Gerai Moden Berkuasa-Solar Pelbagai Guna Ciptaan UKM Sesuai di Mana-mana

Rabu, 06 Julai 2011 15:20
Cetak PDF

Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto oleh Saliman Leman


BANGI, 6 Julai, 2011 – Meningkatkan imej penjaja jalanan Malaysia sejajar rakan mereka di negara maju –  inilah matlamat pereka gerai moden pelbagai guna, Dr Azimin S. M Tazilan, pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina UKM.

Gerai itu, ecsCUBE atau e-kiosk, bukan saja sesuai untuk penjaja jalanan terutama di tengah-tengah bandaraya seperti Kuala Lumpur, malah boleh digunakan sebagai stesen bergerak seperti pondok bayaran letak kereta, pos kawalan polis, petugas Majlis Tempatan, pondok kecemasan Bulan Sabit Merah dan pelbagai kegunaan lagi.

Gerai itu mesra alam dilengkapi dengan sistem tenaga solar photovoltaic yang boleh menjana 174 watt tenaga. Jika perlu, kekuatan watt tenaga boleh ditambah kepada1,000 kilowatt dengan menyambungnya kepada grid TNB, kata Dr Azimin.

Selain mudah aleh ia itu boleh dipindahkan ke tempat diperlukan sesuatu ketika seperti waktu Perlumbaan F-1 di Sepang, ia juga sesuai untuk sebarang cuaca. Gerai itu diperbuat daripada besi keluli dan kayu kitar semula.

Kiosk itu amat sesuai digunakan di kawasan kunjungan pelancung seperti di Langkawi bagi penjaja yang menjual berbagai barangan cenderamata, cenderahati dan baju-T.

“Pelancong tentunya mahu gerai yang bersih dan menarik berbanding kedai lama, jadi e-kiosk dapat mengatasi masalah itu dan belia menjaja boleh juga menggunakan internet,” kata Dr Azimin.

Hasil ciptaan dan reka bentuk Dr Azimin itu mendapat suntikan semangat apabila diberikan permit oleh Majlis Perbandaran Kajang untuk dibuka sebagai gerai makanan diuruskan dua bekas pelajar UKM.

Ia kini menjadi daya tarikan orang ramai dan pelajar UKM yang lalu lalang di depan Taman Inovasi Teknologi Tenaga Hijau, Jalan Reko berhadapan padang mainan dalam kampus UKM.

Gerai itu menyediakan makanan seperti spaghetti, roti bakar, roti prata, laksa, burger serta makanan barbekiu berjenama X-Bite, air minuman sejuk atau panas.

Selain e-kiosk sebuah unit tambahan diletakkan bersebelahannya sebagai tempat menyimpan peti penyejuk dan peralatan lain serta bekalan bahan makanan dan minuman.

Ketua Pegawai Eksekutif, Greenxs Sdn Bhd, Nur Suryana Muhamad, berkata kelebihan ecsCUBE ini ia amat sesuai untuk perniagaan jalanan dan untuk mempamerkan produk.



Apabila ditutup ia hanya 4 x 4 kaki tetapi apabila dibuka ia menjadi 4 x 10 kaki. Ia dilengkapi dua lampu LED, satu lampu isyarat, empat soket kuasa boleh digunakan untuk penyejuk, LCD, monitor/tv, radio dan dua kipas blower.

“Kelebihan paling nyata adalah e-kisoks ini menggunakan tenaga suria dengan panel PV maka ia tidak memerlukan bekalan elektrik daripada grid TNB. Ia boleh diletakkan di tengah bandar raya, padang, tengah hutan dan tepi jalan,” kata beliau.

Suryana berkata sasaran utama mereka adalah penjaja jalanan. Apabila menggunakan kemudahan serba moden mesra alam ini, sekali gus wujud satu anjakan paradigma di kalangan penjaja kita.

“Berdasarkan keadaan sekarang jelas penjaja jalanan kita tidak sistematik seperti di negara maju juga di Indonesia dan Thailand. Kita mahu naikkan status penjaja jalanan kita.

“Kita perlu akui penjaja kita kurang pengiktirafan di segi ekonomi walaupun mereka banyak memberi sumbangan kepada pembangunan negara. Cuma kini semakin jelas kemajuan mula menghalang penjaja jalanan daripada meneruskan bisnes mereka,” kata Suryana.

Greenxs Sdn Bhd, sebuah syarikat terbitan UKM di bawah UKM Technology, diberikan pembiayaan penyelidikan oleh Perbadanan Teknologi dan Pembangunan Malaysia (MTDC).

Ia menawarkan pakej bertujuan membantu penjaja mendapatkan gerai e-kiosk itu baik dengan pinjaman atau melalui skim sewa gerai.

“Kami menjangka dapat menjual e-kiosk ini sekitar RM30,000 hingga RM40,000 sebuah berbanding RM20,000 untuk gerai burger sekarang ini. Bezanya, penjaja burger kini terpaksa berdiri di luar terdedah kepada panas dan hujan selain perlu membeli tong gas dan penjana elektrik.

“Peniaga makanan pun perlu mengeluarkan RM3,000 sebulan jika mahu menyewa lot kedai atau membeli unit dibina UPEN berharga RM30,000 sebuah,” kata Suryana.

Ia sudah pun mendapatkan sebuah syarikat membina gerai berkenaan dan telah memohon paten. Dr Azimin merancang membina gerai diperbaharui itu dengan input penggunaan unit percubaan di Jalan Reko itu.

Perniagaan berkenaan juga dijalankan atas dasar percubaan dengan pelajar UKM cuba mencari pengalaman berniaga.

“Mereka menjalankan perniagaan sambil membuat penyelidikan berdasarkan pandangan pembeli,” tambah Dr Azimin.

Diperbuat hingga 80 peratus daripada besi keluli kiosk yang ada itu masih kukuh dan baik walaupun digunakan sejak tiga tahun lalu.

Dr Azimin boleh dihubungi melalui
Alamat e-mail ini dilindungi dari spambots. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk paparkannya

Berita Penyelidikan

Arkib Berita