Pendidikan Harus Penuhi Aspirasi Negara

Isnin, 20 Februari 2012 14:31
Cetak PDF

Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto oleh Ahmad Shahiddan Saidi


KUALA LUMPUR, 18 Feb. 2012 – Tahap pendidikan negara harus terus meningkat bagi memenuhi cabaran dan aspirasi negara yang semakin tinggi, kata Naib Canselor UKM, Professor Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabuddin.

Bercakap pada satu perbincangan panel mengenai Bidang Hasil Utama Negara (NKRA): Mewujudkan Pendidikan Berkualiti sempena Sidang Puncak Transformasi Negara di Hotel Crowne Plaza Mutiara di sini hari ini, beliau berkata:

“Sistem pendidikan kita seharusnya terus berubah sejajar dengan keperluan baru bagi mengwujudkan warga berbakat di bawah Rancangan Transformasi Negara (NTP).

“Ia mesti bergerak sederap dan meningkatkan taraf kita di kalangan sesama kumpulan negara yang terus menerus membuat pembaikan dan bergerak ke depan.”

Beliau menggariskan enam bidang paling penting yang harus diberi tumpuan: mengulangkaji kurikulum dan standard, memastikan struktur ganjaran dan penggajian yang sesuai untuk guru dan pengetua, membina kemahiran teknikal guru dan pengetua, menilai pelajar, mewujudkan sistem data dan memudahkan pembaikan menerusi pengenalan dasar dan undang-undang pendidikan.

Prof Sharifah Hapsah berkata daya alun penambahbaikan dengan guru-guru dianggap ciri paling penting harus dikekalkan. Usaha itu bukan saja merangkumi perubahan kepada struktur dan pendekatan yang ada tetapi juga bagaimana guru-guru berfikir mengenai pengajaran dan belajar dan bagaimana mereka menjiwai amalan-amalan pengajaran.

“Bagi mengekalkan perubahan itu kita harus mewujudkan amalan kolaboratif di antara guru di dalam dan di kalangan sekolah, membangunkan satu lapisan perundingan di antara sekolah dengan pusat, di antara pejabat daerah dan negeri dan Kementerian Pelajaran. Kita harus mencorakkan kepimpinan hari esok,” tegas beliau.

Sistem persekolahan yang mengekalkan pembaikan telah melihat bagaimana mengemudi cabaran keadaan serta menggunakan keadaan bagi mendapatkan kelebihan.

Beliau berpendapat negara boleh meningkat satu tangga ke atas dalam masa enam tahun jika melakukan perubahan yang diperlukan.

“Tidak ada formula ajaib tetapi kita ada jalan luas dengan tanda-tanda perlunya campur tangan yang harus sentiasa dilakukan dengan kewibawaan, ketegasan dan disiplin.”

Prof Sharifah Hapsah memuji langkah Menteri Pelajaran dan kementerian kerana ketegasan dalam melaksanakan satu ulangkaji menyeluruh sistem pendidikan negara untuk mendapatkan input kepada pelan induk kebangsaan mengenai pendidikan yang sedang digubal untuk diumumkan pada penghujung tahun ini.

Pendidikan, katanya, kini berada di tengah-tengah perjalanan negara menuju Wawasan 2020 dan bertanggung jawab melahirkan bakat untuk mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi menerusi ekonomi yang terangkum dan mapan yang akhirnya menelurkan tahap kehidupan lebih baik untuk rakyat.

Mengenai keperluan satu pendekatanan baru pemulihan sistem, Prof Sharifah Hapsah berkata ia mesti dilaksanakan atas asas setiap kanak-kanak itu amat berharga dan mesti diberikan perhatian.

Beliau juga menerangkan bahawa berbelanja besar untuk pendidikan saja tidak memadai kerana penyelidikan menunjukkan peningkatan peruntukan untuk pelajaran tidak semestinya membawa kepada meningkatkan prestasi pelajar.

“Kita harus membuat satu penilaian dan rumusan jujur akan sistem kita, tentang di mana kita berada sekarang dari segi prestasi dan hasilnya. Adakah kita lemah, sederhana, baik, hebat atau cemerlang?

“Dengan pemahaman ini kita harus melihat bagaimana sistem persekolahan paling baik di dunia terus bertambah baik di segi pencapaian berkesan pelajar yang baik, mapan dan menyeluruh.

“Apakah kekuatan mereka, apakah bentuk campur tangan dilaksanakan dan apakah jalan terbuka untuk meningkat daripada lemah kepada sederhana, sederhana kepada baik, baik kepada hebat dan hebat kepada cemerlang,” kata beliau.

Berkaitan campur tangan, Prof Sharifah Hapsah memberi satu contoh, katakan Malaysia kini ditahap prestasi baik dan ia hendak bergerak kepada tahap hebat.

Bagi tahap ini, kata beliau, kita harus memastikan kepemimpinan guru dan sekolah dianggap sebagai satu profesion yang lengkap di mana kesemua pendidik seharusnya professional.

Kita perlu menaikkan taraf guru dan pengetua, menaikkan kaliber kalangan yang sedia ada dan membaiki cara membuat keputusan di sekolah, kata Prof Sharifah Hapsah.

Berita Penyelidikan

Arkib Berita