Punca Gadis Hamil Di Luar Nikah

Rabu, 09 Jun 2010 13:36
Cetak PDF

Oleh Abdul Ghani Nasir

BANGI, 9 Jun 2010 - Dengan anggapan ‘aku tak mungkin hamil’ sesetengah gadis remaja rela mengadakan hubungan seks luar nikah dengan lelaki yang baru saja mereka kenali.

Tidak kurangpula mereka ini termasuk wanita berkerja yang tinggal di bandar-bandar diajak teman lelaki mereka menonton VCD lucah lantas kedua-duanya ghairah hingga terjebak dalam maksiat. Akibatnya wanita terbabit melahirkan anak di luar nikah.

Malangnya, bukan semua teman lelaki mangsa yang mahu bertanggungjawab akibat keterlanjuran mereka itu. Memang ada lelaki yang hendak berkahwin tetapi dihalang oleh keluarga wanita, ada yang yang enggan menerima kehamilan pasangannya manakala ada pula yang takut selain tidak kurang pula yang terus memutuskan hubungan yang mereka bina dengan gadis terbabit sebelum itu.

Bagi gadis yang malang itu keadaan diburukkan lagi kerana pandangan serong masyarakat terhadap kehamilan diluar nikah. Ada pula yang berasa malu atau takut perbuatan terkutuk mereka diketahui keluarga. Ini akhirnya mencetuskan fenomena ngeri lain pula – dimana bayi tidak berdosa yang baru dilahirkan itu dibuang.

Demikian rumusan Profesor Madya Dr Fatimah Abdullah, pensyarah Program Kerja Sosial, Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM mengenai isu hangat dewasa ini berdasarkan penyelidikannya mengenai masalah seks di luar nikah mengikut rekod yang terdapat di Jabatan Kerja Sosial Perubatan, Pusat Perubatan UKM.

Rekod juga menunjukkan hampir semua bayi itu kemudian dijumpai sudah mati setelah dibuang dalam tong sampah, dicampak dalam longkang atau ada ditanam dalam kubur cetek.

Statistik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menunjukkan 65 kes buang bayi dicatat pada tahun 2000 meningkat kepada 83 kes pada 2006.

Daripada 83 kes itu, 79 membabitkan pembuangan bayi yang baru dilahirkan dengan empat lagi masih janin.  Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu 22 kes (2000) dan 24 kes (2006).

Sebab bayi dibuang belum dapat dipastikan kerana belum ada kajian khusus dijalankan, kata Dr Fatimah. Beliau menarik perhatian satu laporan akhbar mendedahkan kes sebegini biasanya membabitkan remaja yang terlanjur tetapi malu berdepan dengan masalah. Keadaan ini diburukkan lagi dengan sikap teman lelaki yang tidak mahu bertanggungjawab.

Remaja yang mengandung luar nikah juga menghadapi pelbagai masalah seperti disisih keluarga serta dibuang kerja.

Dalam menjalankan kajiannya, Dr Fatimah turut mendapatkan data terperinci faktor kehamilan, sikap keluarga dan perancangan masa depan remaja hasil temu bual dengan penghuni di Rumah Nur Adwa dari 2004 hingga 2008.

Walaupun terdapat 81 gadis berusia 15-19 tahun, namun dalam masa tersebut golongan berumur 20 hingga 24 tahun mencapai 118 orang manakala ada juga melebihi 40 tahun iaitu seorang janda.

Sebanyak 190 orang daripada mangsa menamatkan persekolahan menengah, 39 STPM dan kolej, 53 tamat sekolah rendah dengan 10 orang tidak bersekolah.

Dengan pencapaian pendidikan agak baik itu, tidaklah menghairankan 177 daripada mereka mendapat gaji RM1,500 dan lebih sebulan dan  81 di antara RM1,000-RM1,499 sebulan.

Namun, apa yang agak membimbangkan, kata Dr Fatimah adalah hakikat kurangnya pengetahuan gadis terlibat ini dengan perkara-perkara berkaitan seksualiti. Ini kerana kebanyakan daripada mereka tidak prihatin apabila haid mereka terhenti walaupun ini salah satu tanda kehamilan.

Lebih buruk lagi ada gadis yang masih tidak tahu mengenai fungsi bahagian badan dan sistem reproduktif mereka sendiri seperti perbezaan kedudukan saluran kencing dan saluran peranakan.  Fakta ini didedahkan hasil kajian sebuah syarikat pengeluar alatl pencegah kehamilan.

Kajian rapi terhadap lapan gadis terlibat mendapati lima datang daripada keluarga tidak lengkap yakni keluarga ibu tunggal akibat penceraian atau kerana bapa telah meninggal dunia.

Dr Fatimah mencadangkan agar beberapa perkara diberikan perhatian dalam usaha membendung dan menangani masalah berkenaan.

Kebanyakan remaja atau wanita muda yang melanjutkan pelajaran tinggi atau bekerja di bandar dan jauh daripada keluarga biasanya tinggal bersendirian atau menyewa bersama rakan.

Ada kalanya, tegas Dr Fatimah, mereka ini tinggal serumah dengan teman berlainan jantina malah jika tidak menetap sebumbung pun kedudukan flat yang bersebelahan memudahkan teman lelaki atau wanita keluar masuk unit masing-masing.

“Sifat jiran tetangga khususnya di bandar yang sentiasa sibuk dengan pekerjaan masing-masing tidak dapat berfungsi sebagai sistem kawalan sosial tidak formal yang berkesan sedangkan majikan yang menyediakan kemudahan perumahan tidak prihatin mengenai hal tersebut,’ kata beliau.

Bagi pihak keluarga pula keengganan ibu bapa untuk membenarkan anak mereka berkahwin merupakan antara faktor remaja lari mengikut teman lelaki dan bersekedudukan sehingga hamil dan melahirkan anak.

“Perpecahan dan sikap keluarga ini kelihatan mempunyai kaitan dengan perlakuan devian remaja kita,” ujarnya.

Dr Fatimah juga berpendapat bahawa walaupun data yang ada tidak cukup untuk memberikan maklumat perkaitan antara didikan agama dengan penglibatan dalam hubungan seks sebelum berkahwin atau di luar perkahwinan namun pegangan agama yang kuat merupakan benteng utama dalam menghindari perlakuan devian.

Beliau turut menarik perhatian sungguh pun tidak ada maklumat mengenai pengaruh media dan hiburan terhadap masalah melahirkan anak di luar nikah, tetapi satu kajian pda tahun 2003 mendapati wujudnya hubungan yang rapat antara dorongan seks dengan gejala itu.

“Lantas kawalan dan saringan terhadap kedua-dua pengaruh dan dorongan itu juga amat penting,” kata Dr Fatimah.

Dalam konteks Malaysia, kata Dr Fatimah lagi, dasar dan program bersepadu untuk membantu remaja hamil diluar nikah hampir tidak ada.  Hal tersebut mungkin timbul kerana tidak adanya data lengkap megenai mereka khususnya berkaitan latar belakang sosio-ekonomi, pergaulan dan hubungan hetroseksual serta pengalaman hubungan seks sebelum berkahwin.

Apa pun gejala kehamilan remaja diluar nikah ini perlu dilaksanakan dengan penuh teliti kerana ia turut melibatkan isu agama dan budaya yang berbeza di antara satu kaum dengan yang lain.

Kaedah yang dilakukan di Barat seperti penggunaan kaedah kontraseptif bagi mencegah kehamilan tidak boleh digunakan bagi remaja beragama Islam.

Fenomena ini sebenarnya adalah manifestasi kepada isu yang lebih besar lagi tentang kekalutan dalam struktur dan organisasi sosial dalam masyarakat. Sehubungan itu profail yang lengkap mengenai mereka sedang dikumpulkan kerana ia penting dalam merangka pelan intervensi dan prevensi.

“Ini amat penting bukan saja kepada remaja yang terlibat tetapi anak mereka yang bakal dilahirkan, khususnya daripada segi nasab, penjagaan dan masa depan mereka,” kata Dr Fatimah.

Berita Penyelidikan

Arkib Berita