Perasaan Terpendam Boleh Membawa Kepada Pergaduhan Kaum

Khamis, 01 Mac 2012 09:47
Cetak PDF

By Shahfizal Musa
Pix Ahmad Shahiddan Saidi



BANGI 28, Feb. 2012- Konflik perkauman boleh tercetus kerana perasaan terpendam yang meluap terhadap sesuatu isu walaupun tidak kena mengena dengan soal perkauman, kata seorang Professor Pelawat di UKM hari ini.

Prof Karen Umemoto dari University of Hawaii berkata pergaduhan berbaur perkauman boleh berlaku kerana wujudnya ketegangan yang bergelora tetapi dipendamkan.

Beliau telah memberi syarahan mengenai Hubungan Etnik dan Konflik Emosional di Institut Kajian Etnik (KITA) UKM di sini. Beliau adalah pengarang buku The Truce: Lessons from a LA Gang War 2006 mengenai pergaduhan dua kumpulan gengster di Los Angeles Amerika Syarikat. Pergaduhan itu telah meragut 17 nyawa dan mencederakan lebih dari 50 orang.

Beliau telah menyelidik hubungan etnik dari perspektif psikologi dan sosiologi. Dua dari rusuhan kaum di AS pada tahun 1960an dan 1990an tercetus kerana insiden yang melibatkan berapa orang individu sahaja, tetapi telah merebak hingga tidak dapat dikawal hingga meragut nyawa dan memusnahkan banyak harta benda.

Ini disebabkan wujudnya ketegangan yang bergelora tetapi dipendamkan sekian lama. Terdapat juga pelbagai keadaan dan masa di mana ketidakstabilan etnik boleh memuncak.

Beliau merujuk kepada kajiannya berkenaan ‘peperangan’ di antara dua kumpulan gengster, satu dianggotai mereka berketurunan Latin dan satu lagi dianggotai rakyat kulit hitam AS. Ia bermula hanya sebagai pertelingkahan antara dua kumpulan gengster itu tetapi akhirnya merebak menjadi pergaduhan kaum.

Perasaan yang terpendam berpunca kepada soal penduduk dari kaum Latin yang kian bertambah manakala kaum kulit hitam pula berkurangan.

Ini menimbulkan satu persepsi bahawa kaum kulit hitam di diskriminasikan dalam soal perumahan, pekerjaan dan penerimaan perkhidmatan. Ini membawa kepada prasangka kaum kulit hitam bahawa mereka sedang di usir keluar dari kawasan itu. 

Kemarahan mereka memuncak apabila berlaku pergaduhan antara geng mereka, pihak polis pula dianggap lebih memihak kepada kaum Latin.

Dengan itu semua tekanan dikalangan kaum kulit hitam misalnya tidak mendapat pekerjaan dan perkhidmatan atau perumahan dilihat sebagai diskriminasi terhadap mereka kerana warna kulit dan ini telah menjadi suatu isu perkauman.

Perkembangan itu membawa kepada masalah sosial dan menyemarakkan perasaan ketidakadilan yang telah lama terpendam.

Pergaduhan antara dua kumpulan itu telah bertukar menjadi pertelingkahan kaum apabila penduduk setempat merasakan mereka menjadi mangsa kerana keturunan mereka.

Dengan tiba-tiba komuniti yang mempunyai hubungan baik dan mesra sudah tidak bertegur sapa lagi.

Prof Karen berkata pengetahuan mengenai sains sosial membuat kita lebih memahami konflik dari mengetahui cara penyelesaiannya. Apa pun psikologi adalah ramuan yang telah meredakan konflik antara dua kumpulan gengster itu.

Yang telah berjaya menghentikan konflik kaum itu adalah bekas ahli kumpulan dari kedua pihak. Mereka memahami psikologi ahli kumpulan gengster terlibat itu.

Mereka telah dapat meyakinkan pemimpin kedua kumpulan yang berperangan itu bahawa mereka sendiri yang akan mengalami kerugian jika konflik itu berterusan sebagai pergaduhan perkauman.

Ini kerana pihak polis akan mengistiharkan keadaan darurat yang akan merugikan perniagaan dadah mereka. Ini telah membuatkan kedua gang itu bersetuju menghentikan pergaduhan mereka. 

Hadir pada syarahan itu adalah Pengarah KITA, Professor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin; Fellow Utama KITA, Anis Yusal Yusof, para pensyarah dan pelajar.


Berita Penyelidikan

Arkib Berita