Prof Ruszymah dari UKM Diiktiraf Dalam Cogito, Sebuah Laman Web Universiti Johns Hopkins

Jumaat, 08 Julai 2011 16:53
Cetak PDF

BANGI, 8 Julai, 2011 - Ketua Pusat Kejuruteraan Tisu PPUKM, Profesor Dr. Ruszymah Hj. Idrus mendapat pengiktirafan Cogito sebuah laman web Center for Talented Youth Johns Hopkins University yang menemu bualnya baru-baru ini.

Laman web, Cogito.org yang diilham dan dibiayai Yayasan John Templeton, Amerika Syarikat dikendalikan oleh Pusat itu dengan kerjasama sembilan rakannya termasuk Pusat PERMATApintar Negara UKM.

Rakan-rakan lainnya adalah: Center for Talent Development (CTD) Northwestern University Evanston, Illinois; Duke Talent Identification Program (TIP) Duke University Durham, North Carolina; Belin-Blank Center for Gifted Education and Talent Development University of Iowa
Iowa City, Iowa;
Carnegie Mellon Institute for Talented Elementary and Secondary Students (C-MITES) Carnegie Mellon University, Pittsburgh, Pennsylvania; Center for Innovative and Talented Youth (CITY), University of Denver, Denver, Colorado; Center for Excellence in Education (CEE), McLean, Virginia; Davidson Institute for Talent Development, Reno,Nevada dan Society for Science and the Public (SSP) Washington, DC

 

Di bawah di siarkan temu bual itu:

Perbualan Cogito: Ruszymah Bt Hj Idrus, Penyelidik Perubatan Regeneratif  

Oleh Kristi Birch

Apabila beliau masih kanak-kanak dan membesar di Melaka, Ruszymah Bt Hj Idrus di tanya oleh seorang guru apakah cita- citanya apabila dewasa nanti. Ruszymah yang gemar menonton drama perubatan menjawab dengan spontan “doktor”. Hari ini Dr Ruszymah adalah penonton setia rancangan perubatan seperti “Grey’s Anatomy” dan “House,” dan beliau telah menerajui bidang perubatan regeneratif dan kejuruteraan tisu. 

Dua belas tahun lalu, selepas tamat pengajiannya beliau telah meneruskan pelajarannya sebagai felo pasca kedoktoran di Harvard Medical School dalam bidang genetik molekular, Dr Ruszymah telah mengasaskan Makmal Kejuruteraan Tisu dan Genetik Manusia di Pusat Perubatan UKM.

Semenjak itu beliau telah memfailkan lebih dari 10 paten dan memenangi berbagai anugerah termasuk pingat emas di Persidangan Antarabangsa di Geneva untuk penyelidikan yang dijalankan oleh makmalnya dalam bidang fisiologi, genetik dan perubatan regeneratif.

Ini adalah pelbagai penemuan yang di buat secara terus. Tetapi jika di tanya pengalaman yang paling menarik bagi beliau dalam makmalnya, beliau menjawab “hari kami menyambut ulang tahun”.

Sambutan tersebut adalah untuk seorang kanak-kanak perempuan berumur 5 tahun. Anak kecil itu adalah mangsa kebakaran. Dia disambar api ketika lalu berhampiran dengan seorang budak yang sedang bermain dengan minyak tanah dan kainnya telah disambar api.

Apabila tiba di hospital hampir seluruh badannya telah melecur dengan teruk dan terpaksa melalui proses pencantuman kulit yang berkali-kali. Cantuman kulit adalah kaedah mengeluarkan lapisan kulit dari bahagian tubuh yang sihat (di kenali sebagai kawasan penyumbang), menggunakannya untuk menutupi bahagian badan yang telah melecur. Proses ini amat sakit terutama ketika memotong kulit dari kawasan penyumbang.

Keadaan si kecil tersebut menjadi semakin tenat dan bahagian badan yang mempunyai kulit yang masih elok adalah amat sedikit. Ibu bapanya tidak tahan melihat anak mereka melalui kesakitan perit itu. Hospital tersebut telah meminta bantuan Dr Ruszymah.

Dengan mengambil sampel kulit yang masih sihat di badan anak kecil itu mereka mampu menghasilkan kulit baru untuk merawat bahagian yang telah melecur. Kaedah ini – menumbuhkan tisu baru dari sampel di kenali sebagai kejuruteraan tisu atau  perubatan regeneratif . Itulah yang di lakukan dalam makmal di mana Dr Ruszymah telah berjaya menghasilkan tisu baru dari sel.

“ Sel menghasilkan tisu dan tisu menghasilkan organ” beliau menerangkan.

Kulit adalah tisu dan dengan pengkulturan sel daripada sampel yang di ambil dari tubuh anak kecil tersebut telah membolehkan mereka menghasilkan kulit baru tanpa memotong kulit untuk proses pencantuman kulit yang ada.

Pertama sekali mereka meleraikan sampel tisu dalam makmal. Ini akan membolehkannya mengeluarkan sel kulit tersebut. Kulit terdiri daripada dua lapisan. Lapisan luar dikenali sebagai epidermis yang mengandungi sel keratinocyte. Lapisan dalaman kenali sebagai dermis, mengandungi sel fibroblast.

Pengkulturan kedua dua jenis sel dilakukan secara berasingan kerana keperluan sel yang berbeza. Apabila sel secukupnya telah berjaya dihasilkan, kedua-dua lapisan kulit itu akan dicantumkan satu sama lain.

Dalam masa dua hingga tiga minggu, 10 cebisan kulit yang besar telah dapat dihasilkan dan kemudian dilekatkan di bahagian melecur.

Pembedahan itu telah dapat dilakukan dengan jayanya. “Segala harapan untuk memulihkan anak kecil itu sudah tiada lagi ketika itu. Tetapi hasil pembedahan itu dia telah pulih.” Ruszymah mengimbau kembali peristiwa itu dan tanpa disangkan anak kecil tersebut telah sembuh sepenuhnya.  “Jadi kami telah menyambut hari jadi ke limanya dalam makmal, kami membeli anak patung dan mengadakan satu jamuan kejutan untuknya.

“Saat yang paling bahagia dan tidak boleh dilupakan bagi saya ialah bila dia dapat berjalan untuk pulang ke rumahnya. Dia amat gembira dan peristewa itu amat memuaskan”.

Hari ini, Dr Ruszymah sedang berusaha membina sebuah makmal yang diiktiraf untuk menjalani ujian klinikal terhadap manusia. Bangunan tersebut sudah hampir siap.

Kerajaan Malaysia ingin memastikan kaedah yang telah menyelamatkan nyawa anak kecil tersebut menepati protokol dan diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan sebelum ia dilakukan ke atas pesakit lain.

Jadi Dr Rusymah dan makmalnya akan membuat eksperimen ke atas tikus dan haiwan yang lebih besar seperti kambing dan akhir sekali dalam bulan August ujian akan di jalankan ke atas manusia.

“Kita masih belum mampu menghasilkan organ manusia lagi kerana organ mengandungi terlalu banyak jenis sel” tambah beliau.

Selain dari minat dan cintanya untuk sains beliau turut mempunyai minat lain. “Saya amat gemar menghasilkan saintis muda, saya juga gemar membimbing mereka” katanya.

Dr. Ruszymah Bt Hj Drus

Professor Dr Ruszymah Bt Hj Drus adalah seorang penyelidik yang dinamik dan peneroka bidang kejuruteraan Tisu dan Perubatan Regeneratif di Malaysia. Beliau adalah graduan Universiti Kebangsaan Malaysia dengan Ijazah Perubatan dan kemudiannya menyambungkan pelajaran pada peringkat PhD dalam Fisiologi yang telah menimbulkan minat beliau dalam penyelidikan perubatan. Beliau menghabiskan enam bulan memperbaiki kemahiran beliau dalam bidang molekular biologi di Bakers Medical Research Institute, Melbourne, Australia. Kemudian beliau telah berjaya mendapat tempat untuk  mengikuti program pasca kedoktoran dalam molekular genetik di Harvard Medical School.

Beliau kembali dari Harvard dengan wawasan untuk menubuhkan makmal untuk meneruskan penyelidikannya. Bersama suami beliau pada tahun 1999 mereka telah memulakan Makmal Kejuruteraan Tisu dan Genetik Manusia.

Semenjak itu berbagai-bagai penyelidikan telah dihasilkan. Pada 2003 bersama pasukan penyelidik, beliau telah menubuhkan Pertubuhan Kejuruteraan Tisu Malaysia (Tissue Engineering Society of Malaysia -TESMA) dan telah dilantik sebagai Presidennya. Beliau telah memenangi lebih daripada 20 anugerah, mempunyai 9 paten dan telah memohon untuk mendapatkan 5 lagi paten. Beliau telah menghasilkan dan menjadi pengarang bersama lebih daripada 60  kertas kerja tempatan dan antarabangsa. Beliau juga adalah seorang Professor Fisiologi dan Ketua Pusat Kejuruteraan UKM dan menjadi ahli  Lembaga Pertubuhan Kejuruteraan Tisu dan Perubatan Regeneratif Antarabangsa (Tissue Engineering and Regenerative Medicine International Society - TERMIS-AP). Beliau adalah seorang Editor Jurnal Tissue Engineering dan The Tissue Engineering and Regenerative Medicine.

 

Soal Jawab:

Hi Dr Ruszymah! Sungguh mengkagumkan Dr telah berusaha menubuhkan makmal mengenai tisu bersama suami di Malaysia. Apa pengalamannya? Apakah Dr pernah melakukan seumpamanya sebelum itu? Apakah yang mendorong Dr menceburi bidang itu?

Terima kasih kerana minat sdr. Saya dan suami telah mengadakan pelajaran lanjutan di Sekolah Perubatan Harvard (Harvard Medical School) mengenai kejuruteraan tisu. Kami berada di Kampus Longwood di Boston selama setahun. Ia amat menggalakkan. Kami banyak belajar mengenai sel tisu dan kejuruteraan tisu. Jadi apabila pulang ke tanah air kami telah meneruskan apa yang kami pelajari dan berusaha menghasilkan lebih ramai saintis bagi bidang itu di Malaysia. Kami berjaya mendapat sedikit dana untuk menubuhkan sebuah makmal kecil menghasilkan sel tisu. Dan kini sudah mempunyai makmal sebenar untuk menjayakan usaha itu. Ia amat merangsangkan.

Apakah yang mengemarkan mengenai kerjaya Dr?

Selepas beberapa tahun yang amat mengecewakan menyelidik sel dan tisu tetapi akhirnya telah berjaya. Itulah waktu yang amat memuaskan.

Maaf kerana hendak tanya soal yang agak bodoh. Berapa lamakah sampel kulit boleh disediakan supaya dapat digunakan untuk ditampal kepada pesakit?

Saya percaya tidak ada soalan yang bodoh. Kita perlu bertanya kalau mahu tahu sesuatu. Teruskan saja bertanya…. Usaha itu bergantung pada tisu dansel dan biasanya mengambil masa kira-kira dua atau tiga minggu.

Bagaimanakah suatu hari biasa kepada Dr? Sejauh mana sudah penyelidikan bidang ini dapat dimajukan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini?

Saya tidak mempunyai suatu hari demikian!! Setiap hari berbeda dan mencabarkan.. dan kadang kalanya mengecewakan. Kejuruteraan tisu dan perubatan regeneratif telah melalui liku-liku mencabarkan dan kini baru mula dapat melihat hasilnya. Kami telah dapat mengusahakan produk dan menjalani ujian ke atas binatang. Kini kami sudah pun berjaya mendapatkan sebuah makmal untuk menjalani ujian klinikal ke atas manusia. Usaha memanfaatkan apa yang dipelajari untuk kebaikan pesakit dan manusia adalah apa yang diharap-harapkan dalam penyelidikan perubatan. Berdoalah ujian klinikal kami akan berjaya


 

Berita Penyelidikan

Arkib Berita