Sisa Reaktor Nuklear Dijangka Jadi Isu Pencemaran Antara Sempadan

Rabu, 05 September 2012 08:30
Cetak PDF

Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto ihsan Prof Dr Che Abd Rahim Mohamed

BANGI, 5 Sept 2012 - Menjelang tahun 2020 negara Asean seperti Thailand, Malaysia dan Indonesia sudah akan menggunakan reaktor nuklear sebagai tambahan penjanaan tenaga untuk bekalan negara. 

Berikutan itu sejumlah bahan radionuklid akan dihasilkan dan memasuki ekosistem marin apabila reaktor menggunakan air dalam proses penyejukannya, demikian menurut Prof Dr Che Abd Rahim Mohamed, dari Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pengeluaran bahan itu boleh menjejaskan perairan kebanyakan negara jiran dengan pencemaran. 

Prof Che Rahim yang menerima Ijazah PhDnya (Geo-Radiokimia Marin) dari Universiti Hokkaido Jepun pada 1996, menerangkan bahawa aras pencemaran radionuklid antropogenik di lautan adalah kerana aktiviti manusia. 

Sehingga kini pencemaran ekosistem marin akibat ujian nuklear bawah tanah yang begitu banyak terutama di kepulauan Pasifik tidak didokumentasikan dengan baik.

Kerajaan Perancis menyokong penyelidikan dijalankan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) untuk menaksir impak 147 ujian nuklear bawah tanah yang dijalankannya di pulau karang Mururoa dan Fangagtaufa di gugusan kepulauan Polynesia, tanah jajahannya.

Di daratan pula lebih daripada 520 ujian senjata nuklear dijalankan di antara 1945 dengan 1980 oleh Amerika Syarikat dan bekas Persekutuan Republik Russia (USSR); sedangkan United Kingdom, Perancis dan Republik Rakyat China adalah penyumbang utama sumber pencemaran radionuklid antropogenik.

 

Di kawasan kepulauan lebih banyak radionuklid dihasilkan menambah lagi bebanan ke atas ekosistem marin berikutan dengan buangan nuklear yang ditanam dalam laut.

(Radionuklid adalah atom yang mempunyai nukleus yang tidak stabil dihasilkan oleh tenaga yang berlebihan. Radionuklid ini akan mengalami proses pereputan di mana sinar gamma ataupun partikel subatomik dihasilkan yang boleh membahayakan jika ia melebihi tahap yang selamat.   
 
Radionuklid dibahagi kepada tiga, dua daripadanya terhasil oleh alam semula jadi. Satu ialah radionuklid kosmogenik dari angkasa lepas yang menembusi atmosfera bumi dan kedua radionuklid primodial yang terbentuk dari aktiviti persekitaran alam. Ketiga adalah radionuklid terhasil daripada aktiviti manusia)
.

Selain Thailand, Malaysia dan Indonesia yang membincangkan kemungkinan menggunakan tenaga nuklear untuk menambah bekalan tenaga elektrik mereka, Singapura, Brunei, Vietnam, Kemboja dan Filipina juga akan turut serta menjana tenaga nuklear.

Ketika reaktor nuklear beroperasi, kata Prof Rahim, sebahagian besar sisa mengandungi radioistotop asli dan tiruan akan disalurkan ke dalam laut dan angin tengkujuh akan menghanyutkan sisa buangan ini ke seluruh Lembah Lautan China Selatan.

Pusat Observatory (Pemerhatian) Hong Kong telah melakukan suatu siasatan - sebelum peristiwa letupan reaktor nuklear Fukushima, Jepun - terhadap makanan laut.

Siasatan itu jelas menunjukkan radionuklid buatan seperti plutonium-239 Tritium, strontium-90, karbon-14, iodin-131, sesium-137 dan kalium-40 ditemui pada tahap kepekatan yang positif. Tidak ada perbezaan signifikan Cs-137 pada kedua-dua sampel dari air permukaan dan air bawah yang didapati berada pada tahap keyakinan 95%. Aktiviti Cs-137 pula didapati berada dalam julat 1.47-3,36 Bq/m3 dan 1.69-3.32 Bq/m3 untuk Sabah dan Sarawak.

Dalam usaha mengetahui kedudukan semasa keadaan radionuklid di lembah Laut China Selatan, Prof Rahim telah mengumpul dan menganalisis data daripada penyelidikan saintis dalam negara dan antarabangsa.

 

Beliau sendiri turut juga menjalankan penyelidikan di sekitar perairan Laut China Selatan, pada 2008 dengan dibantu oleh pelajar dari kumpulan Land-Atmospheric-Ocean Interaction (LAOI) Program Sains Marin, FST. Turut sama terlibat adalah warga Agensi Nuklear Malaysia.

Beliau memutuskan bahawa kepekatan sebenar aktiviti radionuklid di kawasan selatan Perairan Laut China Selatan (SCS) berbeza antara setiap stesen persampelan.

Didapati bahawa kepekatan aktiviti radionuklid pada permukaan sedimen berbeza-beza mengikut lokasi persampelan dan ia telah dibuktikan oleh analisis Anova yang menunjukkan perbezaan signifikan pada aras keyakinan 95%.

Kepekatan aktiviti radium yang tinggi ditemui dibeberapa kawasan adalah hasil pengkayaan semulajadi radium terutama di kawasan yang kaya dengan sumber petroleum.

Beliau menjelaskan bahawa aras kepekatan radionuklid dalam organisme bentik tidak didokumentasikan dengan jelas sebagaimana dalam air laut dan sedimen.

Berbanding dengan air laut atau sedimen, ciri kepekatan radionuklid dalam organisme bentik adalah lebih sukar kerana taburan radionuklid boleh berbeza daripada satu spesies dengan spesis yang lain dan tisu yang berbeza dalam spesies yang sama.

Organisme boleh mengumpul radionuklid yang berbeza pada tahap-tahap yang berlainan. Faktor kepekatan, yang diperolehi dengan membandingkan kepekatan radionuklid khusus dalam organisme kepada turus air, memberikan satu ukuran mengenai tahap organisme mengumpul radionuklid tertentu.

 

Aktiviti kepekatan 210Po adalah lebih daripada 100 Bq/kg di semua stesen persampelan dan berlawanan aktiviti yang diperolehi dalam kerang (kurang daripada 100 Bg/kg).

(210Pb ialah nuklid isotop plumbum-210 dari kumpulan plumbum dan begitu juga dengan 228Ra ialah nuklid isotop radium-228 daripada kumpulan radium. Dalam kajian nuklear pelbagai isotop dijumpai iaitu sama ada semulajadi atau buatan manusia.

(Bq kg-1 berat kering atau Bq/kg berat kering iaitu unit bequarel yang digunakan untuk menunjukkan kepekatan isotop yang ada dalam satu kilogram berat kering sampel ketika kajian dilakukan.

(Begitu juga dengan mBq/L iaitu milli bequarel isotop yang ada dalam satu liter sampel sewaktu kajian dilakukan. Berat iaitu kg, mg, g atau tan menggambarkan sampel kajian adalah pepejal iaitu sedimen, tanah, ikan dan yang lain. Tetapi isipadu iaitu liter, milliter, meter padu dan yang lain memberi gambaran sampel kajian adalah cecair).

Ini adalah disebabkan oleh tabiat pemakanan zooplankton, iaitu dengan cara pemakanan meragut mempunyai keupayaan untuk mengumpul 210Po berbanding 210Pb daripada partikel-partikel halus ketika proses pemakanan dan diserap ke dalam organ-organ penghadaman.

Tambahan pula, zooplankton berupaya mengunakan kembali hasil perkumuhannya. Kepekatan kedua-dua jenis nuklid yang dijumpai di dalam zooplankton adalah tinggi berbanding dengan kepekatan nuklid yang terdapat di dalam kerang dan ini adalah kerana 210Po dan 210Pb termendap ke dalam lautan sebagai hujan atau aerosol.

Kemudian, ianya digunakan oleh pengeluar utama iaitu zooplankton sebelum termendap pada lantai lautan dan digunakan oleh pengeluar kedua seperti benthos (contohnya kerang).


Perbezaan aras radioaktiviti dalam pelbagai spesies ikan boleh  dijelaskan dengan perbezaan kadar metabolisme dan pola pemakanan.

Ikan dengan aktiviti 210Po yang tinggi memakan zarahan organik yang kaya dengan 210Po, dan/atau pemangsa yang memakan mangsa yang kaya dengan 210Po, contohnya Cynoglossus marcolepidotus.

Tetapi kepekatan 210Po yang pelbagai diperhatikan untuk ikan-ikan pelagik seperti Alute mate, Pampus argenteus dan Sillago sihama. Ini mungkin disebabkan oleh tabiat mereka yang mendapatkan makanan dari turus air yang mengandungi aktiviti 210Po yang sedikit.

Data mengenai biota dalam Pangkalan Data Radioaktiviti Marin Asia Pasifik (Asppamard) menunjukkan bahawa kepekatan 137Cs dalam otot ikan dan ikan keseluruhannya diperhatikan berada dalam julat antara 0.02-2 Bq/kg berat basah dengan median 0.2 Bq /kg berat basah.

Dua penyelidik Jepun, Nagaya dan Nakamura mendapati bahawa kepekatan 137Cs tertinggi pada otot, diikuti dalam susunan menurun oleh viscera, insang, saluran penghadaman dan kulit ikan. Menurut mereka, tahap 137Cs dalam biota marin telah berkurangan dan hampir selari dengan masa.

Kepekatan 137Cs berkurangan mengikut kedalaman turus air disebabkan oleh pereputan radioaktif. Perubahan dalam kepekatan aktiviti 137Cs dalam biota marin juga dipantau dalam tempoh 10 tahun di Laut Kuning dan Laut Bohai China dan tren berkurangan mengikut masa,

Nagaya dan Nakamura juga memerhatikan bahawa kepekatan 137Cs dalam ikan tidak berbeza dengan ketara jika ikan tersebut dari perairan cetek atau perairan lautan lepas.

Nilai purata faktor kepekatan bagi 137Cs dalam ikan  yang mencadangkan ialah 100. Bagaimanapun, kepekatan aktiviti 137Cs  adalah lebih rendah di dasar lautan, dan ianya boleh dipercayai bahawa faktor kepekatan bagi ikan yang tinggal di dasar lautan adalah lebih tinggi daripada ikan yang berada di permukaan.

 (137Cs atau Cesium-137 adalah terhasil dari reaktor nuklear yang mempunyai setengah hayat lebih kurang 30.17 tahun dan ia juga terbebas ke dalam sistem marin sewaktu tragedi Fukushima baru-baru ini. Manakala 210Po atau Polonium-210 mempunyai setengah hayat 143 hari adalah radionuklid semulajadi yang terhasil dari pereputan induk iaitu uranium dan juga banyak terbebas melalui proses pembakaran hutan atau pembakaran arang batu.) 

Bagaimanakah radioisotop menjadi isu merentasi sempadan antarabangsa?

Prof Che Rahim menjelaskan bahawa industri nuklear merupakan suatu industri yang mempunyai daya ketahanan, komprehensif dan moden. Bagaimanapun, masalah yang mungkin timbul adalah berkaitan keselamatan, alam sekitar dan peningkatan senjata nuklear telah menimbulkan kebimbangan.

Ini mungkin berkaitan dengan kemudahan nuklear, kawalan bahan dan perlindungan alam sekitar serantau. Ini bermakna bahawa konsep kerjasama serantau untuk memantau tahap radiasi bawaan udara adalah penting.

Konsep ini harus melibatkan pembangunan keupayaan serantau untuk memantau keselamatan alam sekitar dan menyokong kesediaan kecemasan serantau.

Pendekatan ini adalah untuk membina kerjasama nuklear yang mungkin boleh dilaksanakan kerana negara-negara ASEAN mempunyai teknologi program pemantauan alam sekitar dalaman di negara masing-masing.

Berita Penyelidikan

Arkib Berita