Sistem landasan jawapan kepada masalah pengangkutan awam di KL

Rabu, 15 September 2010 00:38
Cetak PDF

Oleh Abdul Ghani Nasir

BANGI,  15 September, 2010 – Sistem pengangkutan menggunakan landasan seperti Transit Aliran Ringan (LRT) adalah yang terbaik bagi bandaraya Kuala Lumpur pada masa depan kerana keupayaannya mengangkut sejumlah besar penumpang, kata seorang penyelidik dan pakar pengangkutan awam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Prof Dr Abdul Rahim Md Nor, Prof Ilmu Alam Manusia dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan berkata LRT mempunyai kapasiti membawa 12,000 penumpang setiap sejam bagi setiap satu perjalanan dengan kecepatan 20 kilometer sejam.

Beliau yang juga Pakar Runding Pengangkutan, menambah bahawa LRT harus pula disokong oleh pengangkutan menggunakan bas berkapasiti tinggi, berjalan di lorong ekslusif untuk kecepatan dimana pergerakannya tidak akan terganggu.

Beliau merumuskan demikian hasil satu kajian bertajuk “Penggunaan Landasan Kekal Atasi Masalah Pergerakan di Lembah Klang” dibiayai oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dengan fokus terhadap penggunaan sistem landasan, letak kenderaan dan menaiki bas.

Penduduk di Lembah Klang dan kawasan Kuala Lumpur dan persekitarannya mendapat khidmat pengangkutan yang disediakan oleh bas biasa, bas mini, KTM komuter, Rel Transit Ringan (LRT)  dan Monorel selain teksi.

Sistem landasan kekal di Lembah Klang yang ada hari ini melibatkan KTM Komuter, LRT Star, LRT Putra, KL Monorail dan Express Rail Links.

 Prof Rahim menjelaskan LRT sering kali dianggap lebih mampu diusahakan dalam sistem berasaskan landasan itu, digerakkan oleh elektrik, mempunyai imej mewah dan ‘hijau’ di samping bersesuaian dengan persekitaran pusat bandar dengan orang ramai sesak di kaki lima dan memberi sumbangan kepada kesejahteraan hidup perbandaran.

Sistem pengangkutan landasan itu juga jelas mampu menjadi alternatif kepada bas sebagai pengangkutan awam utama kerana masalah kesukaran menaiki bas dengan hanya kira-kira 61 peratus penduduk Lembah Klang tinggal dalam lingkungan 400 meter dari jalan yang mempunyai perkhidmatan bas.

Pertumbuhan jumlah kenderaan persendirian telah melonjak secara mendadak kerana keperluan pengangkutan hingga menyebabkan penggunaan pengangkutan awam di Lembah Klang merosot dari 34 peratus pada 1985, kepada 20 peratus pada 1997 dan berkurangan terus sehingga 10-12 peratus saja sekarang ini.

“Kedudukan demikian mendorong Kuala Lumpur merancang untuk meluaskan kawasan lingkungan stesen transit daripada 10 peratus sekarang kepada 24 peratus pada 2020 sedang kawasan tampungan dengan koridor berlandasan ditingkatkan dari 24 peratus kepada 52 peratus, “ kata Prof. Rahim.

Beliau berkata bahawa bandar-bandar di Lembah Klang dan pinggir Kuala Lumpur mempunyai matlamat menjadi bandar bertaraf dunia dengan persekitaran bekerja juga bertaraf dunia, menawarkan pelbagai bidang pekerjaan dan peluang kerjaya untuk orang ramai, selain peluang pelaburan untuk peniaga tempatan dan asing.

Bagi mencapai matlamat ini, perkhidmatan pengangkutan dan prasarana yang efisyen diperlukan bagi membolehkan rakyat, pekerja dan pelabur memberikan khidmat dengan cekap.

Malangnya sistem pengangktuan awam adalah mahal dan mengambil masa yang lama untuk dibina walaupun dengan teknologi kontemporari terutama kerana ia melibatkan pengambilalihan tanah, membina struktur jalan atas bagi memasang landasan atau menebuk terowong untuk rangkaian transit aliran cepat bawah tanah, kata Prof Rahim,.

Buat masa ini, hanya kira-kira 10 peratus daripada Kuala Lumpur dihubungkan langsung atau dalam lingkungan stesen transit yang sedia ada ia itu yang ditakrifkan sebagai kawasan bergaris pusat  400 meter dari stesen berkenaan dan 24 peratus dalam koridor transit iaitu 400 meter dari kedua-dua belah sistem landasan.

Dalam perancangan untuk perluasan rangkaian landasan Kuala Lumpur pada masa depan, adalah lebih baik ia memberi khidmat kepada kawasan-kawasan baru yang belum lagi ada rangkaian landasan dan digabungkan dengan pusat daerah, kawasan pekerjaan, kejiranan padat penduduk, kawasan pembangunan menyeluruh dan tapak pembangunan semula di pusat bandar.

Prof Rahim berkata walaupun Lembah Klang adalah gabungan bandar-bandar yang paling padat dengan penduduk dan menjadi pusat kegiatan dengan taraf hidup paling tinggi, namun sistem pengangkutan awam yang ada tidak sepadan kerana gagal  memberi khidmat yang diperlukan orang ramai.

Kita tidak mudah mendapatkan khidmatnya, kekerapan perjalanan tidak menentu, tidak ikut masa bergerak dan kekurangan serba serbi yang lain.

Perkhidmatan  komuter disediakan oleh syarikat milik kerajaan pula terlebih kapasiti sehingga 40 peratus, memerlukan lebih sejam untuk perjalanan dari pusat bandaraya ke pinggir bandar, sering rosak, sistem pendingin udara yang juga selalu tidak berfungsi, keselamatan kurang terjamin untuk penumpang terutama wanita dan tahap perkhidmatan yang semakin merosot.

Kajian oleh Prof Rahim juga mendapati bahawa kemudahan letak kenderaan dan menaiki bas untuk KTM Komuter tidak mencukupi untuk jumlah penumpang yang terus meningkat.

Lot meletak kereta disediakan juga memenuhi hanya 60 peratus daripada keperluan, menyebabkan ramai penumpang meletakkan kereta mereka di bahu jalan lantas mendedahkan kereta mereka kepada kerosakan dan perosak.

Pemantauan juga mendapati ramai pengguna menyalahgunakan kemudahan dengan meletakkan kereta mereka walaupun tidak menaiki komuter tetapi untuk ke pasar raya berdekatan.

Prof. Rahim memutuskan bahawa sistem pengangkutan awam mungkin adalah alternatif untuk penduduk bandar tetapi integrasi dan perhubungan di antara pelbagai bentuk pengangkutan itu adalah lemah di sesetengah kawasan, sebagai contoh untuk penumpang yang menggunakan monorel dan sistem LRT di pusat perhentian pengangkutan terbesar di tengah ibu negara.  
 
 

Profesor Dr Rahim boleh dihubungi di: Alamat e-mail ini dilindungi dari spambots. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk paparkannya  

Prof Dr Rahim telah menyelidik pengangkutan awam di Lembah Klang sejak 24 tahun lalu. Beliau telah menerbitkan banyak artikel jurnal dan menulis banyak buku mengenai perkara ini. Buku beliau berjudul “Transport  For The Under-Served in Peninsular Malaysia” diterbitkan oleh Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, adalah berdasarkan tesis Ph.D beliau di Universiti Sheffield, United Kingdom.

Beliau sering muncul di RTM, Astro Awani dan akhbar Streaming, membincacngkan persoalan pengangkutan awam. 
 


Berita Penyelidikan

Arkib Berita