Ramalan Cuaca Lebih Tepat Jika Kesan Gelombang Permukaan Laut Diambil Kira

Jumaat, 03 Mei 2013 08:59
Cetak PDF

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 29 Apr 2013 – Ramalan cuaca boleh menjadi lebih tepat jika kesan gelombang permukaan yang dijana angin pada bahagian atas laut diambil kira.

Felo penyelidikan dari Swinburne University of Technology, Australia, Dr Malek Ghantous berkata model iklim yang digunakan sekarang tidak menghitung gelombang permukaan, dan ini boleh membuat ramalan tidak begitu tepat sebagaimana diharapkan.

Dr Ghantous berkata demikian ketika membentang hasil kajiannya pada forum Percampuran Laut Bergelora oleh Gelombang Angin di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Forum itu dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Sistem Perubahan Iklim Tropika (Iklim) UKM. Ia dipengerusikan oleh pengerusi Iklim, Prof Dr Fredolin Tangang.

Gelombang yang dijana angin, adalah gelombang yang dihasilkan atas permukaan bebas seperti lautan, tasik, sungai dan terusan. Ia biasanya disebabkan oleh angin bertiup atas hamparan yang cukup luas di permukaan.

Gelombang di lautan, katanya, mampu bergerak beribu-ribu kilometer sebelum sampai ke pantai dan gelombang angin itu juga terdapat dalam pelbagai saiz, dari yang kecil hingga riak ombak besar yang melebihi 30 meter tinggi.

Pencampuran bahagian atas lautan memberi kesan kepada suhu permukaan laut dengan mengalirkan air yang dalam dan sejuk ke permukaan. Malah perubahan kecil dalam suhu permukaan boleh memberi impak yang besar kepada cuaca global dan iklim. Maka  itu perkiraannya adalah penting untuk menentukan ramalan yang lebih tepat.

Walaupun terdapat beberapa mekanisme yang boleh membawa kepada percampuran, salah satu cara yang kurang diselidiki ialah kesan gelombang permukaan yang dijana angin. Dalam kebanyakan model teori, gelombang permukaan laut dianggap sebagai tak berputar kerana kelikatan air kecil dan gerakan tidak mempengaruhinya.

Ini membawa kepada dua aspek penting yang tidak diambil kira. Pertama tidak kira betapa kecilnya kelikatan, ia bukan sifar dan keduanya gerakan gelombang yang kecil pun boleh berinteraksi dengan pusaran yang sedia ada di dalam air, tambah beliau.

Akibatnya jika ombak menjadi cukup besar, pergerakan yang berputar boleh menghasilkan keadaan bergelora. Jadi ombak, walaupun dianggap sebagai tak berputar, memindahkan tenaganya ke air bergelora.


Beliau percaya bahawa model sedia ada untuk meramalkan cuaca menunjukkan suhu yang lebih tinggi daripada yang sebenarnya.

Beliau dan penyelidik lain dari Swinburne University of Technology telah mengumpul data dari kajian yang mereka lakukan di kawasan perairan pantai pulau Tasmania dan kawasan pantai di selatan Australia.

Beliau berkata kajian yang dijalankan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat di Okinawa, Jepun juga menunjukkan hasil sama dengan apa yang didapatinya.

Dr Ghantous mengakui belum terdapat data secukupnya untuk membuktikan sepenuhnya bahawa gelombang permukaan yang dijana memberi kesan kepada iklim secara langsung.

Ini adalah kerana hubungan antara gelombang permukaan dan pergolakan lautan adalah lebih rumit daripada sering dibayangkan. Gambaran gelombang sebagai tidak berputar, telah menyebabkan ramai penyelidik Kaji Laut menolak kesan gelombang pada pergolakan. 

Walau bagaimanapun, kajian teori dan makmal menunjukkan bahawa ombak yang tak berputar atau sebaliknya, boleh memindahkan tenaga kepada pergolakan dan dengan itu meningkatkan pergaulan.

Beliau berkata sehingga kini belum terdapat banyak model ramalan digunakan untuk mengesan gelombang permukaan yang dijana angin pada pencampuran laut bahagian atas yang bergelora.

Bagaimana pun banyak kajian menunjukkan bahawa kesan itu tetap wujud dan jika ia diabaikan sama sekali, ramalan akan menunjukkan suhu yang terlalu tinggi. Ini memberi kesan yang kurang memuskan terhadap ramalan cuaca, iklim dan biologi, kata Dr Ghantous.


Berita Penyelidikan

Arkib Berita