Pelajar Pasca-Siswazah Malaysia dan Indonesia Bincang Cabaran Persekolahan Pendidikan Khas

Isnin, 30 Januari 2012 10:17
Cetak PDF

Oleh Radzuan Ghazali
Foto Ahmad Shahiddan Saidi


BANGI, 28 Jan. 2012 – Suatu seminar membincangkan cabaran dan halangan untuk menyediakan persekolahan bagi meningkatkan kehadiran, penglibatan dan pencapaian orang kelainan upaya (OKU) telah berlangsung di sini hari ini.

Seminar Antarabangsa Pasca Siswazah Pendidikan Khas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) - Universitas Pendidikan Nasional Indonesia (UPI) telah membincangkan 121 buah kertas kerja merangkumi 21 sub-tema mengenai amalan dan isu-isu semasa Pendidikan Khas di Malaysia dan Indonesia.

Ia melibatkan peserta pascasiswazah dari UKM dan UPI yang dianjurkan oleh Pelajar Siswasah Pendidikan Khas Fakulti Pendiidikan (FPEND) UKM dengan kerjasama Sekolah Pascasarjana UPI, Bandung.

Dekan FPEND UKM, Prof Dr Lilia Halim ketika merasmikannya di Kompleks Tun Abdullah Mohd Salleh berkata perubahan dan perkembangan dalam sistem pendidikan kini memberi kesan kearah pembentukan ekologi sistem persekolahan semua individu termasuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Hadir sama, Ketua Program Pasca Sarjana Pendidikan Luar Biasa UPI, Dr Zaenal Alimim, Pengerusi seminar, Dr Mohd Hanafi Mohd Yasir dan Pengarah Projek Chin Li Hoong.

Prof Lilia berkata usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan OKU mengambil kira keperluan pendidikan khas dalam sistem perdana sedang dilaksanakan dengan meluas di seluruh dunia.

Justeru itu dalam usaha untuk meningkatkan kualiti dan ekuiti pendidikan bagi semua pelajar, sistem pendidikan kebangsaan semua negara perlu meneliti amalan terbaik serta cabaran dan halangan untuk menyediakan ekologi persekolahan yang meningkatkan kehadiran, penglibatan dan pencapaian keperluan pendidikan khas, katanya.

Beliau berkata, seminar itu bertujuan untuk berkongsi dan menyebarkan pengalaman di samping mengenalpasti peluang dan cabaran untuk meningkatkan kualiti dan ekuiti pendidikan bagi pelajar berkeperluan khas.

Zaenal dalam ucapannya berkata, kerjasama di antara UPI dan UKM telah bermula sejak 2007 dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU).

Kerjasama demikian bukan hanya memberi faedah kepada ahli akademik dan pelajar tetapi juga dalam bidang pendidikan khas kepada masyarakat yang memerlukan.

“Saya harap kerjasama ini bukan hanya melibatkan UKM dan UPI tetapi juga universitas di Indonesia dalam memperluaskan kerjasama mereka dengan UKM,” tambah beliau.

Seramai 200 peserta hadir di seminar sehari termasuk peserta dari Universitas Rambong Mangkurat, Universitas Surabaya, Universitas Malang, Universitas Jakarta, Universitas Pasundan dan Universitas Islam Nusantara.

Dua ucap utama dibentangkan selepas majlis perasmian oleh Dr Djadja Rahardja (UPI) dan Dr Norani Mohd Salleh dari Universiti Pengurusan dan Teknologi (UMTECH). 


Berita Penyelidikan

Arkib Berita