Baja organik AgroPlus tingkat pengeluaran Timun Batu

Khamis, 27 Mei 2010 19:38 Sahilah Abd. Mutalib
Cetak PDF

TIMUN Batu gred A seberat 2.5 kilogram sebiji dengan tahap kemanisan isinya mencapai ukuran13 pada meter  Brix. Inilah hasil penggunaan baja organik AgroPlus ke atas tanaman buah ini hasil daripada kerjasama penyelidikan yang rapat di antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan dua pihak lain. Tahap kemanisan ini adalah sama dengan kemanisan minuman ringan yang dijual di pasaran kita.

Yang membanggakan buah itu telah dapat menembusi pasaran Eropah sejak Oktober 2007. Kini penduduk di Sepanyol, Itali, Perancis, Belanda, Belgium dan Greece di dapati gemar membeli timun batu dari Malaysia kerana pengeluaran tembikai mereka sendiri terhenti pada musim sejuk.

Buah yang juga dikenali sebagai rock melon ini dinilai selepas dituai daripada 100 pokok yang ditanam di Tapak Semaian Sutera, Chendering, Terengganu. Biasanya timun batu daripada  pokok normal mengeluarkan purata buah seberat 1.3 - 1.5 sekilogram sebiji saja dengan tahap kemanisannya berskala 12 ke bawah.

Peningkatan hasil timun batu ini menunjukkan kesesuaian baja organik AgroPlus sebagai baja semburan foliar dan adalah baik bagi bahagian daun, buah dan batang.

UKM telah bekerjasama dengan DUHC Sdn. Bhd dan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menjayakan projek penyelidikan baja itu yang dilaksanakan khusus untuk membantu memajukan syarikat Bumiputera.

AgroPlus digunakan di kawasan Projek Fertigasi Mega Timun Batu, bermula pada akhir tahun 2006 adalah juga  program kerjasama antara Jabatan Pertanian Negeri Terengganu  dengan Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) dan melibatkan tujuh daerah iaitu Besut, Dungun, Setiu, Kemaman, Marang, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu.

Seramai 250 orang tempatan telah menyertai program ini menam timun batu dan cili sebagai hasil pertanian fertigasi yang utama di Terengganu. 

Pertambahan mendadak hasil tanaman timun batu itu dengan sendirinya meningkatkan pendapatan petani dan berkat  usaha gigih pemasaran ia berjaya menembusi pasaran Eropah sejak Oktober 2007.   Bagi pasaran tempatan pula sebanyak 25 tan metrik timun batu dapat dijual oleh petani seminggu.

Peningkatan pengeluaran buah ini mampu mengisi keperluan pasaran kita sendiri yang dijangka meningkat kepada lebih 200 tan metrik seminggu.  Ia kini boleh dibeli di pasar raya besar seperti Tesco dan Carrefour.

Sebelum ini, produk-produk syarikat Bumiputera terpaksa bersaing dengan produk dari syarikat-syarikat negara asing terutamanya hasil industri pertanian. Demikian pula mereka tidak mendapat sokongan para penyelidik tempatan khususnya daripada institusi pengajian tinggi.

Penyelidikan melibatkan tiga organisasi itu  adalah salah satu usaha sosial dan khidmat masyarakat untuk mendokong pengeluaran produk organik tempatan bersandarkan fakta-fakta saintifik atau bukti saintifik. DUHC Sdn. Bhd. adalah syarikat bumiputera yang diterajui oleh Pengarahnya,  Mohd. Ghazali Sulaiman.

Penyelidikan baja organik di UKM diketuai oleh Pensyarah Kanan Dr. Sahilah Abd. Mutalib, dari Pusat Pengajian Kimia dan Teknologi Makanan (PPSKTM), Fakulti Sains dan Teknologi (FST) yang juga seorang Penyelidik Bersekutu, IKRAB;  Prof. Dr. Aminah Abdullah, PPSKTM dan Prof. Dr. Salmijah Surif, Pusat Sains Alam Sekitar dan Sumber Semulajadi, FST.  Penyelidik bersama daripada UPM diketuai oleh Prof. Madya Dr. Radziah Othman dari Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian.

AgroPlus yang dihasil dan dimajukan oleh DUCH berasaskan kepada bahan buangan pertanian molase ia itu bahan buangan tebu sebagai asas yang diformulasi semula oleh Ghazali Abdullah, mantan Pegawai Pertanian, Jabatan Pertanian Malaysia bagi menambah baik nilai baja organik tersebut.

Baja organik  AgroPlus ini juga telah diuji ke atas tanaman kelapa sawit dan jagung. Sebagaimana timun batu semua tanaman tersebut menunjukkan pertumbuhan dan peningkatan hasil yang amat baik.  Ujian ke atas tanaman-tanaman berpotensi lain juga sedang dijalankan seperti mata kucing, rambutan, durian dan pokok kunyit.

Usaha untuk membangun dan melebarkan penyelidikan baja AgroPlus kini turut tertumpu kepada usaha meningkat hasil pengeluaran padi dengan melihat fungsi baja sebagai “pereput pantas” atau decomposer.  Baja organik ini mempercepatkan pereputan jerami padi di lapangan dan meningkatkan aktiviti mikrob menyebabkan nutrien dibebaskan dan meningkatkan nitrogen. Ini menyebabakan tanaman padi tumbuh dengan baik dan dengan itu telah meningkatkan hasil pengeluaran.

Penyelidikan terhadap kesan gabungan baja organik dengan mikroorganisme (effective microbes) sedang diusahakan di UKM.

Setakat ini, kajian yang dijalankan UKM dan UPM menunjukkan baja AgroPlus selamat digunakan dan sedang digunauji ke atas tanaman padi organik di Kampung Ewa, Pulau Langkawi dan di beberapa kawasan bendang pertubuhan peladang Kedah. Kajian mendapati  peningkatan hasil sebanyak 50%.
 
 
_________________________________________________________________________________________

Biodata ringkas Dr. Sahilah Abdul Mutalib - klik di sini

Berita Penyelidikan

Arkib Berita