eBuku Hasil Sarjana UKM Tarik 46,000 Pembaca

Selasa, 18 Oktober 2011 11:16 administrator
Cetak PDF

Oleh Abdul Ghani Nasir

BANGI, 18 Okt, 2011 – Sebuah eBuku berjudul ‘Web 2.0 Tools in Education: A Quick Guide’ dihasilkan Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohamed  Amin Embi, berjaya menarik seramai hampir  46,000 pembaca sebahagian besar dari Amerika Syarikat, dalam tempoh tiga bulan selepas dimuat naik ke laman Scribd.com.

eBuku yang boleh dimuat turun secara percuma itu adalah sebahagian daripada usaha UKM menyumbang kepada Sumber Pendidikan Terbuka – OER  (Open Educational Resource), kata Prof Mohamed Amin yang gembira dengan sambutan di luar dugaan itu.

Ia boleh dimuat turun dari http://www.scribd.com/doc/58594601 atau dibaca secara interaktif di http://www.flipsnack.com/flips/07a0e734cb005effc2467a0b9q223583.

“Sambutan besar daripada pembaca dan pelayar internet di Malaysia juga mendorong saya menterjemahkan eBuku ini kepada Bahasa Melayu.

“Versi Bahasa Melayu eBuku ini berjudul ‘Aplikasi Web 2.0 dalam Pengajaran dan Pembelajaran’ telah siap dan akan dimuat naik dalam masa terdekat,” kata Prof Mohamed Amin kepada Portal Berita UKM.

Dari angka yang diperolehi pembaca utama adalah dari Amerika Syarikat (37%), diikuti pembaca dari Malaysia (17%), United Kingdom (6%), Australia (6%), Kanada (5%) dan negara-negara lain (29%).

Prof Mohamed Amin menerangkan bahawa dari angka-angka yang dipantau 29,000 dari sejumlah kira-kira 46,000 pembaca itu, adalah bacaan langsung manakala17,000 lagi bacaan melalui blog orang lain.

Sebagai contoh beliau berkata seorang guru, Erin Klien dari Michigan, Amerika Syarikat, berjaya menarik lebih 3,350 pengunjung membaca eBook itu melalui blognya, kleinspiration.com dalam tempoh sebulan sahaja.

Beliau yakin penglibatan UKM dalam usaha OER itu boleh meningkatkan visibiliti universiti ini di persada antarabangsa.

Berikutan sambutan di luar dugaan itu, Prof. Mohamed Amin telah mendapat pelawaan daripada MERLOT (Multimedia Educational Resource for Learning & Online Teaching) yang merupakan repositori OER terbesar di dunia untuk mengindeks eBuku ini dalam repositorinya.

Dengan sambutan yang baik itu, beliau sedang berusaha untuk menghasil dan menerbitkan panduan penggunaan Web 2.0 dalam pengajaran dan pembelajaran dalam bentuk bersiri.

Sebanyak 10 siri sedang diusahakannya termasuk judul seperti ‘Web 2.0 Social Networking Tools’,  ‘Web 2.0 Collaboration Tools’, ‘Web 2.0 Content Creation Tools’ dan ‘Web 2.0 Assessment Tools’.

Terakhir Dikemaskini pada Selasa, 18 Oktober 2011 11:40