Teknologi hibrid kincir angin dan panel fotovoltan ditawarkan kepada PDRM

Selasa, 31 Mei 2011 10:55
Cetak PDF

Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto oleh Saliman Leman


BANGI, 31 Mei, 2011 – Teknologi menjana kuasa keterbaharuan menggunakan hibrid kincir angin dan panel fotovoltan dijangka digunakan di lebih 40 buah pulau terpencil di perairan perbatasan Sabah, Malaysia dengan dua negara jirannya, Filipina dan Indonesia.


Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) UKM bersama BayuCorp Sdn Bhd, sebuah syarikat swasta yang mendapat geran TechnoFund Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggantikan jentera jana kuasa diesel yang digunakan sekarang. Ia diramal dapat mengatasi pelbagai masalah terutama di segi logistik dan penjimatan belanja tahunan kerajaan.


Usaha ini sedang dirundingkan oleh SERI dengan PDRM yang bertanggungjawab mengendalikan pos-pos kawalan di pulau-pulau strategik – sebuah di sempadan utara Semenanjung dan bakinya di perairan perbatasan dengan Filipina.


Felo Penyelidik SERI merangkap Ketua Jaringan Industri & Masyarakat, Dr Sohif bin Mat memberitahu satu memorandum persefahaman mengenai perkara itu diharap akan dapat dimeterai dalam tempoh terdekat daripada hasil rundingan berterusan berkaitan penggunaan teknologi menjana kuasa keterbaharuan itu.


Dalam satu temu ramah dengan Portal Berita UKM beliau menjelaskan sebagai sebuah agensi penguat kuasa PDRM mempunyai stesen kawalan dan pengawasan di lebih 40 buah pulau kecil dan terpencil di sepanjang perbatasan perairan Sabah dengan Filipina.


Selain menjaga kedaulatan negara, stesen-stesen itu mempunyai anggota polis yang mengawasi pergerakan dan melindungi negara daripada ancaman lanun dan pengganas asing.


“Pulau-pulau itu biasanya menempatkan antara enam hingga 20 anggota polis bergantung  kepada tahap kepentingan keselamatan pulau-pulau itu.


“Mereka memerlukan bekalan makanan dan bahan tenaga diesel yang dibawa dari Semporna atau Tawau, Sabah dengan bot laju polis marin. Tenaga elektrik yang perlu dijana itu adalah untuk kuarters kediaman dan pos kawalan dan pengawasan mereka yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan komunikasi canggih.


Perbincangan antara SERI PDRM Bukit Aman adalah bagi membolehkan  mereka menggunakan teknologi jana kuasa keterbaharuan dengan menggunakan sistem hibrid kincir angin dan panel PV bagi menjana kuasa.


SERI telah pun memohon mendapatkan butir-butir terperinci mengenai keperluan tenaga di setiap pulau berkenaan, yang akan dikenalpasti secara mendalam setelah dapat memeterai perjanjian MOU dengan PDRM, Bukit Aman, kata Dr Sohif.


SERI kini memiliki tiga kincir angin prototaip, sebuah daripadanya telah dibawa dari Taman Inovasi Teknologi Tenaga Hijau, di kampus UKM Bangi dan dipasang di Pusat Penyelidikan Ekosistem Marin (Ekomar) UKM, di Mersing, manakala yang ketiga masih dalam perbincangan untuk dipasang di Langkawi.


Tiap sebuah adalah setinggi kira-kira 30 hingga 40 kaki, bergantung pada profil angin setempat dengan tiga bilah kipas. Ia mempunyai turbin jenis lima kilowatt.


Pengiraan awal menjangkakan, sekiranya terdapat angin yang berterusan selama 10 hingga 12 jam sehari, ia sudah memadai untuk menjadikannya bernilai komersial kerana mampu menjana lebih kurang 60-100 kilowatt jam sehari yang mampu menyediakan bekalan letrik yang diperlukan.


Harga setiap sistem teknologi hibrid yang menghasilkan lima kilowatt tenaga adalah dalam lingkungan RM100,000 hingga RM400,000 saja. Kos itu begantung kepada profail penjanaan yang diperlukan.


Bagaimana pun penggunaannya  lebih menjimatkan berbanding pemasangan jentera penjana kuasa diesel untuk tempuh jangka masa panjang dan pemasangan sistem saluran kawat elektrik yang berharga antara  RM2 juta atau RM3 juta bagi  setiap kilometer.


Dr Sohif berkata pemasangan panel Solar PV membolehkan penjana itu mendapat dan menyimpan pancaran suria pada waktu siang  di antara empat hingga lima jam sehari bagi menambahkan  tenaga diperolehi hasil pusingan turbin digerakkan oleh kipas kincir angin.


Panel PV  boleh digunakan sehingga 25 atau 30 tahun sedangkan jangka hayat  bateri turbin kincir angin pula sehingga antara 3 dan 8 tahun bergantung pada jenis panel PV dan bateri yang digunakan.


Dr Sohif melahirkan harapan agar kerjasama UKM, Bayucorp Sdn Bhd dengan PDRM sebagai agensi penguat kuasa kerajaan mencapai kejayaan dan membuka jalan kepada penggunaan lebih meluas tenaga keterbaharuan di tempat-tempat terpencil lain. 

Berita Penyelidikan

Arkib Berita