Oleh S. Sivaselvam
Gambar oleh Mohd Hairul Azmi
BANGI, 13 Okt. 2011 - UKM berharap dana disediakan oleh Kerajaan supaya syarikat-syarikat terbitan UKM (startup companies atau STU) dapat melangkaui lembah maut atau valley of death dalam membawa produk-produk mereka ke pasaran.
Walaupun sejumlah peruntukan telah diberi untuk menggalakkan pengkomersialan inovasi, Naib Canselor UKM Prof. Tan Sri Dato’ Wira Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berharap dana juga disediakan sebagai pemangkin pengkomersilan, untuk memperkasa pejabat pemindahan teknologi, terutamanya dari segi perundangan, dan pembenihan STU supaya dapat berkembang.
“Ketika dunia menyaksi syarikat gergasi seperti Samsung dan Apple bersaing di mahkamah antarabangsa mempertahankan paten masing-masing, kita perlu pastikan sokongan perundangan akan bergerak seiring dengan strategi perlesenan atau pemasaran produk. Ia juga menjamin nilai optima sesuatu produk dan tidak dimanipulasikan oleh pihak industri,” tambah beliau.
Sebelum itu beliau berterima kasih atas sokongan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam pemberian geran-geran penyelidikan termasuk Prototype Research Grant Scheme (PRGS), terutamanya geran PRGS sejumlah RM3.3 juta kepada UKM.
Tan Sri Sharifah Hapsah berucap di satu majlis di UKM di sini hari ini di mana Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menyampaikan dana pengkomersilan R&D berjumlah hampir RM20 juta kepada 10 dari STU UKM.

Menurut Naib Canselor, selari dengan penubuhan STU, UKM sangat aktif mempelopori kaedah dan program membina kapasiti bagi inovasi dan keusahawanan, dua aspek yang sangat penting dalam pengkomersialan hasil R&D.
Oleh kerana pemahaman nilai-nilai keusahawanan dan penghayatan inovasi dan keusahawanan di kalangan penyelidik, para akademik, pentadbir dan pelajar adalah kunci kepada kejayaan STU, program Academic Entrepreneurship bagi pentadbir dan pengurusan akademik, para penyelidik telah dimulakan.
Bagi sesi ini, UKM telah menerapkan keusahawanan berasaskan pengetahuan dan penyelidikan ke dalam kurikulum. Dua kredit yang bertujuan memberi kesedaran tentang kepentingan keusahawanan diwajibkan bagi semua pelajar Tahun 1.
Di tahun-tahun seterusnya mereka yang berminat dan menunjuk pencapaian tinggi berpeluang mengikuti kursus lanjutan usahaniaga junior dan senior yang memberi kemahiran keusahawanan secara pembelajaran berpengalaman (experiential learning).
Akhirnya pelajar berkebolehan membuat dua perkara:
· Menubuhkan syarikat perniagaan untuk membangun dan memasarkan produk inovasi yang berasaskan pengetahuan dan penyelidikan, iaitu mereka mampu menjana pekerjaan baru dalam ekonomi.
· Mereka diambil bekerja dan berkebolehan menambah baik syarikat sedia ada dengan ciri-ciri keusahawanan dan berinovasi untuk majikan supaya syarikat lebih berdaya saing.
“Kursus di semua peringkat pengajian dijalankan pada sesi ini supaya kita lebih bersedia di sesi hadapan,” kata Naib Canselor.
Di samping itu, UKM juga menyediakan kemudahan dan perkhidmatan sokongan untuk membawa idea ke pasaran melalui penubuhan Pusat Inovasi Kolaboratif dan UKM Tech Sdn. Bhd. sebagai jentera pengkomersialan serta pengenalan program Entrepreneur- in-Residence.

Pada awal tahun, Dato’ Seri Mohamed Khalid telah melancarkan 33 STU UKM dan mereka merupakan satu pendekatan UKM mengkomersialkan hasil R&D, dan mereka menjadi platform perniagaan produk UKM.
Syarikat-syarikat ini telah maju tapak demi tapak. Satu STU UKM iaitu Biotech Diagnostic Sdn Bhd telah diberikan status BioNexus oleh Biotech Corporation manakala MyCRO Sdn Bhd telah menerimanya pada awal tahun ini.
Satu lagi STU UKM iaitu UgreenTech Sdn Bhd juga telah berjaya memperoleh geran pengkomersilan sebanyak RM500,000 dari Cradle Fund Sdn Bhd.
Sepuluh STU UKM yang menerima cek pengkomersilan R&D hari ini adalah di bawah program UKM-MTDC Symbiosis, hasil kerjasama dengan Malaysian Technology Development Corporation.
Tan Sri Sharifah Hapsah percaya MTDC akan memberi ruang kepada UKM untuk menguruskan dan mentadbir syarikat-syarikat ini mengikut acuannya sendiri.
“Saya yakin MTDC faham bahawa cara mengurus syarikat berbeza-beza sedikit mengikut struktur governans masing-masing. Juga, tentunya MTDC akan bangga bahawa anak didiknya dapat berkembang dan menjadi spin-out companies yang bebas, berdikari dan berjaya meraih keuntungan kelak. Inilah KPI (Key Performance Index) sebenar yang kita idamkan,” kata beliau.
STU UKM yang menerima dana pengkomersilan R&D hari ini ialah A1 Meditech Sdn Bhd, Cell Tissue Technology Sdn Bhd, Food Protech Sdn Bhd, Gas Sensor Sdn Bhd, GreenXS Sdn Bhd, HCA Products Sdn Bhd, Icon Pharma Sdn Bhd, NXPhotonics Sdn Bhd, PV&T Technologies Sdn Bhd dan SolarGE Sdn Bhd.
Di Bawah PRGS, 13 orang penyelidik menerima geran penyelidikan prototaip:
1. Prof. Dr. Mohd Alauddin Mohd Ali, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina – RM200,000
2. Prof. Madya Dr. Ismail Mohd Saiboon, Fakulti Perubatan – RM314,000
3. Dr. Norhana Arsad, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina – RM134,000
4. Prof. Dr. Rahmah Mohamed, Fakulti Sains dan Teknologi – RM200,000
5. Prof. Madya Dr. Rokiah Omar, Faulti Sains Kesihatan Bersekutu – RM122,000
6. Prof. Madya Dr. Liong Choong Yeun, Fakulti Sains dan Teknoloji Maklumat – RM117,000
7. Prof. Dr. Mohamad Yusof Sulaiman, Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) – RM409,500
8. Prof. Dato’ Dr. Mohd Yusof Hj. Othman, Fakulti Sains dan Teknologi – RM240,000
9. Prof. Madya Ar. Lim Chin Haw, Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) – RM170,000
10. Dr. Mohd Hafidz Ruslan, Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) – RM240,000
11. Dr. Sohif Mat, Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) – RM240,000
12. Dr. Azimin Samsul Mohd Tazilan, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina – RM500,000
Prof. Madya Dr. Mohd Syuhaimi Ab. Rahman, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina – RM451,888- Portal Berita UKM