Pesawah Di Sabak Bernam Terdedah Kepada Kesan Racun Serangga

Isnin, 10 Disember 2012 00:00
Cetak PDF

Berita dan foto Abdul Ghani Nasir

BANGI, 9 Dis 2012 – Sekumpulan penyelidik UKM mencadangkan pesawah diberi latihan mengenai cara racun serangga diguna dan dikendalikan bagi memastikan mereka dilindungi daripada kesan buruk pendedahan kepada racun perosak itu.

Pasukan penyelidik itu diketuai Dr Rozita Hod dan terdiri dari Dr Azimatun Noor Aizuddin, Dr Shamsul Azhar Shah(Profesor Madya), Dr Mohd Rohaizat Hassan, Dr Nazarudin Safian and Dr Mohd Hasni Jaafar (Profesor Madya), semuanya daripada Jabatan Kesihatan Masyarakat, Pusat Perubatan UKM, Cheras Kuala Lumpur.

Mereka mendapati 75 peratus daripada pesawah di situ mengalami sekurang-kurangnya satu simptom pendedahan kepada racun serangga.

“Kami juga mengesan racun serangga perosak chloryrifos dalam darah tujuh peratus daripada 100 responden terlibat, dengan purata 7.29 nanogram setiap satu mililiter darah (sd 5.84 nanogram setiap mililiter), kata Dr Rozita.

“Kehadiran simptom pendedahan kepada racun itu membuktikan bahawa kebanyakan petani terdedah kepada kesan buruk racun serangga perosak.”

Hasil penyelidikan itu diterbitkan dalam laporan mereka bertajuk “Tahap Chlorpyrifos dalam Darah dan Simptom Pendedahan di kalangan Pesawah di Sabak Bernam.”

Dr Rozita berkata: “sebilangan besar pesawah terlibat didapati terdedah kepada penggunaan tidak selamat racun serangga perosak dan menunjukkan bahawa penggunaan tidak selamat racun serangga perosak masih menjadi satu isu utama sebagaimana terdapat di negara-negara membangun.

“Kadar keracunan akibat pendedahan kepada chlorpyrifos masih tinggi manakala tidak banyak kajian pencegahan dijalankan tetapi apa yang perlu adalah penilaian semula langkah-langkah pencegahan semasa dan dasar berkaitan penggunaan racun perosak.”

Matlamat penyelidikan lintang-rentas pasukan dari PPUKM itu adalah untuk mengumpul maklumat asas kadar racun chlorpyrifos dalam darah dan hubungannya dengan simptom pendedahan kepada racun perosak.

Pesawah yang terlibat dalam kajian itu ditanya mengenai simptom yang mereka alami dalam masa 24 jam selepas menggunakan racun serangga perosak.

Petanda yang paling biasa dialami adalah pening kepala (41 peratus), mata merah (40%) dan sakit kepala (25%). Hasil kajian mengenai tabiat di tempat menyembur racun serangga perosak pula menunjukkan 83% pesawah mengakui mencampurkan lebih dua jenis racun, 99% memberitahu mereka menggunakan balang kosong selepas itu untuk tujuan lain dan 54% membuang balang sudah digunakan di tempat membuang sampah terbuka.

Contoh-contoh darah diambil daripada pesawah-pesawah mendapati 7% dikesan ada chlorpyrifos dengan tahap purata 7.29 nanogram setiap mililiter dengan tahap sisihan 5.84ng/ml.

Dr Rozita berkata bahawa pesawah-pesawah itu didapati mempunyai tahap rendah disegi amalan selamat menggunakan racun serangga perosak walaupun mereka tahu mengenai akibatnya.

Daerah Sabak Bernam dipilih untuk kajian itu kerana ia mempunyai 10,213 daripada 19,665 pesawah yang didaftar di Selangor. Didapati juga 90 peratus daripada pesawah menggunakan chlorpyrifos sebagai racun serangga perosak. Ia begitu popular kerana mudah diperolehi dengan harga yang berpatutan.

Langkah pencegahan serangga menggunakan racun serangga perosak seperti chlorpyrifos pada dos yang tinggi dilakukan sebelum bermulanya musim menanam dengan membasahkan tanah, suatu amalan biasa petani yang terlibat dalam sistem penanaman intensif tropika.

Chlorpyrifos adalah racun serangga perosak organfosfat. Ia berkesan dalam mengawal ulat pangkas, cacing akar jagung, lipas, ulat, pijat, anai-anai, lalat, semut api dan kutu.

Sesetengah petani menggunakannya sebagai racun serangga pada bijirin, kapas, di ladang buah-buahan, kekacang dan sayur-sayuran di samping pada pokok hiasan.

Ada juga yang menggunakannya terhadap biri-biri dan ayam turki, untuk rawatan di kandang kuda, kandang anjing, di dalam rumah, bangunan di kebun, balang penyimpanan dan pusat komersial.

Chlorpyrifos bertindak terhadap serangga perosak semata-mata sebagai racun dengan sebahagiannya meracuni perut. Ia boleh diperolehi dalam bentuk biji halus, serbuk dan emulsi pekat.

Di Sabak Bernam, pesawah menanam padi setiap lapan hingga 10 bulan kerana menggunakan cara penanaman moden. Mereka menggunakan traktor untuk menyemai padi, tidak seperti cara tradisional yang menggunakan kuku kambing.

Beliau menjelaskan oleh kerana ini adalah satu kajian rentas-lintang, mereka menggunakan contoh rawak pelbagai peringkat yang dilakukan di enam buah daerah kecil yang dipilih daripada satu senarai daerah kecil di Sabak Bernam.

Kesemuanya seramai 100 orang pesawah dari Kampung Tebuk Pulai, Kampung Parit 1, Kampung Parit 2 (Timur), dan Kampung Parit 2 (Barat) dipilih sebagai responden. Ukurtara digunakan adalah pesawah telah menggunakan racun serangga perosak, chlorpyrifos, selama enam bulan, tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan dan bersetuju memberi sampel darah.

Dr Rozita berkata 99 peratus responden adalah lelaki Melayu dengan 52 peratus daripada mereka menerima pendidikan menengah. Hanya empat peratus daripada mereka itu tidak ke sekolah formal. Majoriti diantara mereka juga sudah berkahwin.

Jangka masa purata mereka sudah bekerja dalam sektor pertanian adalah 21.4 tahun dan telah menggunakan racun perosak itu paling kurangnya selama 5.5 tahun.

Semua responden diberikan satu senarai soalan untuk mendapatkan maklumat mengenai sosiodemografi, penggunaan racun serangga perosak di samping pendedahan kepadanya.

Kesan chlorpyrifos terhadap manusia adalah sederhana. Beberapa kajian melaporkan kesan terburuk chlorpyrifos ke atas manusia adalah menjejas sistem saraf, sistem pernafasan, sistem jantung di samping kulit dan mata.

Bagaimanapun, kajian menunjukkan penyerapan ke dalam kulit adalah terbatas. Simptom pendedahan termasuk kebas, terasa dicucuk-cucuk, nyahkoordinasi, sakit kepala, pening, menggigil, loya, kekejangan di abdomen, berpeluh dan penglihatan yang kabur.

Kumpulan yang mudah diserang termasuklah mereka yang mempunyai masalah pernafasan, baru saja terdedah kepada penyekat kolina atau gangguan fungi hati.

Keracunan yang kronik oleh kerana pendedahan yang lama atau berulangkali mungkin menyebabkan ingatan dan konsentrasi terganggu, kebingungan, kemurungan teruk, meragam, kekeliruan, pening, sukar bercakap, lambat bertindakbalas, mengigau, berjalan dalam tidur, mengantuk atau sukar tidur.

Mereka juga boleh mengalami keadaan seperti selesema dengan sakit kepala, loya, lemah, hilang selera makan dan risau. Banyak kajian seberang laut yang menganggar dan mengukur corak pendedahan dan pemantauan bioloji chlorpyrifos.

Simptom pendedahan berubah-ubah bergantujng kepada isi kompaun kimia. Satu kajian mendapaati bahawa 95 peratus petani mengalami sakit-sakit pada badan mereka manakala 82 peratus lagi mendapati mata mereka merah selepas melakukan kerja-kerja menyembur racun.

Kajian kami, kata Dr Rozita, mendapati 41 peratus petani mengadu sakit kepala dan 40 peratus mendapati mata mereka merah.

Kompaun organofosforus disahkan sebagai kimia yang mempunyai kesan keracunan saraf yang berbahaya. Ia banyak digunakan baik dalam sektor industri mahupun pertanian.

Kesan neurotoksik boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan aksi. Aksi utama adalah rencatan hormon asetilkolinesterase yang kekal, yang boleh menyebabkan pengumpulan asetilkolin dan stimulasi berlebihan reseptor nikotinik dan muskarinik.

Ini akan menghasilkan kesan kolinergik. Ataksia (ketidakseimbangan badan) dengan degeneras akson dan myelin(selaput saraf dan otak) merupakan satu lagi kesan toksin daripada racun makhluk perosak dari kumpulan organofosfat ini.

Dos yang tinggi akan menyebabkan kematian akut/mengejut sel saraf dalam otak seseorang individu. Walau bagaimanapun, mekanisme sebenar bagaimana kesan ini berlaku masih belum difahami sepenuhnya.

Dalam kajian ini, kemungkinan pesawah dan ahli keluarga mereka terdedah kepada bahaya racun makhluk perosak ini adalah tinggi memandangkan ramai daripada mereka menyimpan bahan itu sama ada di dalam rumah atau dalam pondok di belakang rumah mereka.

Rumah itu juga terletak di sebelah atau dekat kawasan sawah dan sisa semburan itu boleh di bawa angin yang bertiup.

Hasil kajian yang sama mendapati 21 peratus daripada pesawah tinggal kurang dari 50 ela dari kawasan mencampur racun. Satu kajian di kalangan penduduk Malaysia yang tinggal bersebelahan dengan kawasan pertanian pada tahun 2000 mendapaati 7.3 peratus daripada mereka mempunyai chlorpyrifos dalam darah mereka.

Di Amerika Syarikat setinggi 50 peratus sedangkan satu lagi kajian mendapati sehingga 74 peratus responden yang tinggal di kawasan bandar yang menerima perkhidmatan mengawal anai-anai menggunakan chlorpyrifos mempunyai kesan racun itu dalam darah mereka.

Satu lagi kajian di kalangan ibu mengandung dan bayi mereka mendapati 98 peratus responden mempunyai kesan racun itu dalam tubuh mereka.

Berita Penyelidikan

Arkib Berita