Pengusaha Makanan Digesa Menggunakan Minyak Sawit

Selasa, 10 Januari 2012 15:07
Cetak PDF

Oleh Shahfizal Musa
Foto Oleh Shahiddan Saidi


BANGI, 6 Jan 2012- Pengusaha makanan digesa menggunakan lemak minyak sawit dalam makanan keluaran mereka kerana ia jauh lebih sihat dari lemak yang berasaskan haiwan.

Prof Dr Aminah Abdullah, seorang pakar pemakanan dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) berkata lemak minyak sawit mengandungi dua bahan yang memberikan manfaat kepada kesihatan iaitu Beta carotene dan Tocopherol sejenis Vitamin E.

Beta carotene adalah satu daripada antioksidan asli yang terpenting kerana ia adalah nutrien yang boleh menghalang kerosakan dalam tubuh manusia yang dibawa oleh bahan radikal bebas.

Beliau menyatakan demikian dalam syarahan perdananya mengenai Sensori dan Makanan di sini hari ini.

Prof Aminah berkata apabila sel menggunakan oksigen ia secara sendiri akan menghasilkan bahan radikal bebas yang boleh memudaratkan kesihatan.

Antioksidan akan bertindak sebagai penghapus radikal bebas ia itu bahan yang menghalang usaha untuk memperbaiki kerosakan dalam badan yang dibawa oleh radikal bebas itu sendiri.

Masalah kesihatan seperti sakit jantung, kencing manis dan kanser semuanya adalah kesan kerosakan oksidatif.

Tocopheral pula mempunyai manfaat penyembuh di peringkat selular. Ia juga berfungsi sebagai antioksidan dengan melindungi membran sel. Ini membantu sel dapat hidup secara sihat.

Nutrien-nutrien ini terdapat dalam lemak sawit dan sepatutnya digunakan oleh industri makanan dan bukannya lemak berasaskan haiwan.

Beliau kesal masih ujud pengusaha makanan yang terus menggunakan lemak haiwan dalam makanan daging seperti sosej dan burger.


Ini menimbulkan dua masalah; pertama ia tidak sihat jika diambil berlebihan dan kedua bersangkutan isu halal bagi pengguna Islam ia itu apakah lemak haiwan yang digunakan itu halal.

Penggunaan lemak sawit bukan sahaja lebih baik, ia juga membantu meningkatkan kualiti halal kerana ia adalah dari tumbuhan iaitu kelapa sawit.

Lemak sawit didapati boleh mengekalkan nutrientnya walaupun disimpan secara beku sehingga tiga bulan.

Prof Aminah berkata orang ramai biasanya membuat pilihan makanan mereka berdasarkan apa yang dilihat dan dirasa bukannya dengan berfikir apakah makanan itu sihat atau tidak.

Niat mahu makanan berkhasiat selalunya dikalahkan oleh nafsu dan keinginan. Rupa bentuk, rasa dan bau sesuatu makanan adalah faktor yang menjadi pendorong seseorang memilih makanannya bukan bergantung kepada khasiatnya.

Sikap makan secara spontan tanpa berfikir ini di iringi dengan ketiadaan aktiviti seperti bersenam mengundang bahaya kepada kesihatan .

Apabila seseorang makan berdasarkan deria sensory ia selalunya mengakibatkan pengambilan makanan yang berlebihan. Jika sesuatu makanan itu sedap, besar kemungkinan akan seseoranmg akan makan ecara berlebihan.

Terlebih makan adalah punca obesiti yang boleh membawa kepada bermacam penyakit. Menggunakan lemak sawit boleh dengan sedikit sebanyak mengatasi masalah ini.

Lemak dan makanan yang berasaskan kelapa sawit, mempunyai tahap tarikan deria rasa yang sama seperti makanan yang dicampurkan dengan bahan yang kurang menyihatkan, tambah beliau.

Turut hadir mendengar syarahannya itu adalah Timbalan Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato' Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Dekan FST Prof Sahrim Ahmad, pegawai kanan universiti, pensyarah dan pelajar.



Berita Penyelidikan

Arkib Berita