WiraBar Suatu Makanan Padat Untuk Tenaga Dihasilkan Saintis UKM

Isnin, 13 Ogos 2012 00:00
Cetak PDF

Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto ihsan UKM Technology

BANGI, 1 Ogos 2012 - Sejenis makanan padat untuk menjana tenaga telah dapat dihasilkan seorang saintis pemakanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang akan dipasarkan sebagai kepingan coklat, gel dan minuman dengan jenama WiraBar.

Ketua Pusat Inovasi bagi Teknologi Manisan (MANIS), Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Dr Nazaruddin Ramli mengambil masa dua tahun menjalankan kajian untuk menghasilkan produk-produk itu sejak September, 2009 dengan pembiayaan RM80,000 dari Dana Inovasi UKM.

Beliau ketika itu berfikir bagaimana hendak menghasilkan sejenis kepingan coklat penjana tenaga buatan Malaysia memandangkan produk seumpama yang ada di pasaran semuanya di impot dan tidak mempunyai rasa tempatan.

Dr Nazaruddin telah berjaya menghasilkan adunan terbaik lagi mujarab yang memenuhi keperluan tenaga seseorang yang aktif termasuk anggota tentera dan warga beruniform. Ia juga didapati boleh dijadikan makanan gantian sarapan bagi mereka yang kesuntukan masa untuk bersarapan.

Dr Nazaruddin memberitahu Portal Berita UKM bahawa WiraBar dihasilkan bagi memberikan khasiat dan boleh menjana tenaga dengan diasaskan kepada buah-buahan dan kekacang sebenar.

Ia juga sesuai untuk di makan oleh atlit sebelum dan ketika pertandingan atau waktu latihan berlari, mengayuh basikal atau berenang.

WiraBar akan dipasarkan oleh UKM Technology Sdn Bhd yang sedang berunding dengan sebuah syarikat untuk mengeluarkannya, kata Pengurus Projeknya, Mohd Fairuz Mat Isa.

 

Fairuz yakin produk itu boleh menembusi pasaran tempatan pada harga yang lebih murah dari makanan seumpama yang diimport. WiraBar juga berkhasiat dan setaraf dengan produk makanan tenga lain tetapi diasaskan kepada buah-buahan tempatan.

Dr Nazaruddin kini sedang menjalankan suatu lagi penyelidikan untuk menghasilkan bahan manisan berasaskan rumpai laut. Penyelidikan selama dua tahun itu sedang dilakukan dengan bantuan dana RM3.1 juta daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Beliau berharap untuk menghasilkan serbuk c-weed yang boleh digunakan untuk membuat mi, roti, minuman dan bahan makanan lain.

Dr Nazaruddin berkelulusan Sarjana Muda Sains Makanan dan Teknologi, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 1991 dan lulus sebagai Sarjana Sains Makanan dan Nutrisi dari UKM pada 1998. Pada tahun itu beliau juga menerima Diploma Coklat dan Teknologi Manisan dan Kek dari Central College of the German Confectionery di Sollingen.

Beliau dianugerah ijazah PhD dalam bidang Teknologi Enzim dari UPM pada 2008 dan menerima Sijil Pengenalan Manisan Gula dari Central College di Sollingen pada tahun yang sama.

Berita Penyelidikan

Arkib Berita