Langkah jangka panjang atasi lanun di perairan Somalia

Isnin, 07 Jun 2010 11:53
Cetak PDF

Oleh Dr Kamarulnizam Abdullah


“Belayarlah 100 batu nutika dari pantai Somalia untuk elak serangan lanun,” demikian nasihat Pusat Perkapalan NATO kepada perkapalan antarabangsa.  

Bangi, 7 Jun, 2010. -- SIRI serangan lanun dan rompakan bersenjata di tengah lautan di Teluk Aden dan di luar pantai Somalia yang berterusan telah mencetuskan kebimbangan dan membangkitkan debat lama mengenai keselamatan di laluan antarabangsa.

 Satu laporan Biro Maritim Antarabangsa (IMB) berpangkalan di Kuala Lumpur mendedahkan pada 2009, perairan di pesisir Somalia dan Teluk Aden menyaksikan 47 buah kapal dirampas dengan 867 kelasi dijadikan tebusan berbanding 49 di seluruh dunia dan 1052 kelasi ditawan dengan lapan orang dibunuh.

Satu masa dulu Selat Melaka dikenalpasti sebagai perairan yang paling berbahaya untuk pelayaran. Serangan lanun di kawasan itu mencapai puncaknya pada 1997 bersamaan dengan kegawatan ekonomi dan pergolakan politik di Indonesia.  Lanun terus bergiat cergas sehingga 2004 apabila sejumlah 38 serangan dicatatkan. Tetapi serangan lanun itu merudum kepada hanya tujuh pada 2007 dan dua saja pada 2008.

Maka itu tidak syak lagi peningkatan serangan lanun Somalia di luar lautan luasnya banyak berkait dengan keadaan politik yang huru-haranya yang juga membawa kepada kemunduran di negara itu sendiri.

Sejak 2005, kehadiran sekurang-kurangnya dua puak bertelagah untuk berkuasa membuat Somalia kacau-bilau dengan kerajaan mampu berkuasa di sekitar ibu negara Mogadishu saja.

Keadaan ekonomi yang meleset diburukkan lagi dengan kemarau panjang mengakibatkan orang Somalia tidak ada pilihan dan terpaksa melakukan apa saja untuk hidup. Mereka yang mendiami di tepi pantai utara dan timur laut menjadikan kegiatan melanun sebagai mata pencarian bermusim.

Kumpulan lanun ini hanya bersenjatakan rifel AK-47 dan tangga tali saja; ini membuktikan betapa berani dan nekadnya mereka hingga dapat menyerang kapal yang belayar jauh dari pantai.

Sejajar inilah pada April 2010, Pusat Perkapalan NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) dalam satu amaran mengingatkan syarikat perkapalan agar lebih berwaspada ketika belayar di Teluk Aden di pesisir pantai Somalia.

Malah pusat itu menasihatkan pemilik kapal memastikan kapal mereka berlayar 100 batu dari pantai untuk mengelak daripada diserang lanun.

Di samping itu, kalangan perkapalan antarabangsa juga bertindak segera menghadapi krisis itu dengan mengerah kapal perang mereka ke perairan terlibat.

Kesatuan Eropah menghantar kapal perangnya untuk melindungi bukan saja kapal-kapalnya malah juga kapal dagang yang membawa muatan ke negara mereka.

Ini disertai oleh Amerika Syarikat sedang kerajaan Jepun bukan hanya mengembleng Pasukan Pengawal Pantai ke Teluk Aden, tetapi juga merancang mengemukakan satu Rang Undang-undang Pengawasan Maritim yang baru untuk kapal perangnya. Ini akan memberikannya kuasa untuk menangkap dan menahan kapal disyaki lanun di mana saja di dunia ini.

Malaysia juga tidak terkecuali apabila kerajaan mengorak langkah menghantar dua kapal latihan tentera lautnya, KD Sri Indera Sakti dan kemudian KD Hang Tuah ke perairan itu selepas dua kapal kargo Malaysia dirampas lanun Somalia.

Pada Ogos, 2008 kapal MISC Bunga Melati 5 membawa 30,000 ton petrokimia ke Singapura dari Arab Saudi dirampas lanun dengan enam anak kapal dijadikan tebusan. Ia adalah kejadian kedua melibatkan kapal milik Malaysia.

Pertambahan serangan lanun di pantai Somalia dan Teluk Aden adalah satu perkara yang harus menjadi teladan kepada semua. Ia secara langsung menimbulkan kebimbangan terhadap hubungan di antara kegiatan melanun dengan serangan pengganas.

Pada tahun 2000 kapal pembinasa Tentera Laut Amerika Syarikat, USS Cole diserang dekat pantai selatan Yaman oleh pengebom berani mati, menyebabkan 17 askar AS maut. Awal daripada itu, satu percubaan merempuh oleh sebuah bot berisi bahan letupan ke arah kapal USS Sullivans di pantai Yaman gagal.  Dua tahun kemudian kapal tangki Perancis Limburg diserang oleh sebuah kumpulan dikaitkan dengan Al-Qaeda di kawasan yang sama, membunuh seorang kelasi dan menumpahkan 90,000 tong minyak ke Teluk Aden.

Kumpulan gerila Abu Sayyaf yang bergiat di Selatan Filipina pula menyerang sebuah feri besar pada 2004.

Bagi kalangan antarabangsa mengerah angkatan laut mereka meronda di kawasan yang semakin menjadi perairan paling berbahaya di dunia hanyalah satu rungkaian jangka pendek kepada masalah itu.

Negara-negara pesisir pantai seperti Djibouti, Yaman, Arab Saudi, Sudan, Somalia dan Mesir mestilah dibantu melalui bantuan aset dan kewangan sebagai salah satu usaha untuk mengurangkan serangan lanun dan dengan itu secara sendirinya boleh membawa kepada pelayaran yang lebih selamat di kawasan itu.

Yaman dan Arab Saudi khususnya haruslah diberikan tumpuan dalam membina keupayaan pemantauan maritim mereka. Negara rantau itu juga boleh belajar daripada usaha sama negara Asia Tenggara yang mempunyai sistem “Mata di Langit” yang membawa kepada pengurangan kegiatan melanun.

Menghapuskan masalah pokok di Somalia khususnya dan di negara lain sepanjang pantai Teluk Aden harus diusahakan segera. Malangnya masyarakat antarabangsa nampaknya sama ada sudah tidak ada jalan atau sudah tidak lagi berminat membina keamanan berkekalan di Somalia.

Usaha perdamaian sebelum itu oleh Amerika, Kesatuan Afrika bersama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu gagal mengatasi keadaan anarki di Somalia.

Jika masyarakat antarabangsa berjaya mengurangkan terus kegiatan melanun di Selat Melaka mengapa tindakan yang sama tidak boleh diambil bagi kawasan Teluk Aden? Isu lanun di situ berkaitan dengan kestabilan politik Somalia. Puak-puak berperang di Somalia misti dibawa ke meja rundingan dan setelah itu negara itu diberikan bantuan ekonomi besar-besaran untuk membangunkannya semula sama seperti apa yang dilaksanakan di Indonesia pada lewat tahun-tahun 1990-an.

Sementara itu demi kepentingan masa depan dan menjamin keselamatan pelayaran global, syarikat perkapalan antarabangsa seharusnya menimbang untuk menyediakan pasukan pengiring apabila belayar di kawasan itu. Ia mungkin mengundang perdebatan mengenai isu kedaulatan tetapi keselamatan perkapalan tentunya mengatasi perkiraan kedaulatan itu.

Berita Penyelidikan

Arkib Berita