wujud.

Oleh itu penyelidikan perubatan adalah perlu walaupun ia kadangkala menelan belanja yang tinggi. Di samping itu penyelidikan juga perlu melepasi ‘lembah maut’ sebelum ia dapat memberi manfaat kepada orang ramai.

Lembah maut adalah istilah yang digunakan bagi menerangkan, bagaimana kebanyakan penyelidikan berakhir hanya tersimpan di atas rak buku dilanda debu.

Beliau memberi contoh projek sekuen genom yang menelan belanja lebih dari US$3 Bilion. Hasil kajian itu membolehkan seseorang membuat pemetaan DNAnya dengan kadar bayaran US$1,000 sahaja.  

Ini telah membolehkan rawatan diberikan dengan cara yang lebih peribadi. Jika seseorang lebih cenderung kepada sesuatu penyakit langkah awal seperti mengubah gaya hidup boleh diambil.

Sebelum projek sekuen genome, sesuatu penyakit hanya akan diketahui selepas seseorang diserangi penyakit. Tetapi sekuen genom membolehkan seseorang itu mengetahui penyakit yang mungkin dihidapinya pada masa akan datang. Ini memberikan mereka kebolehan untuk mengambil langkah pencegahan sebelum penyakit berlaku.

Ini dapat dilakukan kerana penyelidikan telah membuka peluang yang tidak dapat dibayangkan sebelum ini. Peluang demikian wujud selagi penyelidik kekal dengan sikap ingin tahu.

Hadir di upacara tersebut, Ketua Modul Pembelajaran khas dan Ketua Pusat Kejuruteraan Tisu, Prof Ruszymah bt Hj Idrus, Pengerusi MUASRM 2012, Khoo Hau Wei, pelajar dan pensyarah.